Dalam memutuskan rantaian penularan wabak pandemik COVID-19, dua golongan iaitu Warga emas dan mereka yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) harus diberikan perhatian oleh semua pihak. Ia penting bagi memastikan usaha kerajaan untuk membendung penularan wabak ini berakhir dengan kejayaan.
Masyarakat perlu membantu petugas di barisan hadapan diketuai “Jeneral Perang” – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam mengurangkan risiko warga emas terdedah dengan pandemik COVID-19.
Semalam, Dr Noor Hisham memaklumkan kebolehpulihan dan prognosis bagi sembuh jangkitan COVID-19 adalah lebih baik sekiranya rawatan dimulakan awal, justeru amat penting bagi kumpulan warga emas untuk mendapatkan rawatan segera walaupun hanya mempunyai gejala ringan seperti demam, batuk, selesema atau sakit tekak.
Kita perlu menimbulkan rasa tanggungjawab ahli keluarga, misalnya, anak atau penjaga yang tinggal bersama warga emas supaya memastikan golongan itu mendapatkan rawatan segera jika tidak sihat, bekalan ubatan mencukupi dan patuhi janji temu rawatan.
Mana tidaknya, statistik kes kematian COVID-19 yang direkod setakat ini menunjukkan 62.6 peratus daripada kes kematian adalah individu berumur 60 tahun ke atas dan golongan itu berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi akibat jangkitan COVID-19 kerana faktor umur dan juga penyakit kronik.
Golongan kedua yang harus didekati pula adalah mereka yang masih ingkar dengan PKP hingga berduyun-duyun memenuhi segenap ruang jalan raya di beberapa tempat utama di negara ini.
Justeru, warganet selaku hulubang di alam media sosial perlu menggembleng tenaga memenuhkan ruang Whatsapp, Facebook, Twitter dan Telegram berkaitan impak mengingkari PKP kepada sesetengah pihak yang masih lagi berdegil.
Semalam, pemerhatian Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati banyak kenderaan di jalan raya terutamanya kenderaan perkhidmatan bukan penting yang mengambil kesempatan memulakan operasi perniagaan walaupun belum mendapat kelulusan beroperasi.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan semua industri perlu memohon kebenaran dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), dan tidak dibenarkan beroperasi tanpa kelulusan MITI.
Justeru, kenapa perlu berada di jalan raya jika belum mendapat kebenaran?
Ramadan bakal tiba tidak lama lagi, namun kerajaan semalam mengingatkan bahawa orang ramai tidak dibenarkan pulang ke kampung dalam tempoh PKP fasa tiga dilaksanakan selain e-bazar Ramadan menerusi kaedah pandu lalu dan ‘bungkus dan ambil’ makanan juga tidak dibenarkan.
Jika golongan warga emas dan mereka ingkar PKP ini tidak diberikan perhatian, maka segala usaha barisan hadapan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memerangi wabak COVID-19, bagai mencurah air ke daun keladi.
Sumber: BERNAMA