Dukung Jangan Sembarangan, Elak Timang Sambil Goncang Bayi Terlalu Kuat!

Share

Dukung bayi memang menyeronokkan, tapi jangan sembarangan. Awas, elakkan daripada menggoncang kepala bayi terlalu kuat semasa mendukung!

Sebagai ibu bapa baru, mama papa mungkin berasa kekok dan gementar untuk  mendukungnya. Teknik dan posisi dukung yang betul mengikut usia bayi boleh mengelakkan kecederaan.

Mengetahui cara mendukung bayi mengikut usia yang betul menjadi perkara penting yang perlu diketahui bagi semua ibu bapa baru. Dukung adalah salah satu cara yang paling efektif yang perlu dilakukan untuk bonding, mengeratkan ikatan kasih sayang antara mama, papa dan anak.

Mendukung dengan betul mampu mengurangi risiko-risiko yang tidak diingini iaitu antaranya risiko kecederaan sendi memandangkan sendi-sendi bayi masih lembut.

CARA DUKUNG BAYI

Usia 0 Hingga Tiga Bulan

1.Pada fasa ini, tulang bayi masih sangat lemah. Maka posisi dukung yang terbaik adalah dengan membaringkannya di lengan anda. Satu lipatan siku anda untuk menyokong leher dan kepalanya sementara tangan yang lain untuk menyokong  punggung, belakang dan kakinya. Posisi  bayi dekat dengan dada anda sehingga bayi berasa selesa.

Anda juga dapat dukung bayi dengan posisi tegak dengan kepala si kecil atas bahu anda dan menghadap ke belakang. Sandarkan bahagian dada bayi pada dada anda. Sokong bahagian lehernya dengan menggunakan satu tangan dan tangan yang satu lagi sokong  bahagian punggung dan belakang. Bayi di atas satu bulan dapat posisi dukung ialah setengah duduk. Sebelah tangan anda menyokong belakang sementara tangan lain memegang bahagian dada. Pastikan kepala bayi bersandar pada dada.


Usia Tiga Hingga Enam Bulan

Biasanya usia ini bayi lebih senang jika didukung pada posisi duduk dengan menghadap ke arah depan. Kerana bayi sudah biasa duduk di pangkuan dan tidak selesa jika dibaringkan.

Usia Enam Bulan Ke Atas

Bayi sudah tidak terlalu ringan, bahagian tulang dan ototnya juga semakin kuat sehingga dapat mendukungnya dengan pelbagai posisi. Misalnya dengan didudukkan di bahagian depan dada dengan menggunakan sebelah tangan yang menyokong belakangnya dan tangan lain untuk menyokong punggungnya.

Usia Lapan Bulan

Teknik dukung bayi pad usia ini tidak jauh berbeza dengan usia 6 bulan k atas. Cuma anda boleh dukungnya di pinggang anda  dengan kaki bayi melingkar di bahagian itu. Anda  boleh menggunakan satu  tangan sahaja untuk menyokong  badan bayi.

Ketika si kecil semakin membesar, meniarap dan merangkak, elakkan terlalu kerap mendukung kerana ia menghalang proses eksplorasi bayi kepada sekeliling. Tummy time amat mustahak untuk menggalakkan proses sensori yang elok untuk pertumbuhan fizikal dan emosi.

RISIKO SINDROM GONCANG BAYI

Kadang-kala bila anak sedang menangis, mama dan papa akan terus mendukungnya serta mendodoikan untuk menghentikan tangisannya. Ada juga yang dukung bayi dengan membawa jalan-jalan sekitar rumah.

Namun, ada segelintir ibu bapa yang mendukung bayi cara yang salah. Malah ada yang tidak tahu kesan dari cara dukung bayi yang disusuli gerakan mengayun atau menggoncang. Ia yang dinamakan Shaken Baby Syndrome atau SBS. SBS ini lebih sering menimpa anak-anak yang usianya bawah satu tahun. Hal ini sangat serius dan boleh menyebabkan kecederaan yang serius seperti kerosakan otak atau pendarahan otak, mata, penyakit lainnya seperti kelumpuhan, epilepsi, bahkan yang paling berbahaya boleh menyebabkan kematian.

Ini berlaku kerana ukuran kepala bayi yang lebih besar dibandingkan dengan tubuh dan mempunyai leher yang sangat lemah yang akhirnya boleh menyebabkan tekanan akibat goncangan yang kuat dan terlalu lama.

 

 

 

Published by
Azma ML