“Eee comelnya dia..geramnya!!!” sambil digigit manja tangan bayi. Terasa nak kunyah-kunyah si kecil ni disebabkan terlalu comel. Tapi normal ke sikap seperti ini? Ikuti perkongsian ini.
INGIN ‘GIGIT-GIGIT’ BAYI, NORMALKAH?
Tahukah anda keinginan kita untuk ‘gigit-gigit’ bayi, cubit-cubit pipi bayi, gomol bayi ataupun rasa seolah-olah ingin makan atau telan bayi apabila melihat bayi yang comel adalah satu perasaan yang normal dalam diri semua manusia normal?
Kecenderungan ini dikenali sebagai ‘cuteness syndrome’ ataupun ‘cuteness aggression.’
Konrad Lorenz, seorang pakar biologi dan ethologi (tingkah laku manusia) menyatakan bahawa bayi mempunyai ciri-ciri fizikal yang dikenali sebagai ‘baby schema’ iaitu mata bulat, kepala besar, badan kecil, kulit yang halus dan pergerakan yang gemalai hingga menyebabkan semua jatuh hati apabila melihat seorang bayi. ‘Baby schema’ ini akan menarik perhatian orang dewasa dan mewujudkan rasa ingin melindungi dan rasa ingin bertanggungjawab ke atas bayi tersebut.
Kenapa apabila melihat bayi yang comel kita rasa ingin gigit-gigit bayi atau lebih agresif lagi, ada yang hingga berkata “Rasa hendak makan makan” bayi comel tersebut?
Pakar Psikologi dari Yale University * mendapati bahawa terlalu banyak stimulasi kecomelan atau ‘cute stimuli’ dari ‘baby schema’ menimbulkan emosi positif yang berlebih-lebihan dalam diri seorang dewasa yang melihat seorang bayi.
EMOSI POSITIF yang berlebih-lebihan, atau terlampau teruja inilah yang mewujudkan ‘cuteness aggression’ atau rasa ingin gigit, cubit, gomol atau makan bayi. Apabila emosi positif berada pada tahap yang tinggi, kita berada dalam keadaan stres dan emosi perlu diseimbangkan kembali. ‘Cuteness aggression’ membantu orang dewasa untuk menyeimbangkan emosi positif yang berlebih-lebihan itu agar kembali ke paras yang normal.
Apabila ‘cuteness aggression’ ini berlaku, kita akan ketap gigi, genggam tapak tangan dan membuat kenyataan yang ‘agresif’ seperti “Eee!! Rasa nak makan-makan, gigit-gigit dia.”
Setelah mengeluarkan kenyataan ‘agresif’ yang sedemikian, emosi kita akan kembali terkawal, kita akan kembali tenang dari terlampau teruja dan kita akan berupaya untuk menjaga dan melindungi bayi itu dengan pemikiran yang lebih rasional, berjaga-jaga dan stabil.
Ini adalah fitrah semulajadi manusia. Bayi diciptakan Allah SWT dengan sifat yang sungguh comel pada pandangan mata kita supaya kita terus jatuh cinta dan ingin menyayangi dan melindunginya.
Bagi ibubapa pula, walaupun semua bayi dilahirkan comel, tidak ada bayi yang lebih comel di dunia ini berbanding bayi kita sendiri, bukan?
‘Cute stimuli’ ini mewujudkan ‘attachment’ atau perapatan antara ibubapa dan anak-anak dari peringkat bayi lagi.
Manusia yang normal tidak tergamak untuk menyakiti seorang bayi apatah lagi untuk menderanya secara fizikal atau pun seksual. Jika ada manusia yang sedemikian, dia memerlukan bantuan untuk kembali ke fitrah semulajadi manusia yang menyayangi dan melindungi kanak-kanak.
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A. bahawa telah datang seorang tua kepada Nabi S.A.W, dan orang ramai melambatkan pergerakan untuk memberikan ruang kepadanya. Lalu Baginda S.A.W bersabda maksudnya:
“Bukanlah daripada golongan kami barang siapa yang tidak mengasihi kanak-kanak dan tidak menghormati orang dewasa”.
(Hadis Riwayat Tirmizi: 1919)
*Rujukan:
Aragón, Clark, Dyer, and Bargh, ‘Dimorphous Expressions of Positive Emotion: Displays of Both Care and Aggression in Response to Cute Stimuli.’, Psychological Science 2015, Vol. 26(3) 259–273.
Kredit: Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Baca: Tak Keluar Rumah Pun Ibu Risau Kesihatan Anak. Ini Apa Yang Boleh Dibuat
JOM JOIN CABARAN RM10 SSPN X PA&MA
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI