Baru sebentar tadi kita dikejutkan dengan pemergian wanita yang berusia 25 tahun, mangsa keracunan puding buih di Terengganu. Berdasarkan siasatan awal, telur tamat tempoh yang digunakan untuk membuat puding buih itu dipercayai menyebabkan punca keracunan.
Sebelum ini, kira-kira 100 individu membabitkan 20 keluarga mengalami keracunan makanan selepas menikmati puding buih yang dibeli secara dalam talian pada 22 Mei lalu.
Memilih telur yang baik amat peting untuk mengelakkan sebarang masalah kesihatan. Buat pilihan yang betul agar tidak terbeli telur yang rosak. Begitu juga sebelum memecahkan telur untuk dimasak, anda perlu tahu telur tersebut masih elok atau sudah rosak. Untuk memilih telur yang terbaik, ikut langkah ini.
1. PERIKSA KULIT TELUR
Perhatikan sekeliling kulit telur dan lihat jika ada sebarang keretakan padanya. Jika masih elok, bermakna bahagian dalam telur masih terlindung.
Untuk mengetahui sama ada telur itu bagus mahupun tidak, ia mempunyai sejumlah butiran kecil yang akan membuatkan permukaan telur sedikit kasar jika dipegang.
2. GONCANG TELUR
Untuk mengetahui keadaan dalam telur, goncangkan ia. Telur yang berkualiti tidak akan kedengaran berbunyi kerana ia padat di dalamnya.
Putih telur yang bagus sedikit kental jika dibandingkan dengan yang sudah lama ataupun rosak. Jika telur tidak berbunyi bermakna telur putih itu dalam keadaan yang baik.
Telur putih yang sudah rosak tidak dapat ‘mengikat’ kuning telur dan mempunyai rongga udara yang banyak di dalamnya. Oleh itu, apabila digoncangkan ia akan berbunyi.
3. RENDAMKAN DALAM AIR
Ketika anda di rumah, tiba-tiba teringin makan telur. Bagaimana anda mahu tahu jika telur itu masih boleh digunakan?
Rendamkan saja. Telur yang masih baik akan terendam, jika sudah seminggu disimpan akan tenggelam dengan posisi sedikit senget.
Telur yang tersimpan lebih kurang 2-3 minggu pula akan lebih tegak kerana rongga udara di dalam telur semakin banyak. Sekiranya anda rendam telur dan ia timbul sepenuhnya, bermakna ia sudah rosak. Namun, jika waktu anda rendamkan telur itu dan ia tenggelam sepenuhnya, bermakna telur itu masih segar dan selamat untuk digunakan.
4. PERHATIKAN KUNING TELUR
Kuning telur yang masih elok biasanya berwarna kuning terang dan apabila dipecahkan, ia akan terbentuk cantik.
Jika sudah tidak berapa elok, kuning telur akan berwarna sedikit pucat dan cenderung untuk ‘terlerai’ ketika anda pecahkan telur. Selain itu, putih telur juga tidak selikat yang biasa.