Ketika dalam proses kelahiran, ramai berpesan para ibu untuk tidak sesekali mengangkat punggung. Untuk itu, Dr Maiza Tusimin, Ketua Jabatan dan Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia menerangkan cara yang betul patut anda lakukan semasa melalui detik penting tersebut.
Proses melahirkan cahaya mata secara normal merupakan suatu proses yang dinamik melibatkan kontraksi rahim, bukaan serviks dan penurunan kepala bayi ke perineum. Proses meneran bermula pada fasa kedua kelahiran (second stage of labour).
Fasa kedua adalah paling kritikal bagi kelahiran secara normal. Dalam keadaan kesakitan yang amat, terdapat segelintir ibu yang secara tidak sengaja hilang mengawal emosi dan tindak balas pergerakan tubuh. Keadaan seperti ini boleh menyebabkan koyakan perineum yang teruk. Persiapan mental dan fizikal semasa hamil merupakan kunci utama untuk mengelakkan atau mengurangkan risiko kecederaan teruk kepada perineum.
Bagi pasangan yang bakal melalui pengalaman kelahiran pertama, menghadiri kelas antenatal akan menyediakan anda berdua dengan ilmu bersalin agar anda mempunyai persediaan mental yang baik dan tahu apa yang perlu dilakukan ketika melalui proses kelahiran. Ilmu meneran yang betul ketika fasa kedua adalah amat penting untuk mengelakkan koyakan perineum.
Sebagaimana kontraksi berlaku, bermula daripada bahagian atas (fundus) dan tersebar ke hujung rahim, proses meneran perlu melibatkan abdomen ke punggung ibarat membuang air besar. Posisi seperti udang membengkok adalah posisi yang betul untuk meneran. Anda perlu mengangkat kepala, rapatkan dagu ke dada dan halakan pandangan mata ke perut.
Pastikan anda memegang pergelangan kaki agar punggung tidak terangkat ketika meneran. Kawal emosi dan elakkan diri daripada mengeluarkan suara ketika meneran kerana ini akan menghabiskan tenaga.
Anda perlu kekalkan pernafasan yang tenang dan hanya meneran apabila mendapat isyarat daripada doktor/bidan. Anda kena sentiasa pastikan agar punggung tidak terangkat sepanjang proses meneran.
Ketika kepala bayi mula kelihatan (crowning), doktor/bidan akan menggunakan pad untuk melindungi perineum yang menegang dengan tujuan untuk meminimumkan koyakan perineum. Pada ketika ini, hubungan dinamik doktor – ibu amat penting agar anda teruskan meneran tetapi dengan kawalan secara perlahan-lahan agar kelahiran kepala bayi lebih terkawal. Peranan suami sebagai pendamping sepanjang kelahiran amat penting untuk memberi sokongan dan membantu mengawal emosi anda. Bagi yang beragama Islam, mengamalkan zikir dan doa juga membantu melancarkan proses kelahiran.