Ibu ayah mana yang tak susah hati bila anak demam. Pasti ada stok ubat demam yang disimpan di rumah, manalah tahu kalau tiba-tiba demam menjengah. Apatah lagi dengan keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang, mudah saja anak jatuh sakit.
Dr Ahmad Luqman Bukhari ada berkongsi tentang dos ubat demam yang tepat untuk diberikan kepada anak sekiranya mereka tidak sihat. Katanya, risiko jika tersilap pemberian dos ubat boleh menyebabkan hati bengkak dan rosak!
“Doktor, saya dah bagi dah ubat demam kat anak saya ni. Tapi demam dia tak kebah-kebah jugak lagi”.
Adu seorang ibu masa sesi konsultasi itu hari. Berkerut-kerut mukanya pamer kerisauan.
Rupa-rupanya, bila saya korek dan tanya lebih banyak, barulah saya tahu yang dos diberi pada anak tu sebenarnya tak cukup.
Patutlah, demam dia sama saja walaupun dah diberi ubat.
****
Kali ni saya nak kongsikan panduan untuk kalian kira dos ubat paracetamol yang tepat untuk bayi atau kanak-kanak.
Sebelum tu, kalian kena tahu kebiasaannya ada 2 jenis kekuatan ubat paracetamol yang terdapat di kedai-kedai farmasi iaitu 120mg/5ml dan 250mg/5ml.
Sebab, kekuatan ubat ni ianya akan mempengaruhi kiraan jumlah dos yang kalian nak beri nanti.
Ada FORMULA untuk kira berapa banyak Paracetamol dalam milligram yang perlu diberi, dan ianya mengikut berat badan anak kalian.
15mg/kg ubat Paracetamol untuk setiap 6 jam.
****
Baiklah, langkah pengiraannya begini ya:
1. Kalian wajib tahu berat badan anak. Berat badan semasa ya, bukan berat badan 6 bulan lepas.
2. Dos paracetamol yang diperlukan ialah 15mg bagi setiap 1 kg berat.
Katakan berat semasa anak kalian 10kg. Maka dos yang tepat adalah 10 x 15mg iaitu bersamaan 150mg.
Ini ialah jumlah dos yang diperlukan untuk memberikan tindakbalas berkesan. Jika terlebih, ianya berpotensi jadi overdose dan boleh akibatkan komplikasi buruk.
Sekiranya terkurang, kalian tak akan dapat kesan seperti yang dikehendaki (underdose). Sebab itulah panas demam tu masih sama je selepas beri ubat.
3. Jadi berapa nak bagi (berapa mL) untuk dapatkan 150mg tadi?
Kalau kalian guna Paracetamol 120mg/5ml, kiraannya:
(150/120) x 5mL
= 1.25 x 5mL
= 6.25mL
Maka, kalian boleh beri 6.25ml paracetamol 120mg/5ml setiap 6 jam.
Baik, bagaimana jika kalian beli ubat Paracetamol 250mg/5ml?
(150/250) x 5mL
= 0.6 x 5mL
= 3mL
Jadi, berilah 3mL Paracetamol 250mg/5mL setiap 6 jam pada anak kalian.
Mudah saja untuk kalian faham kan?
Sekiranya ibu ayah merasa keliru atau kurang pasti dengan dos yang seharusnya diberikan kepada anak, Dr Luqman juga ada mencadangkan aplikasi yang boleh membantu kita membuat kiraan dos.
Tapi kali ni saya nak tunjukkan apps yang boleh bantu mudahkan kalian kira berapa jumlah ubat yang tepat sebelum berikan pada anak.
Ada banyak jenis sebenarnya dekat Google Playstore sana. Salah satunya ialah ‘Paracetamol Dosage Calculator’.
Mudah sangat nak guna apps yang ini. Simple gitu.
Mak ayah cuma perlu tahu 2 perkara saja.
✅ Berapa ‘persediaan’ ubat yang nak disuap tu. Ambil dulu botol ubat kemudian check label. Ada 2 jenis je samada persediaan 120mg/5mL atau 250mg/5mL.
✅ Berapa berat badan anak. Ambil berat yang latest tau. Tak usah main agak-agak atau pun lagi teruk, suka hati gunakan berat anak masa 2 bulan dulu.
Kemudian klik dekat apps tu ikut maklumat tadi dan tadaaaa! Kalian dah dapat jumlah tepat dos yang nak diberi pada anak.
Tolong ya, bantu saya #share info tentang apps yang bagus ni supaya lebih ramai parent yang alert dan harapnya tak adalah kes terlebih dos macam ni berlaku lagi.
Semoga bermanfaat!