Bilateral Tubal Ligation adalah prosedur ikat salur peranakan merupakan satu cara merancang yang kekal – bermaksud wanita tidak akan dapat mengandung lagi.
Ia boleh dilakukan secara :
1) laparotomy – open surgery, bukaan kecil pada abdomen sekitar sejengkal
2) laparoscopy – bukaan sekecil 1cm pada bahagian pusat dan satu lagi di bukaan kecil di bahagian tepi abdomen
Ia boleh dilakukan menggunakan kaedah :
1) klip
2) potong dan ikat
3) bakar (cauter)
4) buang keseluruhan tiub
Keberkesanan kaedah BTL ialah sekitar 99.95%. Jika 1000 wanita menjalani prosedur BTL, dalam 10 tahun kemungkinan 2-5 akan mengandung. Jadi ianya amat berkesan sebagai satu kaedah perancangan keluarga.
Rata – rata doktor mencadangkan kaedah ini kerana ia mudah, murah, cepat, tidak perlu makan ubat setiap hari, tidak mengganggu kitaran haid dan hormon badan serta kekal seumur hidup (perlu ingat selagi belum menopause wanita masih boleh mengandung).
Jangan sangka sudah cecah usia 40 – an sudah tidak boleh mengandung. Saya pernah jumpa wanita mengandung pada usia 47 tahun !
Ramai wanita dan suami yang risau, kerana salah fahaman. Mereka bimbang ia akan menganggu kitaran haid wanita dan hubungan seksual suami isteri. Sebenarnya kedua perkara ini berkaitan dengan ovari yang mengeluarkan hormon wanita dan tiada kaitan lansung dengan salur peranakan. Jadi pasangan tidak perlu berasa bimbang.
” Puan, disebabkan ini bakal jadi kali ke – 3 kamu bersalin secara caesar, saya sarankan kita ikat sekali salur peranakan, supaya selepas ini tidak mengandung lagi. Risiko tinggi jika mengandung. ”
Ads
” Eh doktor. Tak tahu ke ikat salur peranakan ni HARAM ? Mengubah ciptaan tuhan tau. ”
” Jadi, kalau sengaja campakkan diri ke kebinasaan tak HARAM ke Puan (Quran, Al – Baqarah : 195) ? ”
Ini adalah dialog antara pesakit dan doktor yang mungkin berlaku kerana kesalah fahaman dan kurang pendedahan tentang hukum Islam yang fleksible.
Mengapa doktor mencadangkan ikat salur peranakan bagi ibu yang telah bersalin secara caesar lebih 3 kali ?
Ini kerana secara am nya, mana – mana ibu yang menjalani caesarean section bagi pertama kali sahaja sudah berisiko mendapat komplikasi berikut :
Komplikasi Serius
Ads
1) Pembedahan buang rahim disebabkan pendarahan melampau, 7 – 8 bagi setiap 1000
2) Keperluan pembedahan lain selepas caesar, contoh : cuci rahim, pembedahan mengeluarkan darah beku daripada caesar sebelum itu, 5 dalam setiap 1000
3) Keperluan pemerhatian di ICU (bagi kes berisiko tinggi dan terdapat komplikasi), 9 dalam 1000
4) Darah beku, boleh mengakibatkan kematian jika menyumbat salur darah di paru – paru, 4 – 16 dalam 10,000
5) Koyak pundi kencing, 1 dalam 1000
6) Cedera salur kencing, 3 dalam 10,000
7) Kematian, 1 dalam 12,000
8) Rahim pecah semasa kandungan seterusnya, 2 – 7 dalam setiap 1000
9) Risiko bayi mati dalam kandungan, 1 – 4 dalam 1000
10) Uri bawah dan lekat, 4 – 8 dalam 1000
Komplikasi Kerap Berlaku
1) Tidak selesa pada perut dan luka selepas bersalin, 9 dalam 100 Ibu
2) Risiko gagal VBAC untuk kandungan seterusnya, 1 dalam setiap 4 ibu
3) Pendarahan, 5 dalam 1000
4) Jangkitan kuman, 6 dalam 100
5) Cedera / luka pada bayi, 2 dalam 100
Risiko – risiko ini semakin bertambah jika semakin banyak caesar dilakukan pada seorang ibu. Contohnya : risiko rahim pecah untuk ibu yang pernah caesar sekali ialah sekitar 0.5% (1 dalam 200), manakala untuk yang pernah caesar dua kali menjadi 1.36% (4 dalam 300) dan bertambah lagi jika pernah caesar tiga, empat dan seterusnya.
Ia juga boleh menjadi berlipat kali ganda jika ibu itu sendiri mempunyai masalah seperti : obesiti, pernah dibedah sebelum ini, mempunyai masalah kesihatan (kencing manis, darah tinggi, masalah jantung dan lain – lain), atau jika caesar dilakukan secara kecemasan atau semasa bukaan pangkal rahim telah besar 9 – 10cm.
Ada juga yang tidak mahu BTL kerana faktor hukum Islam. Sebenarnya, hukum asal BTL ialah haram (jika tidak bersebab). Tetapi perlu diingati bahawa Islam adalah agama rahmat yang sentiasa fleksibel dan tidak kejam. BTL diharuskan dengan syarat digalakkan oleh doktor disebabkan indikasi masalah perubatan.
Ads
Jadi, hukum ini berbeza mengikut profail pesakit. Tidak boleh disapu rata satu hukum untuk semua wanita.
Jika tak mahu juga BTL ? Boleh tiada masalah, dengan syarat ibu perlulah merancang dengan berdisiplin menggunakan kaedah LARC (long acting reversible contraception) – contohnya : IUCD, Implanon. Ibu juga perlu sedar risiko tinggi yang perlu dihadapi jika mengandung sekali lagi.
Nasihat Saya :
1) Jaga kesihatan anda – setiap masalah kesihatan meninggikan risiko semasa mengandung
2) Jangan bersalin secara caesar melainkan jika ada indikasi perubatan – Trend semasa yang merisaukan bila ibu memilih bersalin caesar di pusat bersalin bukan kerajaan kerana bimbang sakit dan mahu cepat
3) Bincanglah dengan doktor anda sepuas – puasnya apa kaedah perancangan yang terbaik untuk diri anda. Perlu ingat, lain orang lain lah kaedahnya. Jangan bimbang, kami doktor sentiasa sedia membantu.
Wanita yang disahkan hamil oleh doktor akan dibekalkan dengan asid folik. Ia sejenis suplemen yang baik untuk pertumbuhan bayi dalam kandungan. Asid folik sangat penting untuk diambil terutamanya pada 12 minggu pertama kehamilan seseorang wanita. Jangan culas! Ia bukan saja-saja diberi kepada ibu hamil, ada sebabnya.
Dalam perkongsiannya, Dr Muhammad Izzat, Pegawai Kesihatan Wanita & Kehamilan, menerangkan asid folik penting untuk ibu hamil. Dalam tempoh 12 minggu pertama, ia dimakan sebagai usaha untuk mengelakkan masalah anencephaly (tiada pembentukan tulang kepala atau tengkorak) pada bayi. Ikuti penjelasan lajut dari Dr izzat ini.
”Alhamdulilah, saya bersyukur sebab berbadan dua sekarang. Lama dah tunggu, Allah dah dengar doa saya. Saban hari saya hanya beronok-ronok tengok orang yang senang hamil nih. Saya hanya mampu berdoa dikurniakan cahaya mata mcm orang lain tu. Tapi masa tu orang cakap belum rezeki lagi. Bukan takde usaha, segala doktor pakar saya jumpa dah, namun tak berhasil lagi. Takpe saya ok jer, walaupun hati kecil saya sebenarnya tak ok. Tapi saya lawan rasa tu.. saya hanya pegang pada Allah. Rezeki belum tiba.. akan sampai satu hari nnti. “
“Nak dijadikan cerita saya hamil. Gembiranya bukan kepalang… bagaikan dunia saya yang punya. Yelah, dah lama tunggu kan, mcm-mcm ikhtiar dia. Alhamdulilah ni ‘melekat’ pulak! Syukur ya Allah atas kurniaanMu”
Risau sepanjang ujian imbasan dibuat
“Ketika kehamilan saya berusia 14 minggu, saya pergilah bukak buku pink. Masa jumpa doktor, dia buat scan sekali. Saya tersengih-sengih dah masa tu tunggu dr cakap ape. Kalau boleh nak tahu boy ke girl. Hehe. ( doktor belum letak scan kat perut lagi saya dah tanya. Al maklumlah excited kemain! ) “
“Masa ni, kejutan dan kepasrahan saya bertukar ganti. Makin lama makin ramai doktor yang datang melihat imej scan pada mesin scan tu. Lama dorang tenung skrin tu. Saya dah mula berasa tak sedap hati… nak tanya mereka tapi takut mengganggu pulak. So saya diamkan je dulu, walaupun rentak jantung saya dah mula kencang. Mesti ada yang tak kena ni. Tambah curiga bila mereka mula berbicara bahasa bahasa perubatan yang tidak saya fahami. Come on doctor.. tell me apa yg berlaku pada baby saya… “
Ukur lilit kepala bayi sukar dibuat
“Akhirnya, saya dikhabarkan bahawa baby saya tak normal sebab doktor mengalami kesukaran utk mengukur lilit kepala bayi. Hancur luluh hati saya ketika itu, bila doktor cakap kepala bayi saya tak normal. Berderai air mata. Nak pegang tangan suami, suami plak keja, hanya mampu genggam tangan misi kat sebelah. Saya tak mampu dah nak dengar semua ni”
“Saya dirujuk ke pakar Obstetrik & Ginekologi hospital besar. Suami amek cuti separuh hari nak teman saya pegi temu janji. Kami tercongok penuh penantian dan debaran depan klinik menunggu nama dipanggil. Setelah diperiksa, doktor mengesahkan dan terpaksa mengiyakan kata-kata doktor yang awal telah memeriksa saya. Katanya, bayi saya hidup, tapi tiada pembentukan tulang kepala yakni tengkorak nye – Anencephaly.”
“Tiada perkataan yg mampu menggambarkan perasaan saya. Betapa kacau dan hancurnya hati saya. Seharian saya menangis sehingga bengkak mata. Namun sebagai seorang muslim, saya merangkak dalam kesamaran malam, menadah tangan agar dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam mengharungi derita dan dugaan ini.”
Maka dengan mukadimah di atas, saya nak berceritalah mengenai anencephaly:
Struktur sistem saraf bagi berasal dari struktur yang bernama neural plate. Pada 28 hari selepas persenyawaan, neural plate ni akan terlipat antara satu sama lain dan menutup membentuk satu struktur berbentuk silinder yang dinamakan neural tube. Masalah berlaku apabila struktur ini tidak menutup dengan sempurna menyebabkan terjadinya kecacatan neural tube. Ada beberapa jenis – anencephaly, spina bifida dan encephalocele.
Menyebut mengenai anencephaly, ianya melibatkan hilangnya tulang tengkorak sama ada secara penuh atau pun separa. Bila tiadanya tulang tengkorak ni, sebahagian otak juga turut hilang ataupun kalau ada sekalipun struktur otak menjadi sangat kecil. Ada juga ketidaknormalan pada muka dan leher bayi tersebut.
Keadaan ini dipercayai melibatkan kombinasi faktor genetik dan pengaruh persekiraran yang doktor sendiri tak boleh nak fahami secara 100%
Anencephaly berlaku dalam 6 kes di dalam 10 000 kelahiran.
Bila boleh kesan anencephaly ketika hamil?
Ketika melakukan pemeriksaan scan, seawal 11-14 minggu kehamilan. Kalau lebih awal dari 11 minggu tak sesuai sebab pembentukan tulang tengkorak belum selesai. Masa buat detail scan 18-21 minggu, senang sangat nak nampak dan boleh confirm ketidaknormalan ni.
Kadang-kadang susah gak nak betul-betul pastikan anencephaly ni. Scan berulang kali diperlukan untuk benar-benar pasti.
Takda rawatan untuk anencephaly. Bayi anencephaly tidak boleh hidup bila dilahirkan dan kebanyakan bayi ni akan meninggal sebelum dilahirkan ataupun mati beberapa jam selepas dilahirkan. Ada kes yang bayi seperti ini boleh hidup selama beberapa hari, tapi sangat jarang berlaku.
Bila pernah terjadi sekali, akan ada peluang untuk ianya berulang lagi. 1 dalam 50 (2%)
Maka, semua wanita disarankan untuk mengambil asid folik 400mcg sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum hamil sehingga minggu ke 12 kehamilan.
Untuk wanita yang pernah ada bayi anencephaly atau mereka yg ada kencing manis sebelum hamil, dos folik asid adalah tinggi – sebanyak 5mg perlu diberikan 3 bulan sebelum merancang untuk hamil lagi. Usaha ini dapat mengurangkan risiko mendapat bayi dengan anencephaly atau kecacatan tiub neural.
Pasangan yg pernah ada masalah bayi anencephaly jika berpeluang boleh berjumpa genetic counselllor untuk berbincang risiko mendapat anak sekali lagi dengan anencephaly
So dah faham ke kenapa saya membebel hari-hari kat pesakit mengenai pentingnya asid folik?
Betul, kalau dah makan sebaldi asid folik sekalipun kalau Allah dah takdirkan baby anencephaly, mmg akan dapat anencephaly jua. Bukan ke kita perlu ikhtiar dan ikhtiar sebelum menyerah dan tawakkal?
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Masa kini, kerap kali kedengaran bayi baru lahir disahkan menghidap jaundis. Para ibu hamil dan si bapa perlu ambil perhatian.
Perlu anda tahu bahawa jaundis terjadi kerana hati bayi tidak cukup matang untuk meneruskan proses penyingkiran bilirubin daripada tubuhnya. Oleh sebab itulah semua bayi berisiko untuk mengalami jaundis. Ia boleh terjadi kepada semua bayi. Tidak kira sama ada yang dilahirkan cukup bulan apatah lagi bayi yang dilahirkan pramatang.
Anda perlu faham bahawa biarpun bayi yang bakal dilahirkan nanti cukup bulan, belum tentu hatinya benar-benar matang. Selain daripada masalah hati tidak matang, jaundis turut boleh berlaku apabila anda tidak menyusukan dia tidak kira menggunakan susu ibu atau susu formula dengan secukupnya.
Jaundis terdiri daripada dua jenis. Salah satunya ialah physiological jaundis. Ia merupakan jaundis yang kerap berlaku di Malaysia. Dianggarkan kira-kira 50% bayi akan mengalami kuning selepas dilahirkan.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, ia disebabkan oleh masalah ketidakmatangan hati bayi dan selalunya akan bermula selepas tempoh 24 jam kelahiran. Manakala satu lagi jenis jaundis berlaku sebelum bayi berumur sehari. Hal ini disebabkan oleh beberapa faktor risiko yang lainnya. Walau bagaimanapun, jaundis jenis amat jarang sekali berlaku di negara kita.
Selepas 24 jam bayi dilahirkan, jaundis akan berlaku. Pada hari ketiga hingga kelima, parasnya akan meningkat naik. Namun, pada hari keenam dan ketujuh ia akan menurun. Jika situasi ini yang berlaku kepada bayi, maka keadaan ini diandaikan sebagi normal ataupun jaundisnya sedikit.
Walau bagaimanapun, jika jaundis berlanjutan selepas tempoh seminggu, masalah ini akan dipanggil sebagai prolong jaundice. Sekiranya tahap jaundis yang berjaya dikesan oleh doktor berada pada tahap yang tinggi, maka bayi perlu menjalani rawatan fototerapi bagi membantu dirinya mengeluarkan bilirubin dengan lebih baik.
Anda boleh mengenal pasti kehadiran jaundis pada bayi ketika berada di rumah setelah dibenarkan pulang dari hospital hanya dengan melakukan beberapa langkah mudah. Bagi bayi yang berkulit cerah, sememangnya amat mudah untuk mengesannya. Namun, sedikit sukar jika anak berkulit sawo matang. Biarpun begitu, caranya tetap ada dan amat mudah sekali.
Tekan hidung tiga hingga empat saat menggunakan jari telunjuk. Kemudian lepaskan. Jika bayi mengalami jaundis, bahagian berkenaan akan kelihatan kuning.
Cara yang sama boleh digunakan dengan menekan gusi bayi.
Cara yang paling senang untuk mengesan jaundis ialah menerusi mata putih bayi yang biasanya bertukar kekuningan jika mengalami jaundis.
Lazimnya, jaundis bermula daripada bahagian atas anggota tubuh bayi dan turun ke bahagian bawah tubuh. Sekiranya warna kekuningan dapat dikesan ada di bahagian dada, ia menunjukkan bahawa paras jaundis adalah tinggi iaitu sekitar 200 mikromil/l. Oleh yang demikian, bayi perlu segera mendapatkan pemeriksaan doktor. Jika jaundis berjaya dikesan di bahagian perut dan paha pula, ia petanda jaundis adalah sangat tinggi dan bayi perlu segera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya.
Ramai ibu bapa gembira apabila melihat bayi tidur lena selepas dilahirkan. Namun, bayi yang mengalami jaundis tidak elok dibiarkan tidur terlalu lena. Keadaan ini akan merangsang bilirubin meningkat lebih tinggi.
Apabila terlalu kerap tidur, dia kurang menyusu. Oleh yang demikian, sebaik-baiknya kejutkan bayi untuk menyusu sekerap mungkin iaitu dua ke tiga jam sekali. Kekerapan bayi menyusu dengan baik akan menggalakkan pergerakan usus dan menyebabkan bilirubin dapat dikeluarkan daripada tubuh menerusi najis. Jadi, pastikan bayi menyusu lapan hingga 12 kali sehari.
Pihak hospital swasta biasanya akan menahan bayi untuk menjalani rawatan fototerapi apabila paras jaundis mencecah angka 200 mikromil/l. Sementara itu, doktor di hospital kerajaan lazimnya menahan bayi yang mencatat bacaan pada paras 280 mikromil/l. Perlu diketahui bahawa adalah bahaya jika jaundis berada pada paras 340 mikromil/l atau 20mg/dl
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sesetengah wanita mengalami masalah praeklampsia ketika mereka mengandung. Praeklampsia ialah gangguan sistemik hipertensi kepada ibu yang mengandung pada fasa trimester kedua yang melibatkan tekanan darah tinggi beserta rembesan protein dalam air kencing.
Peringkat kandungan yang berusia dalam 20 minggu keatas dengan tekanan darah melebihi 140/90mmHg dan mempunyai kandungan protein sebanyak 300mg sehari didalam air kencing diklasifikasikan sebagai preeklampsia. Pa&Ma mendapatkan penerangan lanjut tentang keadaan ini daripada Dr. Salini Suhaila Nasir, Pakar Kesuburan dan Sakit Puan dari Hospital Metro IVF, Klang.
Statistik menunjukkan kadar berlakunya praeklampsia untuk negara maju seperti US (United States) adalah sebanyak lima ke sepuluh peratus. Manakala di Asia atau negara yang sedang membangun kadar praeklampsia meningkat ke 10-20 peratus.
Jika dilihat pada kadar statistik tersebut, masalah ini perlu diberi perhatian kerana komplikasi kepada kematian ibu hamil adalah tinggi sekiranya keadaan ibu tidak dipantau dengan ketat.
Bagaimana ia boleh berlaku?
Etilogi mengenai praeklampsia masih belum dapat dijelaskan dengan tepat. Namun, kajian yang dijalankan mendapati, ia adalah berkaitan dengan masalah uri atau plasenta di dalam rahim ibu.
Patogenesis yang dikaitkan ialah:
Placental ischemia atau kekurangan salur darah ke plasenta. Untuk kehamilan normal (seperti dalam gambarajah) cytotrophoblast akan meresap masuk kedalam dinding rahim dan membantu kelancaran salur darah, namun untuk ibu yang mengalami masalah praeklampsia ini perubahan faktor imuniti badan antara ibu-bayi telah menyebabkan salur darah itu menjadi sempit.
Pengurangan penghasilan enzim vasodilator.
Kajian terperinci mengenai punca praeklampsia telah mendapati bahawa agen untuk pengembangan saluran darah pada ibu mengandung sangat kurang.
Faktor ketidakstabilan fungsi sistem endothelial
Faktor keturunan atau genetik.
Kenal Pasti Simptom Preeklampsia
Sistem pemeriksaan antenatal di Malaysia adalah salah satu yang terbaik di Asia, pemantauan secara penyeluruh telah berjaya mengesan risiko praeklampsia dalam kalangan ibu. Sekiranya ibu didapati mengalami tekanan darah lebih 140/90mmHg dan dikesan mengadungi protein di dalam kencing, pemeriksaan darah untuk beberapa ujian akan terus dijalankan.
Ini bertujuan untuk mengenalpasti risiko organ lain yang berkemungkinan terlibat kerana masalah praeklampsia. Tidak banyak simptom awal yang disedari para ibu tetapi sekiranya ada yang mengalami pembengkakan kaki yang teruk atau peningkatan berat badan yang mendadak perlu rujuk hal ini kepada doktor.
Simptom yang perlu dirujuk ke hospital dengan kadar segera ialah seperti sakit kepala, penglihatan menjadi kabur, sakit pada bahagia ulu hati, kencing dalam kuantiti yang sedikit atau rasa sesak nafas. Ini adalah simptom risiko sawan yang mungkin boleh berlaku sekiranya diabaikan.
Apakah risiko kepada ibu dan bayi dalam kandungan?
Risiko kepada ibu
Jika praeklampsia tidak dirawat dengan segera, ia boleh menyebabkan komplikasi yang serius untuk ibu seperti kegagalan hati, kegagalan buah pinggang serta masalah jantung. Risiko sawan adalah keadaan yang paling digeruni kerana kegagalan fungsi otak mungkin boleh berlaku sekiranya bekalan oksigen terhenti.
Selain itu sindrom Penyakit HELLP (hemolisis, enzim hati yang tinggi, dan bilangan platelet yang rendah) – Keadaan yang biasanya berlaku lewat dalam kehamilan yang boleh menjejaskan pecahan sel darah merah, pembekuan darah, dan fungsi hati wanita hamil. Kesemua risiko ini boleh menyebabkan kematian atau morbiditi yang tinggi kepada ibu.
Praeklampsia boleh menyebabkan pengurangan aliran darah ke plasenta sehingga menyebakan kekurangan oksigen dan nutrien. Ini boleh menyebabkan pembantutan pembesaran janin didalam kandungan, pengurangan penghasilan air ketuban dan juga risiko kelahiran bayi pramatang.
Rawatan utama kepada ibu dan bayi adalah kelahiran. Untuk menstabilkan keadaan ibu tersebut pihak doktor terpaksa mengambil keputusan untuk kelahiran awal bagi mencegah risiko-risiko yang merbahaya kepada ibu dan bayi dari berlaku. Tidak ada cara untuk mengubati praeklampsia kecuali untuk bersalin awal dari jangkaan iaitu melalui kaedah pembedahan. Walaupun selepas bersalin, tanda-tanda dan gejala preeklampsia boleh bertahan sehingga enam minggu.
Siapakah yang berkemungkinan mengalami Praeklampsia?
Ini boleh dikategorikan kepada 2:
Risiko Tinggi
Ini merujuk kepada ibu-ibu yang pernah mendapat praeklampsia untuk kandungan sebelumnya, ibu yang mempunyai penyakit darah tinggi sebelum mengandung, pesakit diabetes sebelum mengandung atau pesakit buah pinggang.
Risiko sederhana
Merujuk kepada ibu-ibu kandungan pertama dan kebiasaannya ibu remaja, atau berusia lebih dari 40 tahun, atau mempunyai BMI melebihi 30kg/m2 atau jarak kelahiran melebihi 10 tahun.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bantuan Awal Persekolahan, "Peluasan BAP kepada pelajar tingkatan enam pertama kali dilaksanakan..." Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam bermula pada sesi persekolahan 2025/2026.