Keterujaan kita untuk memberikan makanan pejal pada anak sememangnya dipuji. Pun begitu dalam rasa teruja janganlah kita terlalu untuk mencuba pada anak. Bayi perlu melalui tempoh percubaan dan langkah demi langkah agar pemakanannya menjadi lebih sempurna.
Dalam pada mencuba, ada beberapa makanan atau pemakanan yang sebaiknya elak diberikan pada anak-anak kita. Salah satunya adalah buah anggur. Bukan tidak boleh, tetapi tunggulah ketika anak semakin membesar dan bukanlah pada usia bayinya.
Banyak kes yang dilaporkan mengenai kejadian bayi tercekik anggur yang menyebabkan maut di seluruh dunia. Sebagai contoh, di United Kingdom, terdapat kes di mana seorang bayi lelaki berumur 17 bulan tercekik semasa memakan anggur di rumah bersama keluarganya.
Ahli paramedik berjaya mengeluarkan anggur tersebut tetapi anak kecil tersebut meninggal dunia. Ada apa pada sebiji buah anggur? Saiz dan bentuk anggur menyebabkan ia senang tersekat dalam saluran pernafasan anak anda apabila tercekik.
Kanak-kanak mudah tercekik jika diberikan anggur kerana:
* Tidak mempunyai set gigi yang lengkap
* Baru belajar mengunyah makanan dengan betul
* Refleks menelan masih berkembang
* Saluran pernafasan lebih kecil berbanding dewasa
Doktor mencadangkan untuk memberi anggur kepada anak berumur 5 tahun ke atas. Buat anak yang masih berada di prasekolah, anda boleh memberikan anggur yang telah dipotong separuh atau suku.
Terdapat laporan anak kecil berumur lima tahun di United Kingdom meninggal dunia kerana tercekik anggur. Anggur tidak dapat dikeluarkan dari tekak dan anak kecil tersebut meninggal dunia kerana sakit jantung.
Ia lebih selamat untuk dimakan oleh anak anda jika kulit anggur dibuang terus. Hal ini kerana selaput anggur yang licin akan menyukarkan proses mengeluarkan anggur dari tekak anak sekiranya tercekik. Solusi untuk anda yang masih memilih untuk memberikan anak anggur adalah dengan:
* mengupas kulit anggur terlebih dahulu
* lunyaikan seperti prun dan barulah dihidangkan kepada si manja anda
* suap anak anda perlahan-lahan dan peka jika anak anda tersedak ketika makan
* pastikan juga anda sentiasa bersamanya ketika dia sedang makan dan peka akan tanda-tanda tercekik
* selain itu, pastikan anak anda tidak ada alergi makanan sebelum mencuba menu baru.
Makanan bayi lain yang harus dielakkan
Makanan yang tidak sesuai atas risiko mudah tercekik bagi anak yang berumur 4 tahun ke bawah ialah :
* Jagung dan jagung bertih
* Kekacang dan bijirin
* Daging, ayam atau keju yang dipotong besar
* Gula-gula, gula-gula getah
* Buah-buahan atau sayuran bertekstur keras seperti epal dan karot
* Buah atau sayur berkulit licin – anggur, tomato ceri
* Sosej, kecuali saiz potongan sesuai untuk umur
* Makanan mudah melekit seperti mentega kacang (boleh diberikan jika disapukan sedikit atas roti)
Pun begitu, malang tidak berbau. Jika anak tiba-tiba tercekik makanan, elakkan melakukan perkara ini.
* Jangan memasukkan jari ke dalam tekak anak anda. Ia akan menolak makanan lebih jauh ke dalam tekak.
* Jangan memberikan air kepada anak anda. Bukan sahaja memudaratkan, air tidak akan membantu mengeluarkan makanan tersebut.
* Jangan menggoncang atau membalikkan tubuh anak anda. Ini boleh menjurus kepada kecederaan lebih lanjut dan menggerakkan makanan lebih ke dalam tekak si kecil.
Artikel berkaitan: Anak Tercekik Makanan Jangan Dongakkan Kepala, Ikut Langkah Keselamatan Ini
Nak macam-macam info? Jom join telegram Pa&Ma D Parents https://t.me/pamadparents
Sumber: Hellodoktor. com