Bila berkumpul ramai-ramai waktu beraya memang akan ada yang suka tanya soalan cepu cemas.
Soalan-soalan klise seperti “tak de anak lagi?”, “dua je anak”, “kenapa tak ada anak lelaki” dan lain-lain lagi yang berkaitan memang boleh membuatkan orang yang ditanya rasa bengang dan jengkel.
Perkongsian daripada seorang ibu, Puan Nurul Kasmadillawati Zakaria yang melalui sendiri pengalaman ditanya soalan cepu cemas ketika berhari raya sehingga meninggalkan kesan tekanan pada dirinya patut dihadam oleh ‘geng makcik bawang’ yang suka tanya soalan menjengkelkan.
Soalan Berbasa-Basi Paling Sentap
Raya pertama hari tu, acik dapat soalan cepu cemas. Sepupu Encik Hensem. Entah siapa, acik tak kenal. Pernah jumpa sekali dua agaknya. Waktu Encik Hensem sibuk bagi duit raya, acik duduk sorang-sorang, dia datang menyerang.
“Isteri Farid kan?”
Sambil hulur tangan, bersalam.
“Haah” acik senyum. Dalam otak dok memikir, cuba ingat nama dia. Komfom tak kenal.
“Dua je anak? Dua-dua perempuan? Kena TRY lagi ni. Kena dapat lelaki pulak. Sorang pun jadilah”. Tengok Balqis & Aina yang tengah melompat, seronok main. Siap cakap, dia ke tepi. Tinggal acik sendirian.
Nak berbasa-basi sekali pun, ayat tu biarlah manis sikit. TRY? Bila acik tengok anak dia berderet lelaki, paling kecik perempuan, acik faham. Dia ni dulu waktu anaknya semua lelaki, mesti dia rasa tak bahagia. Hati dia tak tenteram selagi tak dapat anak perempuan. Sebab tu dia ingat orang lain sama macam dia. Wajib ada anak lelaki, anak perempuan baru lengkap sebuah keluarga.
Sentap Sampai Stress Dan Menangis
Masuk kereta, acik mengamuk kat Encik Hensem. Sebab, ni rumah kedua kitaorang pergi. 2 rumah, 2 kali dapat soalan cepu cemas. Memanglah bukan salah dia. Tapi dah yang bertanya tu sedara mara kaum kerabat dia, lagi pun dia je tempat acik boleh lepaskan geram. Maka dia jadi mangsa. Mau tak mengamuk? Acik tak kenal pun perempuan tu siapa, datang terus cakap bab sensitif.
Sampai rumah, masuk bilik, acik minta maaf kat Encik Hensem. Terus menangis. Situ jugak. Macam orang gila acik menangis. Macam disampuk setan. Dia peluk acik kuat-kuat sambil bisik ke telinga:
” Kita bahagia dengan hidup kita sekarang. Berapa ramai yang cemburu dengan kita? Jangan biarkan soalan tak sampai 3 minit tu spoil kebahagiaan kita. Dia tanya soalan macam tu, sakitkan hati awak, dia yang dapat dosa. Kita tak rugi apa “
Teringin Nak Mengandung Lagi Tapi Apakan Daya…
Tahukah awak? Ada orang, menangis saban malam sebab ditakdirkan dah tak boleh mengandung lagi. Sedangkan hati meronta-ronta nak anak.
Ya. Aciklah orangnya. Hati ni punyalah teringin nak mengandung lagi. Nak rasa anak bergerak dalam perut. Nak mengandungkan zuriat, benih dari kekasih hati. Nak pangku anak yang lahir dari rahim sendiri.
Rindukan pandangan pertama, saat mata bertentang mata buat kali pertama. Rindukan jemari kecil yang bertaut dengan jari acik setiap kali menyusukan. Setengah mati acik teringin nak mengandung & melahirkan seorang lagi anak. Acik suka anak perempuan. Acik nak seorang lagi girl. Acik suka tengok baju anak perempuan.
Hampir Hilang Nyawa
Suami mana tak fobia? Hampir kehilangan isteri & anak darah daging sendiri?
Anak acik cuma 2 orang bukan sebab kitaorang TRY tapi tak berjaya nak mengandung. Bukannya Encik Hensem mati pucuk atau tak cukup power nak mengandungkan acik.
Bukan juga sebab acik tak subur. Bukan ye. Bukan. Kami takde anak lagi sebab kami pilih untuk tak mengandung lagi.
Kalaulah acik ni boleh mengandung macam perempuan lain yang normal, kot dah berderet anak acik. Kejap lagi awak kata tak pandai nak family planning pulak. Ada je yang tak kena.
Siapa boleh faham perasaan acik tiap kali buka facebook tengok orang ni mengandung, orang tu selamat bersalin? Tumpang gembira. Tapi dalam hati menangis.
Tolonglah fikir panjang sebelum bersembang soal sensitif. Soal anak, jodoh, bentuk tubuh badan. Awak mungkin takde niat jahat. Sekadar nak berbasa-basi. Tapi bagi tuan badan, awak tak tau struggle yang dia hadapi setiap hari.
Anak sikit, tak ramai macam awak, ada sebabnya. Mungkin sebab kesihatan. Mungkin sebab kewangan.
Ada orang badannya besar. Bukan sebab pelahap makan tak ingat dunia. Ada orang badan besar sebab ubat-ubatan. Komplikasi kesihatan. Pil kesuburan. Pil hormon.
Yang dah berusia tapi belum berkawin, jangan semudah abc judge kata dia tak kawin sebab terlalu memilih, cerewet nak cari pasangan. Mungkin dia tak kawin sebab ada komitmen nak jaga mak ayah. Mungkin ada pengalaman pahit. Mungkin Allah saja nak bagi dia peluang berjasa kepada orang tua sampai akhir hayat.
Jaga lisan. Jaga adab. Jangan main sembur. Lebih-lebih lagi bila bersembang dengan orang yang awak tak kenal.
Kepada kakak yang bertanya tu, jangan sampai satu hari nanti Allah uji dengan benda yang awak banggakan. Dia ambik semua anak lelaki awak, tinggal anak perempuan je sorang. Waktu tu baru awak tau apa rasanya. Awak nak mengandung lagi semata-mata nak dapatkan anak lelaki?
Sumber: Nurul Kasmadillawati Zakaria