Datuk Dr Sheikh Muszaphar dedahkan teknik kad imbasan boleh bantu anak membaca seawal tiga tahun. Teknik ini telah dilakukan kepada dua anak perempuan beliau iaitu Bella & Tasha dan terbukti berkesan apabila Bella berupaya untuk membaca pada usia tiga tahun dan Tasha pula pada usia tiga tahun setengah.
Terkini, beliau mula melayangkan kad imbasan perkataan untuk bayi kembarnya, Noah dan Adam yang telah mencecah usia empat bulan. Sebelum ini, angkasawan pertama negara ini menggunakan kad imbasan yang memaparkan imej berwarna hitam dan putih kepada bayi lelaki kembarnya (baca artikel ini). Si kembar, Noah dan Adam kelihatan seronok dengan bonding time dengan ayah mereka .
Berikut ialah catatan Datuk Dr Sheikh Muszaphar;
KAD IMBASAN PERKATAAN
Pada umur bayi 4 bulan, kami telah menukar kad imbasan hitam dan putih dan nombor-nombor kepada kad imbasan berwarna merah yang besar. Kami mempelbagai topik seperti negara, bendera, mamalia dan sebagainya tetapi minggu ini saya telah memilih topik warna untuk anak kembar saya.
Idea ini bukanlah untuk bayi memahami perkataan semata-mata tetapi sebaliknya menyimpannya dalam ingatan mereka yang akan membantu mereka untuk mengenal perkataan-perkataan ini di peringkat seterusnya.
Sebelum ini, teknik ini telah kami perkenalkan kepada anak-anak perempuan (iaitu Bella dan Tasha). Bella mula membaca pada usia 3 tahun manakala Tasha pula pada umur 3.5 tahun. Hal ini menggembirakan kami .…
Saya melayangkan kad imbasan dengan pantas kerana tempoh tumpuan mereka yang singkat. Tetapi apa yang penting ialah anak-anak lelaki saya dapat memberi tumpuan dan teruja melihat kad imbasan yang dilayangkan. Lakukan ini sebanyak dua kali sehari selama seminggu dan tukar topik setiap minggu kerana bayi lekas bosan.
Kesungguhan beliau dalam melibatkan diri dalam asuhan dan pendidikan anak-anak wajar dijadikan contoh khususnya kepada kaum bapa. Walau pun sering kali sibuk, beliau tetap mengatur jadual untuk bersama-sama dengan anak-anak dan terlibat dalam proses didikan, asuhan dan penjagaan.
Dalam pada itu, Dr Sheikh Muszaphar juga sempat berinteraksi dengan para pengikutnya di Instagram mengenai teknik ini. Antara interaksi yang dilakukan ialah menjawab persoalan yang diajukan.
Tidak kurang juga yang memuji semangat beliau.
Dalam masa yang sama, ada pengikut yang berkongsi info mengenai teknik tersebut.
Sumber: Instagram Datuk Dr Sheikh Muszaphar
2 TIP GUNAKAN KAD IMBASAN KEPADA BAYI
Berikut adalah beberapa tip penggunaan kad imbasan supaya ia berkesan kepada bayi.
Bagi menggalakkan semangat ingin tahu bayi, anda harus berusaha untuk melakukannya dengan pantas dan berhenti sebelum minat atau daya tumpuan bayi makin menurun.
Pastikan anda juga ‘menikmati’ sesi itu dan dalam keadaan mood yang baik! Sekiranya anda suka melakukannya dan enjoy, si kecil tentu akan lebih gembira untuk mengambil bahagian, walaupun hanya berumur beberapa bulan.
Kajian menunjukkan bahawa bayi yang diajar dengan kad imbasan akan perkembangan deria penglihatan dan pendengaran lebih cepat. Ia juga merangsang perkembangan otak anak anda dan membuka kunci potensi tersembunyi dalam diri anak-anak.