Jangan katakan anak, kita pun boleh moody dan emosi terganggu jika tak ambil sarapan di pagi hari. Itu hakikatnya yang semua orang patut tahu. Rasa resah, gelisah dan langsung tidak fokus antara simptom lain yang menguasai kita sepanjang hari.
Jadi janganlah biarkan anak berlapar di pagi hari, sebelum ke sekolah. Walau macam mana sibuk pun, sediakanlah makanan paling ringkas buat anak kita. Perkongsian Puan Ruqayyah Muhammad, Pegawai Dietetik daripada Universiti Sains Malaysia (USM) ni mama papa kena baca.
“ Saya tidak lapar.”. “ Saya mengantuk.” adalah alasan yang sering diberikan apabila disuruh makan sebelum ke sekolah.
Tambah pula ibu ayah terpaksa bergegas ke tempat kerja dan menghantar anak-anak ke pusat asuhan dan sekolah menyebabkan masa terhad di pagi hari. Bagaimana sukar sekalipun, rutin makan yang teratur perlu dilakukan.
Sarapan pagi adalah waktu makan yang wajib diambil oleh anak yang sedang membesar. Setelah tidak makan selama 8 -10 jam di malam hari, sarapan pagi berfungsi untuk memberikan tenaga dan melengkapkan keperluan nutrisi untuk anak memulakan hari yang penuh dengan aktiviti.
Tumpuan Lebih Tinggi
Anak yang bersarapan pagi, akan mempunyai tenaga yang cukup untuk terlibat dengan lebih aktif di dalam aktiviti yang dijalankan sepanjang hari.
Meninggalkan sarapan menyebabkan anak mudah berasa letih, tidak fokus, daya berfikir kurang disebabkan oleh penurunan aras gula darah. Anak akan resah menunggu waktu rehat datang dan seterusnya mengganggu sesi pembelajaran dan aktiviti di tadika dan sekolah.
Kajian juga menunjukkan, anak yang meninggalkan waktu makan, mempunyai kecenderungan untuk mempunyai masalah berat badan yang tidak ideal. Ada yang akan mengambil makanan dengan lebih banyak pada waktu makan yang seterusnya, tinggi gula dan lemak, dan seterusnya membawa kepada gejala obesiti.
Manakala anak-anak yang tidak mengambil makanan mencukupi keperluan pula boleh menyebabkan berat tidak naik dengan baik. Sarapan pagi memastikan anak mendapat protein, kalsium dan nutrien lain yang penting untuk pertumbuhan tubuh badan.
Jadi, mama sila take note ya. Jangan malas sediakan sarapan dekat anak kita. Segelas susu dan sepotong roti pun sudah memadai.