Benarlah kata orang, lain anak lain penangannya bila mengandung. Bagi Instafamous, Aisyah Hijanah, dia turut berdepan hal yang sama bila mana kandungan keduanya kali ini amat berbeza berbanding kehamilan sebelumnya.
Malah kata Aisyah lagi menerusi Instagramnya, jika mengandungkan anak sulung, dia mengalami alahan yang agak teruk. Lain pula ceritanya dengan kehamilan anak kedua.
Menerusi Instagramnya, Aisyah berkongsi cerita.
“Pregnancy kalini beza betul. Memang betullah orang cakap, setiap anak tu lain-lain. Waktu Khadeejah dulu memang muntah sampai 4 bulan. Baby kalini tak ada muntah, just mual angin.
“Cuma, selalu tekak kering. Bangun 2-3 pagi waktu Ramadhan dulu, habis 500 ml botol air mineral. Rasa dehydrated sangat,” kongsinya.
Malah kata Aisyah lagi, ketika mengandungkan anak pertamanya dulu, dia menjadi seorang yang gemar bercantik-cantik malah amat sukakan emas ketika itu.
Lain pula halnya dengan kehamilan kali ini yang lebih gemar tampil ringkas setiap masa.
“Waktu Khadeejah dulu memang setiap masa nak air bandung, nak beli emas, nak melawa. Kali ni, rasa nak air kosong, nak berjalan, nak pakai baju paling simple. Hmmm agak-agak girl ke boy eh?
“Alhamdulillah Aisyah dah 5 bulan. So far memang baby terlebih aktif, dengan Khadeejah pun dah suka lompat, panjat sini sana.
“Pinggang dah start sakit, nak kena dukung Khadeejah. Dia pula dah start nak cium perut, pegang adik dia.
“Dah macam-macam ragam. Doakan Semoga urusan Aisyah dimudahkan & 2nd baby ni mudah dijaga, mudah dibentuk, mudah segalanya & dijauhkan dari kezaliman & maksiat,” tulisnya berkongsi.
Menarik: Satu Bilik Dia Tawaf, Demam Pun Aktif, Anak Kedua Dato’ Siti Nurhaliza Dah Pandai Berjalan
Ketahui fungsi caresat di E-Workshop Sayangi Nyawa Anak Dalam Kereta, Let’s Buckle Up! Daftar secara PERCUMA di https://toko.ideaktiv.com/product/sayang-nyawa-anak-dalam-kereta/
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Buah Tembikai, Makanan Sihat Untuk Ibu Hamil & Bayi Dalam Kandungan
Buah tembikai antara makanan yang sihat untuk ibu hamil dan bayi dalam kandungan. Buah tembikai kaya dengan kandungan zat Likopen. Zat ini menjadikan tembikai sangat elok dimakan oleh ibu hamil. Vitamin C yang terdapat dalam buah tembikai membantu meningkatkan sistem imun badan ibu hamil.
Buah Tembikai, Makanan Sihat Untuk Ibu Hamil & Bayi Dalam Kandungan
92% kandungan buah tembikai merupakan air, oleh itu ia merupakan antara buah buahan yang mampu membekalkan tenaga dan hidrasi pada tubuh. Ia juga kaya dengan vitamin, mineral dan serat.
Berikut antara khasiat buah tembikai untuk ibu hamil:
MENJAGA KESIHATAN JANTUNG
Buah tembikai kaya akan kandungan likopen yang amat baik untuk kesihatan jantung ibu dan bayi.
KAYA DENGAN ANTIOKSIDAN DAN VITAMIN A
Vitamin A yang terkandung dalam buah tembikai membantu menjaga organ penglihatan bayi. Selain itu, karotenoid vitamin A berfungsi sebagai antioksidan melindungi badan daripada radikal bebas.
MELANCARKAN PENGHADAMAN
Tembikai sangat bagus untuk kecantikkan dan membantu melancarkan aliran air kencing dalam badan.
MENYOKONG PEMBENTUKAN TULANG BAYI
Buah tembikai kaya dengan kalium yang berfungsi untuk mempertahankan kalsium dalam badan. Ia sangat bagus untuk pembentukan tulang bayi dan menguatkan sendi pada badan ibu supaya lebih sihat dan kuat.
MENINGKATKAN SISTEM IMUN
Buah tembikai mengandungi vitamin C yang membantu meningkatkan sistem imun untuk ibu hamil. Ia dapat mengelakkan ibu mudah terkena jangkitan selsema atau batuk terutama dalam perubahan cuaca yang tidak menentu.
MENGURANGKAN PEMBENGKAKAN
Kandungan air dalam tembikai mampu mengurangkan pembuluh darah dan otot yang tersumbat. Ia dapat mengurangkan masalah bengkak yang sering dialami oleh ibu hamil.
MENCEGAH PIGMENTASI
Buah tembikai dapat membantu melancarkan pencernaan makanan dan menjaga pergerakan usus kecil yang mana ia mempengaruhi keadaan kulit. Masalah pigmentasi dapat dikurangkan dengan memakan tembikai lebih kerap.
MENGELAKKAN KEJANG OTOT
Perubahan hormon ketika mengandung menyebabkan peningkatan berat badan. Ini membuatkan tulang dan otot menjadi kejang. Buah tembikai dapat mengurangkan kejang otot dan tulang.
MENGATASI MASALAH ‘MORNING SICKNESS’
Mengambil tembikai sebagai sarapan pagi membantu mengurangkan simptom morning sickness. Buah tembikai mengandungi tenaga dan khasiat yang baik untuk badan terutama ibu hamil yang letih dan lesu.
MENGELAKKAN DEHIDRASI
90% daripada tembikai terdiri daripada air. Makan tembikai membantu ibu untuk mengelakkan dehidrasi. Dehidrasi dikalangan ibu hamil boleh menyebabkan kesan buruk kepada kandungan seperti kontrasi pramatang atau kelahiran pramatang.
MENYINGKIRKAN LEMAK
Buah tembikai mengandungi citruline yang membantu mengurangi lemak berlebih yang ada dalam tubuh. Sangat rugi kalau tak amalkan tembikai ketika hamil. Kalau tak hamil pun memang bagus sangat tembikai. Nak-nak pula di bulan puasa, memang sangat-sangat membantu dalam mengekalkan kelembapan kulit. Tembikai kaya dengan air dan sangat enak dimakan.
Sumber: Safenifeni.com
Artikel berkaitan: Resipi Puding Tembikai Berlemak, Sedap Makan Sejuk-Sejuk. Confirm Anak Suka!
Resipi Puding Tembikai Berlemak, Sedap Makan Sejuk-Sejuk. Confirm Anak Suka!
Cantiknya Macam Tembikai, Puding Roti 6 Bahan, Nak Buat Pun Senang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Yang Lambat Bercakap Mungkin Ada Masalah Pendengaran. Biasanya Anak Kurang Berat, Pra Matang
Masalah kurang pendengaran di kalangan bayi tidak nampak di mata kasar. Bayi boleh mendengar sejak dalam rahim ibu. Bunyi yang didengar akan dihantar ke otak dan ditafsir. Proses ini amat kompleks. Otak bayi yang baru lahir ibarat span yang menyerap air. Semua bunyi dan perkataan yang didengar akan disimpan. Apabila sampai masanya perkataan tersebut akan dikeluarkan.
Kanak-kanak berisiko mengalami masalah kelambatan bahasa dan pertuturan ialah kanak-kanak yang mengalami masalah kurang pendengaran sejak lahir.
Di antara penyebab masalah kurang pendengaran sejak lahir ialah bayi yang lahir pra-matang, sakit kuning berlanjutan, bayi yang lahir kurang berat badan dan komplikasi semasa proses kelahiran.
Dalam kebanyakan kes, penyebabnya adalah tidak diketahui. Bayi yang bermasalah kurang pendengaran berisiko mengalami kelambatan bahasa dan pertuturan.
Bayi akan tersenyum apabila mendengar bunyi yang disukai. Peringkat ‘bersuara’ atau ‘mengagah’ menyusuli apabila bayi mula mengeluarkan bunyi ‘uuuu’ atau ‘aaaa’. Apabila berumur lapan bulan ke atas, bayi akan mula membebel menggunakan suku kata tidak bermakna seperti ‘babababa’ atau ‘mamama’.
Bayi yang bermasalah kurang pendengaran akan mula membebel juga. Ini kerana pada peringkat permulaan, semua bayi, sama ada bermasalah pendengaran atau tidak, mula mengeksplorasi peti suara dan bahagian mulut.
Tetapi, bagi bayi yang mengalami masalah pendengaran, peringkat membebel ini singkat dan seterusnya, bayi akan berhenti membebel kerana mereka tidak dapat mendengar bunyi suara sendiri dan bunyi persekitaran dengan jelas. Perkataan pertama yang selalunya muncul apabila kanak-kanak berumur antara 12 – 18 bulan mungkin seperti “mama” yang ditujukan untuk ibunya sahaja tidak akan muncul.
Salah satu tanda anak anda mungkin mengalami masalah kelambatan pertuturan dan bahasa ialah apabila tiada perkataan pertama yang bermakna muncul apabila anak berumur antara 12 hingga 18 bulan. Melakukan ujian pendengaran ke atas kanak-kanak yang menunjukkan tanda-tanda lambat bercakap adalah sangat penting.
Kebanyakan kanak-kanak berumur 18 bulan biasanya boleh ikut arahan menunjuk anggota badan seperti “tunjuk mata” dan “tunjuk hidung” apabila telah diajar. Perkataan yang boleh disebut juga meningkat di antara 10 hingga 25 perkataan.
Antara umur 18-24 bulan, kanak-kanak sudah boleh mengenal objek harian seperti permainannya dan mencantum dua perkataan contohnya ‘nak air’.
Antara umur 24-36 bulan, perbendaharaan kata bertambah dan kanak-kanak mula menggunakan ayat yang panjang.
Kaitan Masalah Pendengaran dengan Lambat Cakap
Ujian pendengaran di kalangan bayi, kanak-kanak dan orang dewasa hanya boleh dijalankan oleh Pegawai Audiologis yang bertauliah. Kini hospital-hospital negeri seluruh Malaysia mempunyai Pegawai Audiologis yang bertanggungjawab melakukan ujian pendengaran.
Bagi bayi yang berisiko tinggi mengalami masalah kurang pendengaran, Pegawai Audiologis akan menjalankan saringan pendengaran setelah dirujuk oleh doktor. Jika saringan pendengaran tersebut gagal, ujian penilaian akan diteruskan untuk mengenal pasti tahap keterukan masalah pendengaran.
Pepatah dulu kala ada mengatakan kalau pekak mesti bisu. Kenyataan tersebut adalah kurang tepat, kerana apabila seseorang bayi dilahirkan kurang pendengaran, biasanya tiada kelainan pada peti suara dan bahagian mulutnya.
Bayi boleh menangis dengan kuat dan menyusu seperti bayi lain. Tetapi, oleh kerana bayi tidak dapat mendengar bunyi pertuturan dan bunyi-bunyi persekitaran, maka otaknya tidak mendapat rangsangan awal bahasa. Apabila tiada bahasa diserap ke dalam otak maka kuranglah perkataan yang dikeluarkan atau mungkin juga bayi tidak akan bercakap.
Masalah kurang pendengaran yang dialami sejak lahir dikenali masalah pendengaran pre-lingual atau kongenital, manakala masalah kurang pendengaran yang diperoleh selepas kanak-kanak boleh bercakap dikenali sebagai masalah pendengaran post-lingual
Umur kanak-kanak dikesan mengalami masalah kurang pendengaran adalah penting kerana masa kritikal kanak-kanak memperoleh bahasa ialah sejak lahir hingga tiga tahun.
Kebolehan otak menyerap bahasa sangat pantas pada umur tersebut. Sekiranya kanak-kanak tidak dapat mendengar kerana masalah kurang pendengaran kongenital, maka proses pemerolehan bahasa kanak-kanak akan terbantut.
Memandangkan betapa pentingnya pendengaran kepada pemerolehan bahasa, ibu bapa digalakkan membawa bayi untuk menjalani ujian pendengaran bagi memastikan proses perkembangan bahasa berterusan sejak lahir.
Apabila kanak-kanak dikesan mengalami masalah kurang pendengaran, Pegawai Audiologis akan menjelaskan tentang jenis masalah pendengaran dan tahap keterukannya. Bagi masalah pendengaran yang bersifat sementara iaitu jenis konduktif, Audiologis akan merujuk kanak-kanak ke doktor pakar Telinga, Hidung dan Tekak untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Jika jenis masalah pendengaran bersifat kekal iaitu sensorineural, biasanya Pegawai Audiologis akan mencadangkan pemakaian Alat Bantu Pendengaran (ABP).
ABP adalah selamat digunakan dan bertujuan untuk membantu kanak-kanak mendengar bunyi persekitaran dan bunyi pertuturan. ABP perlu dipakai sepanjang masa kecuali waktu tidur dan mandi.
Kanak-kanak dengan ABP perlu menghadiri sesi Terapi Pertuturan berkala supaya dapat belajar memahami bunyi-bunyi yang didengar melalui ABP dan menggunakan bahasa dan pertuturan dalam komunikasi harian.
Penting bagi ibu bapa untuk mempunyai pemahaman yang mendalam berkaitan ABP dan isu yang berkaitan ABP untuk memastikan ABP yang dipakai oleh kanak-kanak memberikan kebaikan yang sesuai dan berterusan (Robert, W.,1999).
Kanak-kanak yang memakai ABP akan dirujuk oleh Pegawai Audiologis ke program Terapi Pertuturan. Terapi Pertuturan akan dikendalikan oleh Patologis Pertuturan-Bahasa yang bertauliah.
Patologis Pertuturan-Bahasa berperanan membuat penilaian perkembangan bahasa dan pertuturan di kalangan kanak-kanak. Selepas membuat penilaian, program Terapi Pertuturan yang bersesuaian dengan tahap keterukan masalah bahasa dan pertuturan kanak-kanak akan ditetapkan.
Program Terapi Pertuturan adalah berkala dan mungkin merangkumi jangka masa yang panjang mengikut keperluan pesakit. Ia merupakan program yang memerlukan komitmen berterusan daripada ibu bapa dan kanak-kanak.
Program Terapi Pertuturan bagi kanak-kanak dengan masalah pendengaran adalah untuk meningkatkan kemahiran-kemahiran seperti di bawah:
-Kemahiran pra-pertuturan
-Kemahiran memori-visual
-Kemahiran mendengar
-Kemahiran mengenal pasti bunyi
-Kemahiran menghasilkan suara
-Kemahiran menghasilkan perkataan awal
Sumber: Syahrulikram, M. & Azizah, N. (2007)
Semua kemahiran di atas perlu dilatih kepada kanak-kanak yang menggunakan ABP.
Penggunaan ABP yang konsisten dan latihan yang berterusan di rumah membantu kanak-kanak bercakap untuk tujuan sosial dan akademik. Masalah lambat cakap yang disebabkan oleh masalah pendengaran pre-lingual boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami masalah kelambatan bahasa dan pertuturan yang serius.
Intervensi awal perlu dijalankan bagi kanak-kanak bermasalah pendengaran. Seawal umur kurang dari enam bulan, bayi yang dikesan mengalami masalah pendengaran perlu mengikuti program Terapi Pertuturan.
Aktiviti untuk meningkatkan kemahiran pra-pertuturan di antaranya ialah membuat kontak mata (eye-contact), tumpuan perhatian, meniru, mengambil giliran dan bermain dengan cara yang sesuai mengikut umur.
Kemahiran memori-visual penting untuk meningkatkan tumpuan dan koordinasi mata-tangan. Aktiviti seperti meniru binaan blok mainan dan mencari padanan set kad gambar yang sama akan menjadikan kanak-kanak seronok bermain sambil belajar.
Kemahiran mendengar perlu diasah untuk meningkatkan tahap kesedaran terhadap wujudnya bunyi-bunyi persekitaran dan pertuturan. Kemahiran mengenal pasti bunyi dilakukan dengan mengajak kanak-kanak membezakan nada bunyi dan kekuatan bunyi yang didengar.
Kemahiran menghasilkan suara dan perkataan awal adalah asas kepada penggunaan ayat yang lengkap untuk berkomunikasi.
Kemahiran awal komunikasi perlu seiring dengan perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh.
Masalah kurang pendengaran yang tidak dikesan atau lambat dikesan akan mengakibatkan proses belajar bahasa dan bercakap terganggu.
Komplikasinya ialah proses komunikasi secara pertuturan terganggu dan pada jangka masa panjang menjejaskan kebolehan akademik kanak-kanak tersebut.
Semua ibu bapa disarankan supaya membawa anak mereka untuk membuat ujian pendengaran sama ada dengan inisiatif sendiri atau diarahkan berbuat demikian.
Sumber: My Health Portal
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ibu Bapa Ada Anak Istimewa, Pakar Psikiatri Kongsi Tip, Jadikan Panduan
Ibu Bapa Ada Anak Istimewa, Pakar Psikiatri Kongsi Tip, Jadikan Panduan
Anak-anak istimewa merupakan anugerah yang diamanahkan ALLAH kepada kedua ibu bapanya untuk dijaga dan disantuni. Memang berat ujian buat ibu bapa yang diuji dengan kehadiran anak istimewa. Sebab itulah sokongan daripada masyarakat dan orang sekeliling amat diperlukan bagi melancarkan urusan ibu bapa yang terpilih ini.
Memiliki anak istimewa pastinya bukanlah suatu ‘perjalanan’ yang mudah. Anggota keluarga perlu menjadi pendidik terbaik untuk anak-anak istimewa ini. Apabila anggota keluarga sendiri mempunyai kefahaman yang baik tentang keadaan anak istimewa, akan lebih mudahlah masyarakat memahami mereka.
Melalui hantaran pakar psikiatri, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Rozanizam Zakaria dilaman media Facebooknya, beliau berkongsi tip khas buat ibu bapa yang memiliki anak istimewa.
10 TIP UNTUK IBU BAPA YANG MEMILIKI ANAK ISTIMEWA:
Tip ini khusus buat ibu bapa yang mempunyai anak yang berkeperluan khas, tidak kira apa juga keadaan sama ada Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD), disleksia, autisme, kecacatan intelek, cerebral palsy atau apa juga keadaan yang memerlukan penjagaan khusus.
1. Belajar
Pastikan anda faham diagnosis anak anda. Dapatkan penilaian dan maklumat daripada doktor yang merawat. Dapatkan maklumat sepenuhnya, secara berperingkat, sama ada secara langsung dari doktor atau bacaan yang tepat. Ini termasuk dalam hal rawatan dan pemeriksaan susulan.
2. Daftarkan
Bagi anak yang sudah/akan bersekolah, pastikan anak didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (borang khas JKM yang ditandatangani doktor) sebaiknya pada usia pra-sekolah. Ini penting untuk bagi memastikan anak mendapat keistimewaan yang dikhususkan untuk mereka seperti elaun khas/kemasukan ke pendidikan khas.
3. Sekolahkan
Bincang dengan doktor dan cikgu tentang penempatan sekolah (akan ditentukan oleh JKN setelah borang diserahkan) sama ada kekal di aliran perdana, aliran khas integrasi atau pusat dalam komuniti. Dalam keadaan macam mana pun anak anda, jangan abaikan pendidikan anak.
4. Betulkan perspektif
Letakkan situasi pada perspektif yang tepat. Fahami bahawa tingkahlaku dan keadaan anak anda adalah disebabkan kondisi perubatannya dan bukan sekadar ‘perangai’. Jangan rasa malu atau marah dengan perbuatannya. Suatu hari, bila mereka dewasa, apa yang anda lalui ini mungkin akan menjadi kenangan yang manis untuk anda.
5. Berkompromi
Jangan terlalu tertekan dengan perkara yang kecil. Ada kalanya, jalan terbaik ialah berkompromi daripada menimbulkan persengkataan besar. Ada ketikanya anda terpaksa mengalah bila mereka tidak mahu makan/pakai baju warna oren/duduk di kerusi.
6. Jangan abaikan sisi positif
Kekalkan sisi positif anak anda. Tidak kira betapa sukarnya menjaga anak anda, pasti ada sisi indah dalam kehidupannya. Tuliskan semua perkara positif tentang anak anda dan lihat semula tiap kali anda berasa terlalu tertekan. Contohnya, setiap kali anak membuat salah, mesti dia datang peluk ibunya selepas itu.
7. Jaga diri
Jaga kesihatan anda. Anda adalah orang yang paling penting dalam hidup anak anda. Maka anda perlu kekal sihat dan kuat untuknya. Dapatkan rehat dan tidur yang cukup, jumpa doktor bila sakit dan dapatkan bantuan bila perlu. Jangan jadi hero.
8. Jaga rutin
Tetapkan rutin yang konsisten seperti waktu makan, bermain, tidur, dan keluar rumah. Anak istimewa mudah terkesan dengan perubahan rutin. Permudahkan urusan mereka dan jangan libatkan mereka dengan terlalu banyak aktiviti dalam sehari.
9. Bersifat realistik
Tetapkan jangkaan yang realistik sesuai dengan kemampuan anak anda. Jika anak anda ada masalah autisme, dileksia dan masalah pembelajaran, jangan paksa mereka jadi jurutera/doktor/arkitek bila besar nanti. Biar mereka terokai minat dan kemampuan mereka.
10. Cipta makna kejayaan sendiri
Cipta makna kejayaan untuk anak anda. Sebagai contoh, seorang ibu perlu realistik dan berpada dengan meletakkan tanda aras berjaya bila anaknya boleh solat, mengaji dan berdikari sendiri. Tidak menjadi pelajar harapan sekolah pun tidak mengapa. Raikan kemampuan mereka dan jangan terlalu fokus kepada apa yang mereka tidak mampu lakukan.
Selalu bersangka baik dengan ALLAH. Setiap yang diatur oleh ALLAH adalah yang terbaik untuk masa lalu, masa kini dan masa akan datang. Jangan berputus asa untuk terus berdoa, agar ALLAH pelihara anak-anak ini ketika kita masih ada. Bila kita sudah tiada lagi di dunia ini, anak istimewa ini sebenarnya tiket untuk ibu ayah ke syurga.
Sumber: Dr Rozanizam Zakaria
Kredit foto (top image): Pexels
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI