Masalah tulang pinggul bayi teralih atau hip dysplasia kerap ditemui pada masa pemeriksaan selepas bayi baru lahir oleh doktor (kongenital) tetapi ada yang berkembang selepas itu.
Hip dysplasia yang berpunca daripada masalah kongenital sejak lahir seperti genetik, masalah dalam rahim, kedudukan bayi yang songsang dan ketidakseimbangan hormon ibu semasa hamil.
Bagi hip dysplasia yang terjadi selepas lahir (bukan kongenital), ia sukar untuk dikesan kerana tidak menyebabkan rasa sakit pada bayi dan biasanya tidak menghalang mereka daripada belajar berjalan dan berjalan pada usia yang sepatutnya.
TANDA-TANDA SEBELUM BAYI BERJALAN
Anda perlu memerhatikan tanda awal hip dysplasia pada bayi seperti berikut;
-Kesukaran untuk menukar lampin anak kerana bahagian kelangkangnya sempit.
– Lipatan kulit pinggul tidak seimbang antara satu sama lain.
– Sebelah kaki pendek dan terkeluar.
– Pinggul berbunyi setiap kali digerakkan.
TANDA-TANDA SELEPAS BAYI BERJALAN
Apabila kanak-kanak mula berjalan ibu bapa mungkin melihat kaki anak tengkot. Jika hip displasia ini melibatkan kedua-dua belah kaki, mereka kemungkinan akan berjalan seperti itik dan punggung tertonggek. Sekiranya ia berlaku pada sebelah sahaja dan tidak dirawat, ia boleh menyebabkan kaki anak jadi pendek sebelah.
PASTIKAN PENGGENDONG BAYI DIGUNAKAN DENGAN BETUL!
Pemakaian penggendong bayi yang salah boleh menjadi salah satu punca kepada masalah tulang pinggul ini. Perhatikan penggendong yang anda gunakan dan cara pemakaiannya terhadap bayi, adakah ia mendedahkan si manja kepada masalah hip dysplasia? Pastikan bentuk penggendong dan cara pemasangannya tidak menghalang perkembangan semula jadi pinggul bayi.
1.PENGGENDONG BAYI JENIS HARNESS
CARA TIDAK DISARANKAN
Pinggung tidak disokong sehingga sendi lutut. Tekanan pada sendi pinggul menyumbang kepada berlakunya hip dysplasia.
CARA YANG DISARANKAN
Pinggul disokong sehingga ke sendi lutut. Tekanan pada sendi pinggul adalah minimum kerana kedua-dua belah kaki terkangkang, tersokong oleh penggendong. Pinggul berada dalam keadaan lebih stabil.
Pastikan pinggul bayi berada pada paras tulang rusuk mama/papa. Bayi seperti duduk dengan kedua belah paha terbuka dan mengelilingi bahagian bawah tulang rusuk ibu (spread squat position). lutut bayi lebih tinggi daripada punggung dan seolah-olah terlipat sedikit bagi memastikan bahagian pinggul disokong.
2.PENGGENDONG BAYI JENIS SLING
CARA TIDAK DISARANKAN
Pemakaian baby sling yang memerlukan posisi kaki bayi berada dalam keadaan lurus dan dirapatkan.
CARA YANG DISARANKAN
Baby sling perlu menyokong pinggul dan membiarkan kedua-dua belah kaki terbuka bagi memastikan pinggul dalam posisi stabil.
DAPATKAN RAWATAN SEGERA
Jika khuatirkan kedudukan tulang pinggul bayi anda dan mungkin telah menunjukkan tanda-tandanya, dapatkan rawatan doktor segera. Pemeriksaan akan dijalankan untuk mengesan sebarang tanda-tanda hip dysplasia. Ujian ultrasound biasanya dilakukan untuk bayi yang berusia kurang daripada tiga bulan manakala ujian X-ray dilakukan untuk bayi yang berusia enam bulan ke atas.
Sumber: International Hip Dysplasia Institute