Bila anak buat perangai, elakkan daripada tengking mereka supaya si kecil tak bersikap lebih agresif. Walaupun sedaya upaya anda cuba mengawal ‘pitching’ suara daripada tinggi tapi kadangkala bila berhadapan dengan situasi kerenah anak-anak, ia terlepas juga.

Tipulah kalau ada yang tak pernah langsung menjerit pada anak-anak sebab sebagai manusia biasa kita tak boleh lari daripada melakukan kesilapan tersebut. Jom kita semak kenapa menjerit perlu juga dilakukan oleh ibu bapa dan macam mana tabiat menjerit pada anak boleh kita kawal atau kurangkan dalam kehidupan seharian.

Bukan tak boleh jerit pada anak langsung

Menjerit kadangkala membantu dan adakalanya perlu. Ia seperti penggera kebakaran yang hanya boleh digunakan dengan betul pada masa yang tepat sebagai satu amaran bahaya!

Menjerit adalah satu bentuk amaran yang berkesan untuk mengingatkan anak anda tentang situasi yang mungkin berbahaya.

Jadi, sepatutnya menjerit pada anak hanya digunakan sebagai salah satu kaedah memberi amaran pada anak, dan bukan sebahagian daripada hukuman atau cara anda menangani ‘kenakalan’ anak.

Kajian mendapati ada beberapa kesan yang diperolehi oleh anak apabila ibu bapa asyik menjerit sahaja pada mereka.

Jika anda cuba untuk menghentikan si kecil daripada melakukan sesuatu tingkah laku negatif atau berhenti buat perangai, tengkingan dan jeritan bukanlah cara terbaik. Sebaliknya jika anda bertindak balas lebih tenang ia membantu memberi keyakinan dan sayang dalam diri anak anda.

Hakikatnya, menengking anak hanya akan membuatkan otak anak masuk ke fight, flightor freeze mode iaitu anak menjadi semakin rasa ingin bergaduh atau agresif. Memekik pada anak hanya akan menyebabkan mereka membalas sikap agresif anda itu dengan tindakan lebih agresif seperti kemungkinan memukul anda. Perasan tak ia biasa dilakukan oleh si kecil bila kita tengking mereka.

Ia juga mungkin menyebabkan anak anda lari daripada anda atau hanya memandang anda penuh ketakutan. Untuk jangka masa panjang, kajian menunjukkan bahawa perbuatan mejerit pada anak hanya akan membuatkan si kecil jadi lebih agresif secara fizikal dan verbal.

Pada tanggapan kita, dengan menengking anak ia boleh membuatkan mereka insaf dan belajar untuk lebih bekerjasama tanpa kita perlu memekik pada mereka lagi di masa akan datang. Namun sebenarnya, cara itu mengajar mereka yang ibu atau ayah ni tidak serius sehingga kita mula memekik. Dengan kata lain, anak jadi tak hormat dengan arahan kita.

IKLAN

Elak Tengking Anak Waktu Mereka Buat Perangai Supaya Si Kecil Tak Bersikap Lebih Agresif

Memekik bukan bentuk komunikasi yang efektif

Kadangkala kita menjerit dalam keadaan di bawah sedar dan beranggapan jika bercakap dalam nada suara yang kuat (atau menjerit) anak-anak akan lebih faham apa yang kita cakap. Sebenarnya ia bukan seperti yang kita fikirkan.

Anda mungkin boleh membuatkan anak rasa terkesan, tetapi jika anda menjerit, ia tidak akan meresap dengan berkesan seperti kaedah-kaedah lebih tenang yang digunakan untuk menyampaikan sesuatu (melainkan untuk situasi bahaya, anda memang kena menjerit).

“Menjerti tidak dapat menyampaikan mesej kepada anak-anak, tak kira kecil atau besar kerana mereka sibuk mempertahankan diri sendiri daripada menerima atau bahaya sebenar dan betul-betul hilang tumpuan pada poin yang disampaikan,” menurut pakar psikologi klinikal Dr. Deema Sihweil.

Menjerit rosakkan kepercayaan

IKLAN

Ini memang ada betulnya. Untuk mendapat kepercayaan anak kita mestilah tunjukkan contoh dan tauladan. Bila asyik menjerit marahkan mereka sahaja, dari mana mereka boleh belajar tentang akhlak yang betul.

Untuk menggantikan tabiat suka menjerit pada anak, Dr. Laura Markham mencadangkan ibu bapa mengendalikan situasi secara berbeza. Mungkin ibu ayah boleh tangani masalah dengan cara berjenaka atau beri anak amaran secara berhemah untuk menyelesaikan masalah mainan bersepah dan suruh anak masuk tidur.

Elak Tengking Anak Waktu Mereka Buat Perangai Supaya Si Kecil Tak Bersikap Lebih Agresif

Bertindak balas pada situasi dengan empati daripada perspektif anak, berbanding bertindak balas pada perbuatan atau masalah yang dibuat oleh anak. Anda akan nampak betapa seronoknya anak sebelum mereka masuk tidur dan bukannya menangis atau mengamuk seterusnya menjadikan situasi lebih tegang.

Kita bukanlah sempurna, tapi cuba untuk jadi yang terbaik

Ia bukan perkara mudah untuk terus kekal sabar dan bertenang bila si kecil mengejutkan anda jam 3 pagi semata-mata hendak tengok TV! Ia juga bukan kerja mudah untuk elakkan diri daripada tidak menjerit bila si kecil sibuk menuang air pada mainan masak-masaknya sampai banjir lantai rumah.

IKLAN

Tetapi kekal bertenang ketika berhadapan dengan situasi anak-anak buat perangai sangat berbaloi pada jangka masa panjang kerana anda telah membesarkan seorang anak yang percaya, bukan takut pada anda dan sayang bukan cari gaduh dengan anda.

Sekiranya anda dibesarkan oleh ibu bapa yang guna kaedah menjerit, jangan biarkan tradisi tersebut berterusan. Berubah ke cara lebih baik tak salah. Jadilah ibu ayah yang penuh dengan sifat sabar dan kasih sayang, kerana itu yang anak-anak nak lihat. Jika tersilap, perbaiki diri dan move on!

Sumber: familyshare.com

 

 

 

 

 

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI