Dynas Pantang 100 Hari. Masih Bertungku, Tak Minum Ais Untuk Badan Cepat Sihat

Share

Dynas Mokhtar yang selamat bersalin anak ketiga dan diberi nama Edriel Obil pada 19 Mei lalu memilih untuk meneruskan amalan berpantang sehingga 100 hari.

Dynas, 36, atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar berkata, ia inisiatif sendiri selain memikirkan bersalin pada usia lewat 30-an.

“Proses berpantang kali ini saya buat betul-betul. Walaupun tempoh 44 hari sudah habis, saya masih tidak minum minuman ais. Malah, saya juga masih menggunakan bengkung, bertungku, bertangas dan mandi sauna.

“Semua ini saya buat sendiri. Kalau ada masa, saya panggil orang datang buat iaitu seminggu sekali. Sekarang baru lepas 60 hari, jadi ada baki 40 hari lagi.

“Pengalaman dua anak dulu, saya berpantang biasa saja. Kali ini, saya kena lebih disiplin dan ambil masa panjang kerana sudah berusia. Bukan mudah menjadi ibu sekali lagi pada usia ini,” katanya.

4 Jam Sehari Tidur Sejak Ada Anak Kecil

Berkongsi lanjut mengenai kehidupannya apabila ada anak kecil, Dynas mengakui sehingga sekarang dia dan suami, Shazrik Din, masih tidak cukup tidur.

“Orang selalu cakap, kalau umur lebih 35 tahun baru nak bersalin pasti cepat berasa penat. Memang betul kerana itu yang saya lalui sekarang. Apatah lagi, saya hanya dapat tidur empat jam saja setiap hari.

“Kalau anak terjaga, saya akan terjaga sama. Kalau dia lewat bangun, saya pula yang risau. Sampai tahap macam itu sekali. Bukan saya saja tetapi suami pun sama. Saya beruntung kerana dia sangat membantu dan memahami.

“Dia tahu apa yang perlu dibuat, tak payah beritahu. Pendek kata dia sangat rajin dan bertanggungjawab.Dia selalu cakap, kalau tak buat semua itu nanti saya tak mahu mengandung lagi,” katanya.

Pada masa sama, Dynas berkata faktor usia juga membuatkan dia mudah tertekan dan beremosi sepanjang tempoh berpantang.

“Dulu tak pernah rasa macam ini. Sekarang bukan saja penat tetapi mudah berasa tertekan dan beremosi. Mungkin perubahan hormon pada usia ini mempengaruhi perasaan kita sehingga ia menjadi tak menentu,” katanya.

Ditanya adakah dia mempunyai perancangan menambah cahaya mata sebelum menginjak usia 40 tahun, Dynas menyerahkan perkara itu kepada Allah SWT.

“Soal tambah anak sebelum 40 tahun tengok dulu macam mana. Sekarang pun saya masih boleh ‘bau’ hospital. Kalau tanya suami, dia memang okey saja dan nak tambah lagi. Dia sukakan kanak-kanak.

“Bagaimanapun, kita hanya mampu merancang dan Allah yang menentukan. Kalau ada rezeki dan diberi kesihatan yang baik, apa salahnya. Anak adalah kurniaan dan amanat Allah,” katanya.

Sebelum ini Dynas mengadakan majlis akikah dan doa selamat pada Sabtu lalu di Dewan D’Tunjang Kota Damansara.

Dynas mempunyai dua anak iaitu Khyra Khalyssa, 9, dan Mohamed Haqaish, 7, menerusi perkahwinan terdahulu.

Sumber: Metro & ig Dynas Mokhtar

Published by
Wan Amy