Ramai yang rasa bila bayi dah mula pandai pegang botol susu, ibu bapa atau pengasuh akan membiarkan anak hisap susu sendiri. Selalunya keadaan ini berjalan lancar tanpa ada masalah.
Bagaimana jika suatu hari, bayi yang di bawah penjagaan tidak lagi bernafas.
Berikut perkongsian dari Dr Zubaidi Hj Ahmad untuk peringatan semua ibu bapa.
Tak kira pengasuh, penjaga atau ibu bapa melakukannya tanpa menyedari perbuatan mereka sangat berbahaya. Bayi diberikan botol susu, diletakkan tinggi sedikit (selalunya dengan dialaskan bantal) agar air susu terus mengalir ke mulut bayi.
Bila melihat bayi “selesa” menghisap susu, bayi ditinggalkan pengasuh, atau ibu bapa atau penjaga melakukan kerja lain.
Bila kerja siap dilakukan dan segera mendapatkan bayi tersebut, berkemungkinan bayi tersebut sudah tidak bergerak, mukanya pucat, sekeliling mulut berwarna biru dan badannya sejuk. Tidak bernafas. Telah meninggal dunia.
Penyusuan sebegini sangat berbahaya kerana aliran susu terus ke mulut tanpa perlu dihisap. Aliran susu secara berterusan tanpa berhenti, sangat berbahaya kerana ia boleh menyebabkan bayi itu “lemas” dan tidak boleh bernafas.
Elakkan melakukan hal ini. Berbahaya. Setiap tahun ada saja kes kematian akibat kecuaian ini.
Jangan biarkan bayi diberikan susu dari botol TANPA pengawasan terutama berusia satu tahun ke bawah. Jika terpaksa memberikan cara begini, pastikan sentiasa bersama bayi. Jika ada kejadian tersedak, segera ambil langkah keselamatan (menepuk belakang bayi) dengan segera.
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad