“Dua-Dua Ada Iras Arwah Isteri, Besarnya Kuasa Allah.” Inilah Cinta Hati Saya!

Share

Membesar tanpa kasih sayang seorang ibu, namun bayi kembar perempuan ini bertuah kerana dikelilingi oleh ahli keluarga yang cukup menyayangi mereka sepenuh hati.

Walaupun tak berkesempatan untuk menatap wajah ibu, merasai pelukan ibu dan susu ibu, perancangan Allah itu cukup indah.

Setelah hampir 3 bulan pemergian isteri akibat komplikasi melahirkan bayi kembar,  perasaan bergelar ayah itu sangat istimewa.

ARTIKEL BERKAITAN [Arwah Baik Sangat, Setiap Hari Minta Maaf. Sampai Hari Ini Bila Teringat Mengalir Air Mata]

Menurut Syazwan Najmi Zulkarni, melihat kembarnya membesar dengan sihat itu dah cukup mengembirakannya. Ini adalah tanda cinta dan amanah isteri yang ditinggalkan untuk dijaga dengan sebaiknya.

“Saya juga tidak sabar menunggu kembar ini boleh bercakap dan mengucapkan hari bapa kepada saya,” katanya

Kembar iras muka arwah isteri

Syazwan Najmi, 23, berkata, tumbesaran puteri kembar, Medina Safiya dan Medina Sofiya semakin baik malah kedua-duanya sihat dan makin berisi walaupun dilahirkan pra matang pada hujung Mac lalu.

Menurutnya, kedua-duanya juga ada iras arwah isterinya, Siti Nur Nasuha Shafie, 23, yang sudah dua bulan lebih meninggalkan mereka buat selama-lamanya.

“Pengorbanan arwah isteri menjadikan saya dapat bergelar seorang ayah dan saya tak akan sia-siakan setiap detik manis bersama si kembar kami,” ujarnya lagi.

ARTIKEL BERKENAAN [Safiya & SofiyaPengubat Rindu Ayah Pada Ibu. Inilah Harta Berharga Arwah Tinggalkan]

Sebelum ini kisah pasangan suami isteri ini mendapat perhatian ramai apabila Syazwan memohon orang ramai mendoakan arwah Siti Nur Nasuha kerana bertarung nyawa akibat komplikasi selepas melahirkan bayi kembar mereka sebelum meninggal dunia pada 14 April lalu.

Arwah yang melahirkan bayi kembar perempuan pada 31 Mac tidak sempat menatap kedua cahaya mata sulung kerana berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ahli keluarga sentiasa mengambil berat

Menurutnya, sejak dibenarkan membuat lawatan, ahli keluarga dan kenalan tidak putus menziarah si kembarnya dan rata-ratanya meluahkan simpati dengan nasib mereka yang membesar tanpa kehadiran ibu dan tak kurang yang ‘mencuba nasib’ ingin menjadikan mereka sebagai anak angkat.

“Buat masa sekarang kedua anak ini dalam jagaan keluarga saya dan mentua secara bergilir kerana rumah kami tidak jauh antara satu sama lain.

“Bagaimanapun mereka lebih kerap berada di rumah mentua kerana saya bekerja bersama mak dan ayah di sebuah kantin hospital di Tumpat namun jika terasa rindu saya boleh pulang menjenguk mereka bila-bila masa,” katanya sambil memberitahu masih meneruskan rutin mingguan dengan menziarah pusara isterinya setiap pagi Jumaat.

Sementara itu, ibu mentuanya, Maharani Abdul Rahman, 43, menyifatkan kehadiran kembar perempuan itu satu anugerah yang tidak ternilai di sebalik kehilangan anak keduanya itu.

Dia yang memiliki lima anak dan semuanya perempuan tidak keberatan menjaga dua cucunya itu kerana boleh melepaskan rasa rindu terhadap arwah Siti Nur Nasuha.

“Pemergian (arwah) Nasuha agak memang mengejutkan tapi kami reda kerana itu adalah asbab kematiannya dan dia meninggalkan dua cahaya mata yang comel ini sebagai amanah untuk kami yang tidak akan disiakan,” katanya.

Sumber: Harian Metro& FB Syazwan (Mie Mie)

Published by
Wan Amy