Apabila anak pulang ke sekolah mereka letih. Begitu juga otak mereka. Lebih-lebih apabila tiada nutrisi untuk otak diambil mereka.

Petang ada kelas PAFA. Malam pula ada tuisyen. Sampai lembik budak-budak ini.

Soalnya dengan begitu banyak aktiviti gunakan otak sepanjang hari, dapatkah mereka bertahan? Dapatkah otak mereka mencerap semua maklumat? Atau ia hanya jadi kelas sosial?

Kita pastinya tidak mahu duit yang dilaburkan hanyut begitu sahaja. Keputusan anak masih tidak seberapa. Hasil masih jauh dari yang kita suka.

Doktor Kongsi Tip Mudah Nak ‘Power Up’ Otak Anak, Hanya Guna Seikat Pegaga!

Cara mudah ialah sediakan secawan air pegaga:

1. Ambil seikat pegaga. Basuh. Bersihkan.

2. Masukkan ke dalam blender.

3. Masukkan air. Ikut kepekatan mana yang kita mahu.

4. Blend.

IKLAN

5. Campurkan dengan madu atau gula apong (di Sarawak sahaja) atau gula kabong.

Hidangkan. MUDAH dan CEPAT.

Pegaga tingkat imun sistem. Buka pembuluh darah di dalam OTAK. Nutrisi mudah masuk. Maklumat segera dihadam. Memori semakin baik. Ini adalah tips mudah power up otak anak-anak.

Kelebihan Daun Pegaga;

Mempunyai sifat perlindungan kepada sistem saraf (neuroprotective)

Ekstrak pegaga dikatakan mempunyai sifat perlindungan yang baik untuk sistem saraf akibat daripada kandungan kompaun antioksidan yang terdapat di dalamnya. Memandangkan kesan stres oksidatif dan juga gangguan dalam mekanisma antioksidan semula jadi badan memainkan peranan penting dalam pembentukan penyakit kognitif seperti penyakit Alzheimer (AD) jenis sporadik, ekstrak Centella asiatica (CAE) melalui tindakan antioksidannya dikatakan berpotensi untuk mencegah defisit kognitif hasil daripada pendedahan kronik kepada radikal bebas. Sebagai contoh, satu kajian yang melihat tindakan terbitan bahan asiaticoside menentang kesan toksik beta-amyloid pada kultur sel dan juga hirisan bahagian hippocampus mendapati ia berupaya untuk menghalang kematian sel yang dicetuskan oleh radikal bebas dan juga daripada pendedahan kepada beta-amyloid. Pendedahan kepada beta-amyloid merupakan salah satu mekanisma yang membawa kepada terjadinya penyakit Alzheimer. Terbitan kompaun asid asiatik yang terdapat dalam ekstrak pegaga juga menunjukkan kesan perlindungan saraf yang signifikan pada sel kortikal otak dengan cara menguatkan mekanisma perlindungan oksidatif sel.

Dalam satu kajian lain yang membabitkan tikus yang telah diberikan streptozotocin untuk mencetuskan gangguan kognitif dan stres oksidatif, CAE telah diberikan (100, 200 dan 300 mg/kg selama 21 hari) sebagai rawatan untuk melihat keupayaan CAE untuk menambah baik fungsi kognitif tikus tersebut di samping menzahirkan keupayaan antioksidan yang terdapat di dalamnya. Dalam kaitan yang bergantung kepada dos (dose-dependent relationship), tikus-tikus yang telah dirawat tersebut didapati berupaya untuk menunjukkan peningkatan fungsi kognitif mereka. Penurunan paras malondialdehyde (MDA) yang signifikan dan juga peningkatan paras antioksidan glutathione dan enzim catalase diperhatikan dalam tikus-tikus yang dirawat dengan 200 dan 300 mg/kg CAE. Kompaun-kompaun yang terdapat dalam CAE ini terbukti berkesan dalam memberi perlindungan kepada sel-sel saraf daripada kecederaan oksidatif.

IKLAN

Pencegahan strok sekunder dan peningkatan keupayaan kognitif pasca-strok

Strok, atau dikenali sebagai angin ahmar dalam warga tempatan, boleh mengakibatkan penurunan keupayaan kognitif. Kekerapan gangguan kognitif selepas strok iskemia ini berada pada julat 20 hingga 30%, dengan risiko yang meningkat dalam dua tahun pertama selepas diserang strok. Sekitar 25% pesakit yang telah diserang strok akan menghidap dementia dan risiko kumpulan pesakit pasca-strok untuk menghidap dementia dalam masa 5 tahun akan datang adalah sebanyak 9 kali ganda berbanding populasi sihat, khususnya pada domain memori dan keupayaan untuk memfokus. Mengurus dan merawat gangguan kognitif selepas diserang strok bermatlamat untuk mencegah strok sekunder (diserang strok lagi sekali) dan untuk menambah baik keupayaan kognitif.

Kandungan homocysteine yang tinggi dikenali sebagai faktor risiko untuk strok. Untuk tujuan itu, rawatan pencegahan untuk serangan strok sekunder ditumpukan pada mengurangkan paras homocysteine dalam darah. Pengambilan asid folik sekitar 0.5-5mg sehari didapati berjaya untuk mengurangkan paras homocysteine dalam darah sebanyak 15-40% dalam masa 6 minggu. Memandangkan penggunaan gabungan ubat-ubat seperti sedatif, antikegelisahan, antimurung dan ubat-ubat saraf yang lain adalah mahal dan berupaya untuk menyebabkan pelbagai kesan sampingan yang tidak diingini, fokus kajian semasa adalah untuk melihat kepada alternatif yang lebih semula jadi. Untuk tujuan itu, CAE digunakan sebagai bahan kajian.

Walaupun selepas menghidap serangan strok, penggunaan CAE juga dikenal pasti mampu untuk memberikan peningkatan fungsi kognitif pesakit yang efektif. Dalam kajian tersebut, dos 750 mg dan dos 1000 mg CAE telah digunakan manakala dos sebanyak 3 mg digunakan untuk asid folik. Berbeza dengan kajian lain yang bersifat praklinikal, kajian ini melibatkan 48 pesakit-pesakit yang telah diserang strok yang mempunyai masalah kognitif dan telah dirawat di dua hospital di Yogyakarta, Indonesia. 17 pesakit diberikan CAE pada dos 1000mg/hari, 17 lagi pesakit diberikan CAE pada dos 75mg/hari dan 14 subjek terakhir dirawat menggunakan asid folik 3mg/hari, selama 6 minggu. Selepas tempoh 6 minggu kajian, para pengkaji mendapati berdasarkan sistem permarkahan MoCA-Ina, kesemua kumpulan menunjukkan penambahbaikan dari segi keupayaan kognitif berbanding keupayaan masing-masing sebelum menjalani rawatan. Apa yang menarik adalah walaupun tiada perbezaan signifikan antara keberkesanan CAE dan juga asid folik dalam meningkatkan keupayaan kognitif pesakit pasca-strok, CAE didapati dapat menghasilkan peningkatan domain kognitif memori yang lebih baik berbanding asid folik.

Mempunyai sifat antiradang dan tahan sakit

IKLAN

Penggunaan pegaga untuk merawat sakit sendi dan juga rasa sakit secara am pada tubuh badan telah lama dipraktikan. Walaupun amalan rawatan tradisional tidak ditambah dengan sebarang pembuktian saintifik dan penjelasan yang terperinci, kini keupayaan untuk CAE menghasilkan kesan tahan sakit dan juga sifat antiradang ini telah banyak dilaporkan oleh kajian-kajian praklinikal. Kesan tahan sakit ini diuji dengan memberikan CAE dalam bentuk akueus pada dos 10, 30, 100 dan 300 mg/kg pada tikus kajian manakala kesan antiradang diuji dengan sampel keradangan kaki tikus akibat suntikan prostaglandin E2. Dari sudut kesan tahan sakit, kajian tersebut mendapati bahawa CAE berkesan dalam menghasilkan tindakan antikeradangan dan juga berupaya untuk menghasilkan kesan tahan sakit yang sama kuat dengan ubat aspirin, namun tidak sekuat kesan ubat tahan sakit yang lain seperti morfin.

Terdapat satu kajian yang melihat kesan madecassoside, salah satu komponen yang terdapat dalam CAE, ke atas penyakit arthritis cetusan kolagen jenis II (CIA) dalam tikus. Kajian yang bertujuan untuk melihat kesan terapeutik dan juga mekanisma tindakan madecassoside terhadap CIA itu melibatkan formulasi oral pada dos 10, 20 dan 40 mg/kg yang diberikan selama 20 hari. Berdasarkan ujian histopatologi, para pengkaji mendapati bahawa penggunaan bahan aktif tersebut berjaya untuk mengurangkan pencerobohan sel-sel keradangan ke dalam rawan dan juga darjah hiperpalasia lapisan synovium. Tindakan ini menunjukkan kesan perlindungan daripada kerosakan sendi yang biasa dilihat dalam penyakit arthritis. Tambahan lagi, madecassoside juga menurunkan paras antiCII IgG, menghalang tindak balas hipersensitif lengah terhadap CII dan pada kadar sederhana, menekan pembahagian limfosit cetusan CII daripada nodus limfa di bahagian popliteal.

Rumusan daripada kajian yang telah dilakukan adalah madecassoside cukup berkesan dan berjaya dalam menghalang pembentukan penyakit CIA dalam tikus, dan mungkin juga mewakili komponen aktif utama yang terdapat dalam pegaga bagi menjelaskan penggunaan tradisionalnya dalam merawat sakit sendi. Keputusan kajian-kajian ini mencadangkan bahawa penggunaan tradisional CAE dalam merawat rasa sakit dan sakit sendi secara khususnya adalah tindakan yang mempunyai justifikasi dari sudut pandang sains.

Membantu masalah ketidakcekapan vena (venous insufficiency)

Salah satu daripada kesan utama CAE ke atas tisu penghubung (connective tissue) yang diketengahkan oleh dapatan kajian adalah ia dapat membantu menguatkan saluran vena yang lemah. Dalam rawatan untuk penyakit scleroderma, ia mungkin membantu untuk menstabilkan kadar pembesaran tisu penghubung, mengurangkan pembentukannya dengan cara merangsang pembentukan hyaluronidase dan chondroitin sulfate, di samping menghasilkan kesan imbangan ke atas tisu penghubung. CAE dilaporkan bertindak ke atas dinding salur darah, menghasilkan kesan perlindungan daripada kecederaan mikroangipati akibat daripada tekanan darah tinggi dan ketidakcekapan vena. CAE juga membantu untuk mengurangkan kadar penapisan salur darah kapilari dengan meningkatkan paramater mikro-peredaran.

Mempunyai sifat antikeresahan

Dalam pelbagai budaya timur, ekstrak pegaga telah lama digunakan untuk menghasilkan kesan penenangan dan antikeresahan. Dalam karya tamadun India, ekstrak daripada tumbuhan pegaga dikatakan mempunyai kesan seperti penenang, pelega dan juga sifat yang menyokong kepintaran dan kecerdasan otak. Kesan penenang ini dikenal pasti berpunca daripada bahan aktif brahmoside dan juga komponen brahminoside, manakala aktiviti antikeresahan dikatakan disumbang oleh aktiviti ikatan kepada reseptor cholecystokinin (CCKB), sejenis reseptor protein G yang mengikat hormon peptida cholecystokinin (CCK) atau hormon gastrin. Reseptor CCKB ini dikatakan memainkan peranan dalam mengawal keresahan, rasa sakit, ingatan dan juga rasa lapar dalam manusia dan juga binatang.

Kredit: DrRizal Abu BakarHello Health Group

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI