Penularan pandemik Covid-19 menggusarkan banyak pihak terutamanya ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih kecil. Pelakon dan selebriti Elfira Loy juga tidak terkecuali.
Dalam musim pandemik ini, Ibu kepada Muhammad Rayyan Khalaf lebih selesa menghabiskan masa di rumah untuk memberi sepenuh perhatian menjaga anaknya kerana bimbangkan keselamatan dan nyawa diri di musim pandemik Covid-19 ini.
Namun status diri sebagai influencer dan juga selebriti menuntutnya untuk keluar melunaskan urusan kerja. Jadi sebagai wanita bertudung, soal pemakaian pelitup muka sudah menjadi kebiasaan ketika keluar di rumah dan berada di tempat awam.
Memetik laporan oleh BH Online, Elfira yang baru dilantik sebagai duta pelitup muka jenama Himaya untuk wanita bertudung percaya soal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) menerusi pemakaian ‘aksesori’ penting itu tidak wajar diambil mudah.
“Mendengar kes wabak COVID 19 ini meningkat saban hari, jujur buat saya sedikit takut dan curiga dengan apa saja kemungkinan. Perasan itu menjadi jadi apatah lagi saya ada anak berusia 14 bulan.
“Saya sampai satu tahap bimbang jika lalai dan tersilap langkah dalam mematuhi SOP, ia akan memudaratkan diri, anak, suami dan orang terdekat. Kalau boleh saya tak nak lama lama berada di luar.
“Kita punyalah jaga SOP dan berhati hati, tapi rasa sedih apabila ada segelintir yang ambil mudah bab itu. Ada yang macam tak makan saman walaupun akan dikompaun RM1000 jika tidak memakainya. Tapi kalau kita sama sama sepakat menjaga diri dan sekeliling terutama dengan memakai pelitup muka, itu sudah bagus,” katanya yang dilantik selama setahun mewakili jenama Himaya.
Kata pemilik nama penuh Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri ini, baginya pelitup muka kini bukan hanya keperluan, ia juga seperti satu tanggungjawab yang sangat besar maknanya
“Suka atau tidak, kita kena biasakan norma baharu ini. Saya sedar pemakaian pelitup muka ini jika tidak kena materialnya boleh melemaskan dan memberi kesan kepada kulit muka. Jadi kena pilih yang bagus seperti Himaya.
“Kita kena sedar kegagalan kita memakai pelitup muka bukan hanya memberi kesan kepada diri sendiri, tapi orang sekeliling juga. Belajarlah untuk terus membiasakannya demi kebaikan bersama. Kita jangan mementingkan diri sendiri. Sama sama beringat,” katanya.
Rayyan Dah Boleh Berjalan & Berdiri, Elfira Kongsi Momen Perkembangan Anak Indah Di Media Sosial
Mengalih bicara mengajaknya bercerita mengenai fasa indah bergelar ibu saat ini, Elfira memaklumkan anaknya kini sudah boleh berjalan dan berdiri.
“Saban hari, ada saja keletahnya yang mencuit hati. Saya tak ketinggalan berkongsi apa saja detik atau momen indah fasanya bertambah umur di Instagram. Cuma anak saya ini kategori ‘baby’ Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Dia tak berjumpa sangat dengan orang di luar. Masanya pun banyak dihabiskan di rumah. Saya tak mahu ambil risiko. Dia juga yang jenis ‘happy go lucky’ dan gemar tersenyum. Cuma kalau ada orang datang rumah, dia susah nak mendekati mereka dan ambil masa untuk jadi mesra.
“Dia macam seolah olah tahu dengan situasi pandemik sekarang yang tak boleh sewenang wenangnya bercampur dengan orang ramai,” katanya lagi.
Elfira dan suami, Khairol Faris Anuar disatukan sebagai suami isteri pada 1 Januari 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata yang diberi nama Muhammad Rayyan Khalaf pada Oktober tahun lalu.
Sumber: BH Online
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)