Ada yang tak faham cara betul kira usia kandungan bunting pelamin sampai mengata wanita yang baru berkahwin 4 minggu tapi dah mengandung 6 minggu sebagai hamil luar nikah. Jangan salah anggap dulu ya sebelum tahu cara betul kira usia kandungan ibu hamil.

Info ini mesti difahami betul-betul oleh suami isteri yang baru mendirikan rumah tangga serta semua masyarakat. Bukan apa ada kes si suami yang tak tahu menahu pasal kiraan usia kandungan bergaduh dan menuduh si isteri sudah mengandung sebelum bernikah dengannya.

Dr Rusyainie Ramli menulis satu posting di facebook beliau bagi membetulkan salah tanggapan yang tular baru-baru ini tentang usia kandungan bunting pelamin. Harap jangan ada lagi suami atau makcik-makcik yang salah anggap dan ‘sok sek sok sek’ di belakang mengata yang tak betul tentang wanita yang bunting pelamin! Mari kita fahamkan betul-betul.

BUNTING PELAMIN.

Doktor Kongsi Cara Betul Kira Usia Kandungan Bunting Pelamin. Bukan Mengandung Sebelum Nikah Ya!

Semalam ada kawan tanya. Macam mana dia mengandung 6 minggu. Sedangkan dia baru kahwin, kurang dari itu.

Saya akan terangkan dalam bahasa yang paling ringkas. Harap dapat difahamkan.

Senang saja. Kita kira tarikh mula mengandung pada hari pertama haid pada bulan terakhir. Wanita kena ingat kalau misi atau doktor tanya tarikh Last Menstrual Period, tulah dia. Bila haid habis tak penting.

Katakanlah Puan A datang haid pada tarikh 1/1/18.

Kitaran haidnya adalah setiap 28 hari.

Dia bernikah pada 12/1/18.

Hubungan kelamin terjadi lepas tu.

Kita anggap ovulasi iaitu penghasilan ovum dari ovari berlaku pada hari 14 dari tarikh haid pada bulan tu.

Kebiasaannya kitaran haid adalah antara 24 ke 35 hari, dan ovulasi boleh berlaku antara hari ke-7 haid hingga ke-21.

Ovum yang telah dikeluarkan bertahan selama 24 jam.

Sperma boleh hidup dalam rahim wanita selama 3-7 hari.

Jadi persenyawaan berlaku.

Persenyawaan tu bermaksud sperma dari lelaki dan ovum dari perempuan bergabung dan membentuk embrio.

Telur yang telah disenyawakan akan melekat pada dinding rahim.

Confirm Mengandung!

Doktor Kongsi Cara Betul Kira Usia Kandungan Bunting Pelamin. Bukan Mengandung Sebelum Nikah Ya!

Pada lebih kurang tarikh 29/1/18, sepatutnya Puan A akan datang haid lagi. Tapi dia tak.

Dia tunggu dalam masa 5-7 hari, dan masih belum haid dan dia buat ujian mengandung menggunakan urin, positif. Maka dia mengandung.

Usia kandungan kita kira dari tarikh 1/1/18. Sebab tulah usia kandungan tu pada pandangan kasar lebih hari dari tarikh dia berkahwin.

Tulah dia bunting pelamin. Siapa kata fakta sains tak buat kita teruja. Terutama bila kita belajar biologi badan kita sendiri.

Usah biarkan diri kita diselubungi mitos!

Jap! SAYA TIDAK MENGANDUNG ya. Umur pun dah masuk 4 siri. Hahaha. Kang ada yang salah faham.

Sumber: Rusyainie Ramli

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI