Sebaik disahkan menghidap kanser payudara, dua tahun lepas, Wan Musfirah Aimi Wan Supian yang pada mulanya hilang arah, bangkit melawan takdir dan memastikan kegembiraan menyeliputi segenap ruang hidupnya.
Menceritakan detik permulaan Aimi disahkan kanser, menurutnya beberapa hari sebelum ujian dikeluarkan perasaan takut itu sememangnya tidak dapat di gambarkan. Jadi susah untuk tidur dan stres melampau sampai menjejaskan kesihatan dan fizikal. Jauh di sudut hati, Aimi dapat rasakan laporan yang dikeluarkan adalah positif kanser. Berbeza dengan suami yang lebih positif serta yakin Aimi sihat.
“Pada masa itu, saya mula memikirkan tentang apa yang saya perlu lakukan walaupun belum disahkan positif. Saya mahu lebih bersedia daripada segi mental dan fizikal. Bila bersedia dan mempunyai maklumat, saya lebih mudah untuk mengawal situasi, emosi suami dan anak-anak dan keluarga saya. Saya perlu bersedia, kuat dan tabah untuk mereka semua,” ujarnya.
Seperti yang disangka, telahan Aimi benar belaka. Doktor dengan tenang memaklumkan hasil keputusan biopsi yang dijalankan.
“Tepat sekali. Sangkaan saya benar. Doktor syak saya menghidapi kanser tahap dua berdasarkan saiz ketulan di dalam payudara yang diukur. Suami saya terkejut dan tidak percaya dengan apa yang doktor katakan. Mungkin sukar untuk dia menerima isterinya pesakit kanser. Saya sendiri payah nak percaya sedangkan selama ini, diri langsung tidak menunjukkan apa-apa tanda-tanda kanser. Saya diam seketika. Bisu, kelu, lidah seolah-olah beku untuk berkata-kata. Tiada kata-kata yang dapat difikirkan pada waktu itu. Walaupun bersedia, sudah berazam untuk kuat tetapi fikiran tiba-tiba jadi kosong,” cerita Aimi dengan nada yang sungguh tenang.
Biarpun begitu, Aimi sentiasa mengingatkan dirinya ia bukan penamat kehidupan. Doktor memberi semangat dan sangat serius dengan rancangan rawatan yang dirangka. Ia perlu dijalankan secepat mungkin sebelum menjadi lebih serius.
“Namun pada ketika itu, saya belum bersedia. Saya minta doktor beri saya sedikit masa untuk berbincang dengan keluarga dan majikan. Saya juga mahu selesaikan pelbagai urusan sebelum pembedahan dijalankan termasuklah menyambut hari jadi anak bongsu yang memasuki umur dua tahun pada tahun itu di Legoland kerana ia telah lama kami rancang. Percutian tersebut sedikit sebanyak membantu saya untuk menerima takdir dengan lebih mudah apabila dapat bergembira dan meluangkan masa bersama suami serta anak-anak. Saya langsung tak bersedih melihat anak-anak gembira,” cerita Aimi lagi.
Saat itulah, Aimi sedar bahawa kegembiraan keluarganya adalah segala-galanya. Secara tidak sedar, ia menjadi matlamat hidupnya sebagai pesakit kanser. Dia ingin berterusan melihat kegembiraan di wajah mereka dan berazam bahawa kanser yang dihidapi tidak akan dapat melemahkan semangat dan menarik kegembiraan dirinya sekeluarga.
Selepas menjalani pembedahan pada 15 Jun 2015, laporan CT scan mendedahkan berita buruk. Dalam tempoh enam bulan, sel kanser merebak ke paru-paru pula. Setelah berbincang dengan doktor, Aimi berbincang dan bersetuju untuk menjalani rawatan kemoterapi secepat mungkin.
“Pada 11 Ogos 2015 saya mulakan rawatan kemoterapi pertama. Syukur, saya tidak mengalami kesan sampingan yang melampau. Sepanjang tempoh kemoterapi, saya masih menjalankan kehidupan seperti biasa tapi perlu lebih banyak berehat supaya cepat sembuh dan bertenaga. Sepanjang rawatan saya membuat rawatan ‘terapi minda’ dengan bercuti ke beberapa buah tempat untuk mengalih perhatian terhadap kesakitan akibat kesan sampingan yang dialami.
Setelah tamat rawatan kemo keempat, doktor mengesahkan sel kanser di paru-paru hilang sepenuhnya dan impak daripada kemo itu membantu merawat sel-sel kanser yang telah merebak. Tidak lama selepas itu, saya memulakan rawatan hormone herceptin selama setahun. Rawatan ini melibatkan 17 kali pusingan. Kesan sampingannya tidak seteruk kemo tetapi tetap menjejaskan kesihatan. Demi kesihatan, saya teruskan mengikut jadual. Kos hormon terapi ini sangat mahal dan menelan kos sehingga RM180,000,” terang Aimi tentang rawatan yang di tempuhinya.
Sokongan luar jangkaan yang diterima Aimi adalah salah satu faktor dia mudah sembuh. Aimi juga langsung tidak sangka, selama ini dia dikelilingi insan-insan yang amat menyayanginya.
“Saya tidak akan tahu, rasa dan nampak semua ini jika saya tidak ditakdirkan sebagai pesakit kanser. Suami, anak-anak dan keluarga sentiasa mendoakan saya dan berusaha berbagai-bagai cara untuk pastikan saya sihat. Tidak lupa sokongan pihak majikan, bos, pengurus, rakan-rakan satu jabatan dan sekerja lain yang sering bertanya khabar. Bukan itu sahaja mereka juga turut membantu saya menyiapkan kerja serta sediakan makan minum ketika di pejabat apabila saya kurang sihat atau perlu rehat. Saya juga dibenarkan mengambil waktu kerja fleksibel di mana saya masuk awal ke pejabat dan pulang lebih awal.
Kawan-kawan amat istimewa bagi saya dan banyak membantu. Mereka bukan hanya teman untuk bergembira dan bersuka ria. Mereka sentiasa ada bila saya perlukan. Hashtag #prayforaimi adalah inisiatif kawan-kawan yang melakar pelbagai memori suka duka perjalanan saya sebagai pesakit kanser. Saya amat berterima kasih kepada mereka semua kerana telah menjadikan perjalanan hidup saya selama dua tahun ini sebagai sesuatu yang indah.
Suami pula sentiasa membuatkan diri saya penting untuknya. Tiada sedetik waktu pun dia mengecewakan saya. Tempoh perkahwinan kami masih terlalu awal dan belum puas kami untuk menikmati hidup bersama. Suami adalah sumber inspirasi saya untuk meneruskan kehidupan. Tidak sanggup saya melihat dia bersedih jika sesuatu berlaku ke atas diri saya,” luah Aimi yang sangat terharu dengan sokongan yang diperolehnya.
“Saya mula mengenali NCSM apabila dilantik sebagai Duta Larian Kanser untuk The Running Diva Malaysia 2016. Bermula dari situ, saya menyertai segala aktiviti yang dijalankan oleh pelbagai organisasi dan badan korporat yang bekerjasama dengan NCSM. Tujuan paling utama ialah menyebarkan maklumat sebanyak mungkin kepada golongan wanita tentang kanser payudara.
Sepanjang 2017, saya mempunyai beberapa program bersama NCSM. Saya bersyukur telah mendaftar diri sebagai sukarelawan dan dapat membantu masyarakat Malaysia tentang kesedaran kanser payudara. Saya tidak mempunyai harta yang banyak untuk disumbangkan tetapi melalui pengalaman yang ada, dapat saya kongsi bersama yang lain agar dapat membantu pesakit kanser mahupun yang terlibat dengan pesakit kanser.
Semoga saya diberi kesihatan berpanjangan. Dapatlah saya memberi lebih sumbangan untuk NCSM dan semua pesakit kanser agar sama-sama memberi semangat di antara satu sama lain dalam berjuang untuk meneruskan hidup bersama ahli keluarga masing-masing.”