Plasenta praevia adalah satu keadaan dimana uri berada dalam kedudukkan  yang rendah didalam rahim . Ia terdiri daripada beberapa tahap-tahap tertentu. Dr Siti Esah Bahari, Pakar Obstetrik & Ginekologi,  menjelaskan lebih lanjut mengenai komplikasi ini.

Plasenta atau uri adalah organ sementara yang berfungsi menyalurkan keperluan bayi daripada ibu dan menyalur keluar bahan kumuhan daripada bayi yang dikeluarkan menerusi ibu melalui tali pusat. Antara bahan yang disalurkan kepada bayi dan ibu melalui uri ialah;

  • Nutrien
  • Oksigen dari ibu kepada bayi
  • Karbon dioksida dari bayi kepada ibu

Menurut Dr Siti Esah, terdapat beberapa keadaan yang membabitkan plasenta. Antaranya ialah plasenta praevia. Plasenta praevia ialah keadaan di mana kedudukan uri berada rendah di dalam rahim sama ada ia menutupi pembukaan pangkal rahim sepenuhnya (complete placenta praevia), sebahagian pangkal rahim (partial placenta praevia) atau marginal dimana uri berada ditepi pangkal rahim. Plasenta praevia meletakkan kehamilan dalam kategori kehamilan berisiko.

1 dalam 200 kehamilan

“Plasenta praevia berlaku satu dalam 200 ( 0.5% ) kehamilan  cukup bulan . 6% dari kandungan pada trimester kedua  mengalami uri yg rendah. Namun 90% kes plasenta praevia akan kembali  kekedudukan yang normal pada trimester terakhir, kata Dr Siti Esah.

Kedudukan uri pada awal kehamilan  tidak perlu dibimbangkan tetapi perlu dipantau. Ini kerana 90 %  uri  rendah akan naik seiring  dengan tumbesaran rahim semasa  pertambahan usia kandungan.

9 punca plasenta praevia

Plasenta praevia lebih berisiko  terjadi jika terdapat faktor berikut iaitu;

a)Masalah pada rahim di mana ibu pernah melalui pembedahan pada bahagian rahim seperti;

IKLAN
  1. Pembedahan membuang fibroid.
  2. Prosedur dilation and curettage (D&C) atau sejarah keguguran
  3. Pembedahan caesarean
  4. Apa-apa pembedahan yang menyebabkan dinding rahim berparut.

b) Masalah pada uri di mana terdapat masalah;

  1. Uri bersaiz terlalu besar (kehamilan kembar )
  2. Ibu yang merokok
  3. Ibu yang telah mempunyai anak ramai
  4. Ibu yang pernah mengalami plasenta preavia sebelum ini.
  5. Ibu yang berumur 35 tahun ke atas.

Doktor Pesan Ibu Hamil Plasenta Praevia Buat 7 Tip Ini. Pendarahan Boleh Berlaku Bila-Bila Masa!

Diagnosis

Menurut Dr Siti Esah kes plasenta praevia boleh dikesan oleh doktor melalui ujian imbasan atau scan.

“Selain daripada dikesan melalui ujian imbasan, tanda klasik berlakunya plasenta praevia ialah apabila berlakunya pendarahan tanpa rasa sakit dalam kuantiti banyak atau sedikit.

“Kedudukan bayi yang tidak normal juga menjadi petanda berlakunya keabnormalan pada kedudukan uri. Bayi yang songsang, senget atau melintang  boleh menjadi petanda  plasenta praevia berlaku.Hanya 21.7% ibu placenta praevia yang tidak mengalami pendarahan.

IKLAN

7 tip ibu plasenta praevia

Ibu hamil yang disahkan mengalami plasenta praevia perlu mematuhi pesanan dan saranan daripada doktor. Dr Siti Esah menyarankan agar ibu yang mengalami plasenta praevia melakukan perkara berikut;

  • Mengurangkan aktiviti lasak.
  • Mengelakkan hubungan intim suami isteri.
  • Tidak sekali-kali mengurut rahim untuk menaikkan uri!
  • Terus ke hospital sekiranya berlaku pendarahan walaupun sedikit. Ia mungkin warning bleed.
  • Jika kandungan berusia 34 minggu ke atas, anda mungkin disarankan untuk berehat atau bedrest dan terus ke hospital sekiranya berlaku pendarahan.
  • Terus ke hospital apabila mula merasakan kontraksi walau pun tidak kuat.
  • Ibu perlu memastikan tahap haemoglobin (Hb) pada paras yang mencukupi iaitu sekurang-kurangnya 11.5 g/dl. Kebanyakan ibu hamil yang mengalami plasenta praevia akan dibekalkan pil zat besi untuk memastikan paras Hb stabil & terkawal.

Doktor Pesan Ibu Hamil Plasenta Praevia Buat 7 Tip Ini. Pendarahan Boleh Berlaku Bila-Bila Masa!

Komplikasi akibat plasenta praevia

Sekiranya anda disahkan mengalami plasenta praevia, mustahak bagi anda untuk mengetahui risiko dan komplikasi yang boleh berlaku. Dr Siti Esah berkata tiga keadaan ini boleh berlaku iaitu;

  1. Pendarahan yang mungkin berlaku sebelum, semasa atau selepas kelahiran. Ini mungkin memerlukkan transfusi darah.
  2. Bayi dalam kandungan berisiko mengalami terencat pertumbuhan.
  3. Kelahiran bayi pramatang.

Perkaitan plasenta praevia dengan plasenta accreta

Selain plasenta praevia, terdapat juga keadaan dinamakan plasenta acreta di mana uri  melekat /menembusi myometrium. Keadaan ini boleh mengakibatkan uri sukar dikeluarkan dan boleh mengakibatkan pendarahan yang banyak yang memerlukkan rahim di keluarkan ( histerektomi)

IKLAN

“Kira-kira 0.2 %  ibu hamil  mengalami plasenta accreta. Ibu yang mengalami plasenta praevia yang pernah melalui pembedahan sebelum ini berisiko tinggi untuk mengalami plasenta acreta. Para doktor selalunya akan menerangkan  pesakit tentang risiko ini , ini supaya mereka sentiasa berwaspada dan bersedia jika ianya berlaku ,” kata Dr Siti Esah.

Pengurusan kehamilan plasenta praevia

Bagi ibu yang mengalami plasenta praevia, amat mustahak untuk mengetahui info-info ini ketika mendapatkan rawatan sekiranya berlaku pendarahan.

Jenis rawatan plasenta praevia  bergantung pada,

  1. usia janin
  2. keadaan janin
  3. berapa banyak pendarahan
  4. pendarahan berlakui secara berterusan atau telah berhenti
  5. kedudukan janin dalam kandungan ibu.

Pendarahan bila-bila masa antara minggu ke-34 hingga 36

Menurut doktor, pendarahan boleh berlaku bila bila masa terutama pada minggu ke-34 hingga ke-36 dan kebanyakan ibu yang mengalami plasenta praevia akan dijadualkan untuk dibedah apabila usia kandungan mencecah 37 hingga 38 minggu.

“Sekiranya berlaku pendarahan fokus utama adalah kestabilan ibu dan keadaan janin.Jika bayi pramatang,rawatan secara konservatif dijalankan jika pendarahan berhenti dan kedua dua bayi dan ibu stabil.Walaubagaimanapun jika pendarahan berterusan dan banyak, pembedahan  akan dijalankan  untuk mengeluarkan bayi walau pada usia terlalu pramatang sekalipun.

Oleh itu, ibu-ibu perlu peka dan prihatin dengan keadaan diri sendiri apabila disahkan plasenta praevia. Pendarahan sedikit atau banyak, bersama kontraksi atau tidak perlu dirujuk ke hospital secepat mungkin untuk meyelamatkan nyawa bayi dan ibu.

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI