Doktor Pesan Periksa Dulu Bawah Lidah Bayi Selepas Lahir. Tongue Tie Boleh Ganggu Penyusuan & Pertuturan

Share

Ada sebabnya doktor berpesan untuk periksa bawah lidah bayi selepas dilahirkan. Ia adalah untuk memastikan bayi tidak mengalami tongue tie. Ramai menyangka bayi tidak mahu menyusu atau susu tiada, tapi tanpa sedar tongue tie adalah puncanya.

Dr. Aimi Jaafar, Kaunselor Laktasi & Pegawai Perubatan dari Klinik Taqwa telah berkongsi infi mengenai keadaan tongue tie pada bayi baru lahir.

TONGUE TIE DAN PENYUSUAN

Masyarakat kita sudah makin terdedah dengan kepentingan penyusuan badan, Alhamdulillah. 

Kalau 10 tahun dahulu, mungkin kita akan selalu terima jawapan ‘susu tak ada’, sekiranya ibu berhenti menyusukan badan. Tapi sekarang, lebih banyak jawapan dan masalah yang dapat kita selesaikan, yang pastinya bukan disebabkan ‘susu ibu tak ada’.

KEADAAN YANG BOLEH MENYEBABKAN PENGHASILAN SUSU KURANG

#1: KURANG KELENJAR SUSU-Memang ada situasi di mana ibu mempunyai kelenjar susu kurang, yang disebut Insufficient Glandular Tissue (IGT), yang memang boleh menganggu supply susu yang cukup. Tapi keadaan ini adalah sangat jarang.

#2: IBU PERNAH ALAMI PEMBEDAHAN PADA PAYUDARA-Selain itu, sekiranya ibu pernah menjalani pembedahan di bahagian payudara, juga boleh mengganggu penghasilan susu.

#3: PELEKAPAN, POSISI & EMOSI IBU-Untuk keadaan yang selain di atas, selalunya masalah penyusuan banyak berpunca dari pelekapan, posisi, dan emosi.

#4: TONGUE TIE Salah satu yang boleh mengganggu perlekapan bayi sewaktu menyusu adalah disebabkan oleh ‘tongue tie’.

JADIKAN AMALAN MELIHAT BAWAH LIDAH BAYI LEPAS LAHIR

Jadikanlah amalan untuk terus melihat bawah lidah bayi setelah lahir. Sekiranya nampak seperti ada tali yang menambat lidah si bayi, itu adalah tongue tie, dan ia boleh mengganggu bayi untuk menyusu dengan sempurna.

Lihat juga sekiranya bayi tidak pernah keluarkan lidah dari mulut, dan sekiranya dijulurkan keluar, lidah kelihatan seperti bentuk <3 / W shape.

5 MASALAH PENYUSUAN BAGI BAYI YANG MEMPUNYAI TONGUE TIE

Antara masalah yang boleh dijangkakan dengan kehadiran tongue tie;
1. Hisapan yang sering terlepas, lidah tidak dapat mengekalkan hisapan.
2. Bayi mengamuk sewaktu / selepas menyusu. Ini boleh disebabkan susu yang dapat diminum tidak banyak seperti yang sepatutnya dan bayi boleh jadi penat kerana harus berusaha lebih untuk dapatkan susu.
3. Ibu rasa sakit pada puting dan boleh menyebabkan luka. Ini disebabkan bayi banyak hisap pada bahagian puting.
4. Peningkatan berat badan bayi yang tidak memberangsangkan. Sekiranya bayi tidak dapat menyusu dengan baik, pada pemeriksaan pada 1 bulan pertama, akan dapat lihat bahawa berat bayi tidak naik seperti diharapkan.
5. Bayi ingin mengempeng setiap masa. Ada juga bayi yang terus menerus ingin menyusu, dan ini akan menyebabkan ibu berasa stress.

Ada kes yang memenuhi kesemua ciri di atas, ada juga kes kes terpencil di mana bayi membesar dengan baik, dan ibu tidak merasakan sakit.

TONGUE TIE JUGA AKAN MENGGANGGU PERTUTURAN
Sekiranya si bayi boleh menyusu dengan bagus walaupun dengan kehadiran tongue tie, pada usianya 2 tahun nanti, mungkin bayi boleh mempunyai masalah pertuturan. Sama ada lewat bercakap, ataupun pelat. Tapi tak semua akan mengalami masalah ini.

PERLU PEKA TENTANG TONGUE TIE
Saya seru kepada semua ibu bapa, para nurse, doktor dan PC/LC untuk alert mengenai ini, dan utamakanlah penyusuan susu ibu. Ada yang lebih pentingkan percakapan, dan mahu pantau sehingga bayi sudah 2 tahun. Anda rasa berjayakah si ibu menyusukan anak tersebut kalau tunggu 2 tahun baru check? Saya rasa tak. 

TONGUE TIE RELEASE PROSEDUR RINGKAS TAPI BESAR IMPAKNYA KEPADA SI ANAK

Apa yang boleh dilakukan sekiranya anak anda ada tongue tie? Lakukan procedure ‘tongue tie release’. Ia adalah prosedur yang sangat simple, tapi efeknya sangat besar. 

Saya galakkan untuk lakukan prosedur ini secepat mungkin, kerana kita tak mahu keadaan ini menganggu pertumbuhan anak. Tapi sekiranya masalah ini dikesan setelah 4 bulan pun, masih tidak terlambat untuk dibuat.

Biasanya LC/PC akan check dan sarankan penyelesaian sekiranya memang masalah penyusuan adalah disebabkan tongue tie. 

Sumber: Dr. Aimi Jaafar
Kaunselor Laktasi & Pegawai Perubatan
Klinik Taqwa

Published by
Azma ML