Selepas memotong atau menumbuk cili, kebanyakan ibu-ibu akan terasa pijar dan pedih di tangan. Itu adalah normal tetapi jika ia berterusan sehingga beberapa jam atau seharian, agak menganggu untuk melakukan rutin harian lain.
Ada macam-macam petua yang dikongsikan oleh orang dulu-dulu. Kadang ada yang berkesan, ada yang mengambil masa lama juga. Jadi untuk membantu ibu-ibu mengurangkan rasa pijar, tip dikongsikan oleh Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan boleh dicuba.
“Doktor, tangan saya pijar! Macam mana nak hilangkan? Seksa, doktor!”
Kadang-kadang, ada pesakit datang ke klinik sebab tangan dia pijar selepas dia menyambal. Kesilapan utama yang dilakukan oleh ramai orang adalah, mencuci dengan air sahaja.
Tangan kita pijar selepas pegang cili adalah kerana cili mengandungi capsaicin. Sebatian ini, akan merangsang reseptor deria sakit. Kalau kena kulit, kita rasa pijar, kalau kena lidah, kita rasa pedas.
Capsaicin ni, ia tak larut air. Kalau kita cuci tangan dengan air sahaja, capsaicin ni sukar nak tanggal dari kulit kita. Capsaicin ni larut dalam minyak/lemak. Oleh itu, kita gunakan:
1. SUSU: susu berlemak dan mengandungi sejenis protin dipanggil casein. Ia akan memutuskan ikatan antara capsaicin dengan reseptor di kulit. Selepas cuci dengan susu, bilas dengan air sabun.
2. MINYAK: jika nak cuci tangan guna susu, rasa macam membazir pula. Jadi kita boleh gunakan minyak. Minyak akan mencairkan capsaicin. Selepas itu perlu juga bilas dengan air sabun.
3. CUKA: capsaicin bersifat alkali, jadi secara teori bahan berasid boleh meneutralkan atau melemahkan kesannya. Boleh juga gunakan air asam, perahan limau, atau sos tomato.
4. ALKOHOL: capsaicin juga boleh dilarutkan dengan alkohol. Jadi boleh gunakan pensanitasi tangan berasaskan alkohol untuk mencuci tangan yang pijar. Kena gunakan banyak.
5. LOSYEN: gunakan losyen berasaskan minyak untuk melarutkan capsaicin, kemudian disusuli dengan bilasan air sabun untuk buang losyen yang telah dicemari capsaicin tadi.
Selain mencuci gunakan bahan-bahan tertentu, capsaicin juga boleh ditanggalkan menggunakan geseran. Maknanya kena gosok tangan dengan tuala, berus, garam atau hampas kelapa.
Semoga bermanfaat!
Kredit: Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)