Hiburan

Edry KRU Terkilan Anak Autistik Dilayan Kasar,”Mereka Hanya Berada Di Dunia Anda Sekejap Sahaja”

Share

Edry KRU terkilan anak autistik dilayan kasar, “Mereka hanya berada di dunia anda sekejap sahaja.” Edry KRU terkilan anak autistik dilayan kasar,”Jangan marah, maki OKU…” Menjadi ibu bapa kepada anak istimewa adalah satu perjalanan yang unik, penuh dengan cabaran, tetapi juga penuh dengan anugerah.

Edry KRU Terkilan Anak Autistik Dilayan Kasar

Bagi penerbit dan komposer, Edry Abdul Halim, beliau berharap orang ramai lebih peka dan memahami situasi dilalui individu dalam kategori orang kelainan upaya (OKU) termasuk memberi layanan baik kepada golongan istimewa itu.

Perkara itu dibangkitkan Edry selepas terkilan dengan layanan kasar diberikan terhadap anak ketiganya bersama isteri, Milia Mohammed iaitu Emery, 17, yang menghidap autisme ketika berada di sebuah restoran di ibu kota untuk makan malam, baru-baru ini.

“Mereka Hanya Berada Di Dunia Anda Sekejap    Sahaja”

Melalui perkongsian Edry menerusi video di akaun Instagramnya, beliau memohon orang ramai memberi ruang untuk golongan istimewa menikmati kehidupan normal. Ada kalanya mereka bertindak di luar kawalan tanpa mengetahui apa dilakukan sebenarnya salah.

“EMERY ANAK ISTIMEWA SAYA, DIA AUTISTIK, ‘NON-VERBAL’ DAN TIADA CARA KOMUNIKASI SEPERTI KITA YANG SEMPURNA INI. DIA BERADA DI KUALA LUMPUR UNTUK BERCUTI DAN DUA MALAM JUGA KITA PERGI MAKAN DI PUSAT BANDAR.

“Apa yang saya ingin tekankan, kadang-kadang tindakan anak istimewa ini tidak boleh dijangka dan dia buat apa sahaja. Dia ada masa impulsif, kalau hendak minum dia ambil sahaja daripada rak dan tak faham konsep kena bayar dan buat pesanan.

“Daripada dua malam yang kami keluar makan, ada berlaku situasi memberi trauma daripada layanan orang persekitaran. Sama ada itu adalah orang kedai atau pelanggan, kadang-kadang mereka tak faham anak istimewa ini lain daripada lain.

“JADI, MEREKA TINGGIKAN SUARA, MARAH DAN MAKI. MASYARAKAT KITA TAK PEKA DENGAN INSAN YANG MEMPUNYAI KEKURANGAN DARI SEGI KEUPAYAAN MENTAL,” KATANYA.

Anggota trio adik-beradik, KRU itu juga menegaskan golongan istimewa yang mempunyai kekurangan dari segi keupayaan perlu dilayan dengan baik dan membantu merasai kehidupan normal.

“Sepanjang hidup, mereka perlu lalui hidup yang sebegitu, tapi mereka juga adalah manusia biasa yang mahu menjalani kehidupan normal. Mereka hanya ‘tumpang lalu’ di dunia normal kalian sekejap sahaja.

“Hanya perlu hadap perangai mereka satu atau dua minit sahaja. Ibu bapa seperti kami perlu hadap mereka sepanjang hidup. Jika kalian fikir satu atau dua minit itu susah, boleh bayangkan bagaimana kami menghabiskan sepanjang hayat untuk menghadap mereka.

“Kami tidak mengeluh dan harap kalian juga sama. Jika ada antara kalian berjumpa dengan orang yang nampak lain dan ada penjaga atau ibu bapa bersamanya, kalian akan selamat dengan bimbingan mereka.

“BAGI MEREKA RUANG UNTUK ‘MENUMPANG LALU’ KEHIDUPAN NORMAL KALIAN UNTUK BEBERAPA MINIT DAN MEREKA AKAN PERGI DARIPADA KEHIDUPAN ANDA SELAMANYA,” KATANYA.

“Biar kami yang uruskan, tapi jangan jadikan keadaan lebih teruk dengan melayani mereka secara agresif, marah atau maki. Tiada apa pun yang mereka buat, kalau ada sekali pun keluarga anak istimewa ada untuk bayar atau ambil tanggungjawab.

“Tolonglah, peka dengan kekurangan dihadapi golongan istimewa ini kerana bukan semua kekurangan boleh dilihat. Saya tidak mampu mengubah dunia, tapi kalau ada satu atau dua orang yang mengikuti saya dapat faham.

“Kalau ada berhadapan dengan seseorang berbeza, jangan layan mereka berbeza. Cuba sesuaikan diri dengan dunia mereka sekejap sahaja.

“Mereka hanya berada di dunia anda sekejap sahaja. Saya yakin dunia akan jadi tempat lebih baik kalau kita saling bertolak ansur,” katanya.

Edry mendirikan rumah tangga bersama Milia pada November 1999 dan dikurniakan empat orang cahaya mata, Emil, 24; Edylia, 21; Emery, 17, dan Elya, 14.

Sumber: Berita Harian

Baca artikel lain juga: Pindah Ke UK Untuk Pendidikan Terbaik Anak Autisme, Pengorbanan Edry Abdul Halim & Isteri Jadi Inspirasi

Asid Folik Boleh Sebabkan Risiko Anak Autisme? Mitos Atau Fakta?

Fahami Tanda Awal Autisme & Kenapa Dia Berkelakuan Begitu

 

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!

Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my

 

 

 

 

 

Published by
Has