Duduk Rumah Time PKP Jangan Fikir Nak Makan Sedap. Biar Berpada Asalkan Sihat!

Share

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, boleh dikatakan ramai ibu yang teruja melihat perkongsian pelbagai gambar dan resipi yang lalu lalang di laman sosial. Tak kisah menu sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang atau makan malam. Ibaratnya lengkap jadual makan sehari.

Malah ibu yang sebelum ini bekerja dan tak sempat masak hari-hari pun, sejak duduk di rumah jadi seronok untuk masak yang sedap-sedap. Apa anak minta atau suami sebut, terus boleh buat.

Tapi adakah ibu terfikir masakan yang kita sediakan ini sebenarnya lengkap dengan khasiat yang sepatutnya?

Hidangkan makanan seimbang

Melalui apa yang dikongsikan oleh Dietitian, Fizah Sobri dalam Live IG Bersama Pa&Ma, beliau menjelaskan ibu kena ambil tahu perkara ini. Penting sebenarnya untuk pastikan kesihatan seluruh ahli keluarga berada dalam keadaan baik.

Contohnya jika anak selalu minta makan makanan yang manis, sesekali boleh tetapi ibu kena juga jadi kreatif. Bukan hanya beli stok dan anak boleh makan terus. Apa kata ibu gantikan makanan manis dengan buah-buahan potong, ais krim buah atau puding buah. Itu lagi menyihatkan!

Pola pemakanan seimbang ini bukan untuk anak kecil saja tetapi untuk ahli keluarga yang lain pun harus mengamalkan cara yang sihat. Maklumlah dalam tempoh PKP ini pergerakan kita agak terhad. Nak keluar rumah tak boleh. Jadi berpeluh pun kurang.

Sebab itu, kena jaga makan. Orang kata biar makan seimbang dan jangan tambah lemak. Ibu khususnya boleh mengutamakan makanan dari sumber kabohidrat khususnya bijirin penuh dan sumber protein seperti telur, ikan, ayam dan daging yang kurang bahagian berlemak dan kulit.

Selain itu, pengambilan pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran juga akan memberikan sumber vitamin, mineral dan serat kepada tubuh badan. Jadi bolehlah pilih jenis sayur dan buah yang tahan lama untuk di simpan agar tak perlu keluar dengan kerap.

Tak perlu simpan stok makanan segera atau dalam tin dengan banyak

Menyentuh mengenai makanan segera dan makanan dalam tin, makanan jenis ini biasanya mempunyai kandungan gula dan garam yang tinggi serta sesetengahnya mempunyai penngawet untuk tahan lama.

Sebaiknya ibu pilih je memasak makanan daripada bahan-bahan mentah dan segar itu lebih selamat. Walaupun ringkas dan satu jenis lauk, kita lebih tahu jumlah bahan yang dimasukkan dalam setiap makanan yang dimasak.

Ada juga yang kata bila duduk di rumah asyik lapar sepanjang masa. Jadi jika ada makanan yang sedia dimasak lagi cepat dan mudah. Mungkin kalau nak makan juga boleh tetapi cuba ubah suai sikit mengikut cara yang lebih sihat.

Lakukan senaman ringan

Bagi yang biasa keluar bekerja dan berpeluh setiap hari, apabila berada dalam rumah mungkin akan rasa bosan. Penyelesaian dalam hal ini, anda sebenarnya boleh melakukan senaman ringan atau apa saja aktiviti yang boleh membuatkan jantung kita mengepam.

Berjalan kaki, berkebun dan membersih kawasan rumah boleh dianggap sebagai senaman ringan selain dapat mengeluarkan peluh dan membantu perjalanan darah.

“Senamrobik atau buat zumba dalam rumah, push-up boleh dilakukan bersama anak-anak dan ahli keluarga. Ia secara tidak langsung turut mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah dan memberi lebih keseronokan.

Bagi individu yang duduk di kawasan rumah tinggi seperti kondominium, apartment atau flat, mungkin boleh ambil masa dalam 20 minit untuk naik atau turun tangga. Tiada masalah sebenarnya asalkan kita ada keinginan.

Senaman ringan ini penting dilakukan sepanjang tempoh berada di rumah bagi melancarkan pergerakan darah.

Selain tu, pastikan waktu makan, tidur dan bangun sama seperti hari kita bekerja bagi mengelak kelesuan.

Published by
Wan Amy