Dental caries atau lebih mudah dipanggil sebagai masalah gigi berlubang merupakan antara masalah normal yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tidak kira individu dewasa mahupun kanak-kanak. Tetapi, masalah ini lebih kerap dialami oleh kanak-kanak, khususnya mereka yang menyusu botol.
Pastinya ia mendatangkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa jika anak anda mengalami masalah gigi berlubang, bukan? Jadi bagaimana cara terbaik untuk mencegah perkara ini daripada berlaku? Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui tip yang boleh diamalkan.
Tip Mencegah Gigi Berlubang
Ilmu mengenai penjagaan gigi adalah sangat penting. Jadi perkara pertama sekali adalah untuk memastikan bahawa anda juga mementingkan aspek penjagaan gigi dan kesihatan oral anda terlebih dahulu.
Bagaimana gigi berlubang terjadi? Masalah ini boleh berlaku apabila bakteria dalam plak memetabolisma karbohidrat, yang akhirnya menghasilkan asid yang mengurangkan pH dalam rongga mulut. Asid ini bertindak ‘mencairkan’ (demineralization) struktur gigi anda. Maka terjadilah gigi berlubang.
Berikut adalah antara beberapa tip untuk mencegah gigi berlubang yang boleh anda amalkan:
1. Penjagaan awal
Sama ada anda memilih untuk menyusukan bayi anda secara eksklusif ataupun menggunakan susu botol, adalah penting untuk anda memberikan perhatian dalam aspek penjagaan gigi bayi anda dengan baik.
Awal kelahiran hingga usia 12 bulan – lap mulut dan gusi bayi anda dengan perlahan-lahan menggunakan kain lap yang bersih. Sekiranya gigi pertama bayi anda sudah kelihatan, anda boleh menggunakan berus gigi bayi yang lembut.
12 hingga 36 bulan – pada usia ini, beruskan gigi anak anda 2 kali sehari selama 2 minit. Gunakan sedikit ubat gigi berfluorida sehinggalah anak anda berusia 3 tahun. Sebaiknya berus gigi anak anda selepas sarapan pagi dan sebelum tidur.
Cegah Anak Alami Gigi Berlubang – botol susu
2. Tiada susu botol
Sememangnya sudah menjadi kebiasaan ibu bapa untuk membenarkan anak tidur sambil menyusu botol. Tahukah anda perbuatan ini bukan sahaja meningkatkan risiko masalah gigi kepada anak anda, tetapi turut mendedahkan anak anda kepada masalah jangkitan telinga dan tersedak? Jadi sebaiknya, elakkan daripada mengamalkan tabiat ini. Mencegah itu adalah lebih baik, bukan?
3. Bukan pengganti puting
Terdapat sesetengah ibu bapa yang memilih untuk memberikan anak mereka menghisap botol susu bagi menggantikan penggunaan puting, kerana menyangka ia adalah lebih baik berbanding puting. Tetapi hakikatnya, tidak sama sekali. Jangan pernah menggunakan botol susu sebagai pengganti kepada puting bagi penggunaan tempoh waktu yang panjang. Sekiranya anak anda masih mahukan botol susu, sebaiknya isi botol dengan air kosong sahaja.
4. Cawan biasa
Sebolehnya, apabila anak anda mencapai usia seawal setahun, cuba untuk melatihnya minum menggunakan cawan minum yang biasa. Mengajar anak untuk minum dengan cawan biasa dapat mengelakkan kecenderungan cecair daripada terkumpul di sekitar gigi. Paling utama, cawan tidak boleh diminum sambil tidur.
5. Air kosong
Sekiranya anak anda sudah terbiasa dengan tabiat untuk menghisap botol susu untuk tempoh yang panjang, terutamanya ketika waktu hendak tidur atau dalam perjalanan jauh di dalam kereta, pastikan anda hanya mengisinya dengan air kosong. Elakkan daripada memberikan air manis mahupun susu.
Cegah Anak Alami Gigi Berlubang – makanan manis
6. Hadkan makanan manis
Siapa yang tidak gemarkan makanan manis? Sama ada individu dewasa mahupun kanak-kanak, pasti akan tidak menolak makanan manis, bukan? Namun, sebaiknya anda hadkan jumlah pengambilan makanan manis untuk dimakan oleh anak anda, seperti gula-gula, biskut, kerepek kentang dan segala makanan yang tinggi kandungan gula. Ini adalah antara jenis makanan yang tidak baik untuk anak anda terutamanya jika dimakan dalam kuantiti yang banyak. Sebagai ibu bapa anda perlu bertegas dalam hal ini.
7. Jus buah-buahan
Jus segar yang diperah daripada buah-buahan sememangnya baik. Tetapi American Academy of Pediatrics (AAP) tidak mengesyorkan pemberian jus kepada bayi di bawah usia 6 bulan. Manakala jika ingin memberikan jus bagi anak anda yang berusia di antara usia 6 hingga 12 bulan, pastikan ia dihadkan kepada 4 auns sehari dan perlu dicampurkan dengan air, dengan kiraan separuh air dan separuh jus. Untuk kanak-kanak berusia 1 hingga 6 tahun pula, pemberian jus perlu dihadkan dalam jumlah 4 hingga 6 auns sehari.
8. Hindari produk pemutihan
Terdapat kajian yang mengkaji mengenai kesan penggunaan produk pemutihan kepada kanak-kanak. Tetapi apa yang pasti, penggunaannya produk seperti itu cenderung menyebabkan gigi anak anda menjadi nipis dan mendatangkan kesan tindak balas yang berbeza berbanding kesannya kepada enamel gigi kekal. Sebaiknya elakkan sebarang produk pemutihan bagi kanak-kanak di bawah usia 12 tahun.
9. Rawatan berkala
Sebaiknya biasakan anak anda untuk berjumpa dengan doktor gigi. Ia boleh dimulakan seawal ketika anak anda berusia 12 bulan.
Langkah penjagaan
Masalah berkaitan gigi seperti gigi berlubang mahupun gigi reput boleh dicegah daripada berlaku kepada anak-anak anda. Cara yang paling penting adalah dengan memastikan langkah penjagaan yang betul diamalkan bagi mencegah sebarang kerosakan daripada berlaku. Jangan ambil mudah soal penjagaan gigi anak-anak anda. Mulakan seawal mungkin. Dengan langkah penjagaan yang betul, gigi anak anda akan dapat tumbuh dengan sihat dan baik.
Sumber: Hello Doktor
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)