Fenomena kejadian banjir kerap berlaku di negara ini. Saban tahun bermula September sehingga Februari hujan yang dialami oleh negeri-negeri di Malaysia akan meningkat dan menyebabkan banjir.
Banjir memberikan beberapa kesan yang tidak baik terhadap semua hidupan sehingga boleh membawa kematian. Antara yang disebabkan oleh banjir adalah:
Kemusnahan Harta Benda: Banjir yang besar boleh menenggelamkan rumah kediaman serta menghayutkan serta merosakkan barang-barang lain seperti barang-barang elektrik, kereta ,dokumen dan sijil penting dan sebagainya. Ini membawa kerugian besar kepada penduduk.
Penyakit Berjangkit: Kesan yang paling buruk dibawa oleh banjir adalah kesihatan manusia di mana kejadian penyakit berjangkit mudah dijangkiti semasa dan selepas banjir.
Kematian: Banjir juga boleh mengakibatkan kehilangan nyawa terutamanya di kawasan yang rendah dan berhampiran dengan sungai.
Kerugian Kerajaan: Banjir sering merosakkan harta awam seperti jalan raya, bangunan, telefon, elektrik dan mengakibatkan pelbagai jenis penyakit. Semua ini akan ditanggung oleh kerajaan dengan memperbaiki kerosakan dan membiayai kelengkapan perubatan.
Kesemua ini memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi. Selain itu kerajaan juga terpaksa menyediakan pelbagai keperluan asas seperti makanan dan minuman, ubat-ubatan di samping menyediakan penempatan sementara mangsa banjir.
Banjir dan Risiko Penyakit
Banjir yang berlaku akan menyebabkan sampah sarap dan takungan najis keluar bersama-sama limpahan air. Sampah sarap dan sisa najis ini bertaburan di merata-rata tempat sehingga mengakibatkan pelbagai jenis penyakit berjangkit.
Antara penyakit berjangkit yang mudah merebak semasa dan selepas banjir adalah seperti jangkitan pernafasan akut, Konjunktivitis (Sakit Mata), Leptospirosis, Cirit-Birit, Disentri, Hepatitis A, Taun/Kolera, Demam Kepialu (Typhoid), Keracunan Makanan, Demam Denggi, Jangkitan Kulit, Demam Campak (Measles), Penyakit Kaki, Tangan Dan Mulut (HFMD), Malaria Dan Cacar Air (Garis Panduan Pengurusan Banjir, 2008).
Penyakit Bawaan Air dan Makanan
Penyakit bawaan air dan makanan kerap berlaku semasa dan selepas kejadian banjir adalah seperti Demam Kepialu (Typhoid), Taun/Kolera, Hepatitis A, Disentri dan keracunan makanan. Gejala penyakit ini seperti cirit-birit, muntah, demam, sakit perut, dan sakit kepala. Cara jangkitan penyakit ini adalah melalui meminum air atau memakan makanan yang telah dicemari oleh kuman-kuman penyakit tersebut. Penyakit ini sangat mudah berjangkit dan merbahaya. Kejadian penyakit ini sentiasa dipantau dan dikawal oleh pihak Kesihatan.
Langkah-langkah pencegahan yang patut diamalkan ialah pastikan sumber air yang akan digunakan dari punca yang bersih dan selamat, sentiasa mencuci tangan menggunakan air yang bersih, minum air yang telah dimasak sempurna, makan makanan yang baru dimasak dan masih panas, kupas kulit buah-buahan sebelum makan, elakkan dari memakan sayur mentah, gunakan air yang bersih semasa membasuh sayur-sayuran, buah-buahan, bahan mentah dan semua peralatan semasa penyediaan makan dan minum, dan pilihlah kedai makanan dan pengendali makanan yang bersih dan telah mendapat suntikan anti tifoid apabila makan di luar.
Penyakit Leptospirosis
Penyakit Leptospirosis adalah disebabkan oleh bakteria Leptospira yang terdapat di dalam air kencing haiwan mamalia berkaki empat seperti tikus, kucing, anjing, lembu dan sebagainya. Penyakit ini boleh berjangkit kepada manusia yang terdedah atau bersentuhan secara langsung dengan air atau air banjir yang telah tercemar dengan air kencing haiwan yang telah terjangkiti dengan bakteria ini. Antara tanda-tanda penyakit Leptospirosis ialah demam, sakit kepala, loya, muntah, sakit otot, kemerahan pada mata, ruam, sakit pada abdomen, jaundis dan air kencing berwarna kehitaman (Manual Maklumat Kesihatan Banjir, n.d.).
Langkah-langkah pencegahan yang patut diamalkan adalah memastikan kebersihan persekitaran rumah, tutup dan tudung makanan supaya dihindari tikus, sentiasa mencuci tangan dan menjaga kebersihan diri, jangan bermain air banjir dan lopak air terutamanya selepas banjir dan cuci serta balut sebarang luka yang terdapat pada anggota badan dengan sempurna supaya tidak terdedah dengan air banjir ini.
Penyakit Konjunktivitis (Sakit Mata)
Konjunktivitis atau Sakit Mata juga merupakan penyakit yang kerap terjadi semasa banjir. Penyakit ini mudah merebak dengan cepat dari seorang pesakit kepada orang lain melalui perkongsian alat-alat peribadi seperti tuala, bantal dan sapu tangan serta bergaul rapat dengan orang yang sakit mata. Penyakit yang disebabkan oleh kuman (bakteria atau virus) atau alahan ini merupakan radang pada bahagian putih mata. Antara gejala sakit mata ialah mata merah, berair dan pedih; discaj tahi mata yang berlebihan, mata terasa gatal dan mata sensitif terhadap cahaya.
Langkah-langkah pencegahan yang patut diamalkan adalah sentiasa mencuci tangan dengan menggunakan sabun dan air yang bersih selepas menyentuh mata dan sebarang permukaan, elakkan bergaul dengan orang yang sakit mata dan jangan berkongsi barang peribadi.
Demam Denggi
Selepas banjir surut, banyak kawasan-kawasan yang berpotensi sebagai tempat pembiakan nyamuk Aedes. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak dalam memastikan tiada tempat yang boleh menakung air seperti plastik, tin-tin minuman dan bekas makanan polisterin yang digunakan atau hanyut semasa banjir. Bekas-bekas ini perlulah dibuang dengan betul. Setiap penghuni rumah juga perlu memastikan persekitaran rumah mereka bebas dari tempat pembiakan nyamuk Aedes ini.
Demam Denggi adalah berpunca dari nyamuk Aedes. Antara tanda-tandanya ialah bermula dengan demam mengejut, dengan sakit kepala teruk, sakit di belakang bebola mata, sakit sendi dan otot (myalgias dan arthralgias, sakit pinggang yang teruk menyebabkan ia juga digelar demam tulang-pecah atau break-bone fever) dan gatal-gatal. Ciri-ciri keradangan demam denggi adalah bintik-bintik merah terang, dan biasanya muncul di anggota bahagian bawah – pada sesetengah pesakit, ia merebak hampir kepada keseluruhan tubuh.
Tanda pada kulit yang klasik ialah seluruh kulit tubuh bertukar kemerahan diselangi dengan tompok-tompok kulit warna yang normal (island of white in a sea of red). Kemungkinannya terdapat gastritis dengan gabungan sakit perut, mual, muntah atau cirit-cirit. Pesakit juga boleh mendapat radang hati, radang otak (lebih pada kanak-kanak) dan juga dalam kes luar biasa radang otot jantung (cardiomyopathy).
Demam denggi klasik berlarutan selama enam hingga tujuh hari dengan demam kembali memuncak pada akhir demam (dikenali sebagai pola biphasic). Secara klinikal bilangan sel darah pembeku (platelet) akan turun sehingga hilang demam diikuti dengan kehilangan bendalir plasma darah dari salur darah ke dalam tisu perantara atau ruang ke tiga (third space loss) di antara selaput paru-paru, ruang peritoneum dan sebagainya), kerana kapilari darah menjadi rapuh (capillary fragillity). Pada peringkat ini pesakit terdedah kepada renjatan dan risiko perdarahan.
Langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil
Semasa banjir, sentiasa patuhi arahan daripada Pihak Berkuasa:
Jagalah kesihatan:
Sumber:
Manual Maklumat Kesihatan Banjir. n.d. Bahagian Kawalan Penyakit dan Bahagian Pendidikan Kesihatan. Kementerian Kesihatan Malaysia. Putrajaya.
Garispanduan Pengurusan Banjir (Kesihatan). 2008. Kementerian Kesihatan Malaysia. Diambil dari http://www.infosihat.gov.my/infosihat/isusemasa/pdf/Jlid 1 – FWBD UMU GP 001.pdf
Kredit: MyHealthportal
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!