Wanita kerdil dari Kampung Pengkalan Ajal di sini yang sebelum ini tular kerana kisah perkahwinannya, selamat melahirkan bayi sulung seberat 2.35 kilogram, Jumaat lalu.
Syakila Norazma Amira Zuharsema, 28, berkata, cahaya mata lelakinya, Muhammad Ayden Adrian Muhammad Azri dilahirkan secara pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu pada pukul 1.47 petang.
Jangkaan bersalin sepatutnya 25 Februari
Katanya, proses kelahiran itu terpaksa dibuat sebulan lebih awal atas nasihat doktor demi keselamatan ibu dan anak.
“Tarikh jangkaan bersalin adalah pada 25 Februari ini, tetapi disebabkan keadaan fizikal saya yang cuma berketinggian 118 sentimeter, maka boleh memberi risiko kepada bayi dalam kandungan.
“Walaupun bersalin lebih awal, tetapi, saya bersyukur kerana anak saya tiada apa-apa masalah kecuali penyakit kuning,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
ARTIKEL BERKAITAN [“Pertama Kali Tengok Adik, Nangis Ibu..” Wanita Tinggi 119cm Lahirkan Bayi Lelaki]
Menurut Syakila Norazma Amira, kelahiran Muhammad Ayden Adrian menguatkan lagi kasih sayangnya dan suami, Muhammad Azri Zaidi, 20, sekali gus berharap bayi mereka dapat membesar dengan sihat.
“Semasa kisah perkahwinan saya tular, macam-macam komen diberikan warganet termasuk soal mengandung dan bersalin hanya disebabkan saya kerdil.
“Bagi saya, tiada apa yang mustahil dengan izin Allah SWT, malah, kami berdua cukup bahagia dengan kehadiran cahaya mata ini,” katanya.
Syakila Norazma Amira dan suami berkahwin pada 18 Mac 2021 selepas berkenalan menerusi permainan dalam talian sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
Kredit: Utusan Malaysia
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)