Kanak-kanak memang dilahirkan dengan keupayaan untuk belajar Bahasa. Tetapi mestilah ada input yang diberikan untuk mereka belajar. Belajar menyebut dan menggunakan Bahasa adalah satu kebolehan yang berbeza. Anak-anak yang boleh menyebut, belum tentu boleh menggunakan Bahasa tersebut dalam persekitaran.
Jadi pembelajaran Bahasa bukan sahaja untuk anak menghafal perkataan tapi ianya lebih kepada FAHAM, INGAT, GUNA. Untuk memperolehi kesemua kemahiran ini kanak-kanak perlu belajar Bahasa dengan manusia juga kerana hanya manusia sahaja yang boleh menggunakan Bahasa yang dipelajari dalam persekitaran yang sesuai.
TIP #1: KANAK-KANAK BANYAK BELAJAR DENGAN ORANG YANG RESPONSIVE
Kanak-kanak belajar memahami dan bercakap semasa mereka berinteraksi dan bermain dengan orang-orang yang rapat dengan mereka setiap hari. Apabila selalu bermain dan berinteraksi bersama, kanak-kanak akan berasa rapat dan ada hubungan yang baik yang mana ia akan memberikan motivasi pada kanak-kanak untuk terus berinteraksi walaupun kemahiran Bahasa mereka masih lemah.
Menjadi responsive bukanlah bermaksud kita perlu bercakap setiap masa.. tetapi cuba mendekati anak dan memberi respon yang bersesuaian mengenai perkara yang mereka minat. Contohnya seperti mengiyakan, mengangguk, bercakap mengenai minat mereka dll. Kajian menunjukkan bahawa, kanak-kanak yang meluangkan masa bersama orang yang interaktif mempunyai lebih banyak kosa kata.
Peranan kita: Perhatikan apa yang menarik minat anak anda, tunggu mereka memberikan mesej dan dengar dengan bersungguh-sungguh apa yang cuba disampaikan oleh anak dan respon dengan minat. Ini akan memberikan anak-anak peluang untuk dengar & belajar perkataan berkaitan minat mereka.
TIP #2: KANAK-KANAK BELAJAR PERKATAAN BERKENAAN MINAT MEREKA
Macam kita juga, kanak-kanak belajar lebih banyak apabila mereka mempunyai minat tentang sesuatu. Ini juga boleh diaplikasikan dalam pembelajaran Bahasa. Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak belajar perkataan dengan lebih banyak apabila ibubapa berinteraksi berkenaan sesuatu yang anak minat berbanding apabila ibubapa yang menjuruskan perhatian mereka kepada perkara lain.
Peranan kita: Apabila anda melihat kanak-kanak berminat akan sesuatu, jadikan ia sebagai topik perbualan antara anda dan anak. Apabila anak memberikan perhatian yang lebih pada apa yang anda cakapkan, maka akan lebih banyaklah perkataan yang akan mereka pelajari
TIP #3: KANAK-KANAK BELAJAR APA YANG MEREKA DENGAR DENGAN KERAP
Untuk kanak-kanak belajar Bahasa, mereka perlu mendengar dengan lebih banyak. Untuk kanak-kanak yang belajar banyak Bahasa, mereka perlu mendegar lebih banyak untuk setiap Bahasa tersebut.
Peranan kita: Dengan menambah input Bahasa dalam aktiviti dan pengalaman seharian, kita secara automatik telah menambah input Bahasa kepada kanak-kanak. Sebarang aktiviti yang kita lakukan boleh digunakan untuk mengajar Bahasa. Sebagai contoh, bercerita tentang makanan yang dimakan atau yang sedang dimasak, bercerita berkenaan karakter dan sesuatu kejadian di dalam buku cerita, bercerita berkenaan anggota badan semasa mandi… Sekiranya anak mengalami pengalaman yang baru seperti pergi ke klinik, anda boleh ceritakan berkenaan sesuatu di dalam klinik tersebut seperti doctor, ubat, sakit dll lagi.. Jadi pendedahan anak kepada perkataan-perkataan baru akan menjadi banyak. Yang paling penting sekali adalah, ibubapa perlu bercakap dengan Bahasa yang mereka selesa dan pakar. Kerana sekiranya kita tidak selesa bercakap dengan sesuatu Bahasa, kita tidak akan dapat memberikan input yang maksimum kepada anak dan anak juga lebih sukar untuk memberikan respon.
TIP #4: FLASHCARD, GAJET & TV BUKAN PENYELESAIAN
Kanak-kanak belajar lebih banyak melalui aktiviti dan pengalaman yang dilalui dalam hidup seharian mereka. Kanak-kanak belajar bercakap dan berkomunikasi adalah melalui bermain dan berinteraksi dengan orang sekeliling mereka. Mengajar perkataan (cth: menamakan flash card) adalah sangat membosankan untuk kanak-kanak. Begitu juga apabila kanak-kanak belajar perkataan melalui gajet & tv, mereka akan mengalami kesukaran untuk menggunakannya dalam kehidupan yang sebenar jika tiada panduan dari ibubapa / guru / penjaga.
Peranan kita: Perkenalkan perkataan-perkataan baru semasa bermain dan berinteraksi dengan anak. Gunakan aktivti harian seperti bermain, membaca, aktiviti rutin seperti makan, mandi dan memakai pakaian.
TIP #5: KUNCI UTAMA – PELBAGAIKAN
Apabila belajar Bahasa, kanak-kanak perlukan kepelbagaian seperti:
TIP #6: PERKATAAN DAN AYAT BERSAMA-SAMA
Apabila bercakap dan berkomunikasi, kita tidak hanya menggunakan perkataan sepatah-sepatah sahaja, kita akan bercakap menggunakan ayat. Bercakap menggunakan ayat bersama anak akan membantu untuk anak lebih memahami maksud satu-satu perkataan, dan ia juga menunjukkan cara penggunaan perkataan tersebut dengan betul dalam perbualan. Sebagai contoh, apabila kita menunjuk kepada pintu, kita boleh menyambungkan sekali dengan aksi yang boleh dibuat dengan pintu seperti “tutup pintu” atau “buka pintu”. Dengan ini anak bukan sahaja tahu perkataan pintu, tapi nama aksi dan susunan ayat juga.
Peranan kita: Gunakan ayat-ayat yang pendek dan ringkas semasa berbual dengan anak untuk memudahkan anak faham dan mengingat. Pastikan juga susunan ayat adalah betul dengan tatabahasa yang betul.
Belajar Bahasa adalah satu proses yang 2 hala. Jadi pastikan sentiasa ada komunikasi 2 hala dengan anak. Barulah anak akan belajar dengan lebih cepat.
Sumber: Aishah Kassim Academy
Aishah Kassim
Speech Language Pathology