Keibubapaan

Enam Beradik Hilang Ayah Lepas Tiga Jam Balik Dari Umrah. Tiada Lagi Orang Nak Bawa Jalan-jalan, Sedihnya!

Share

Sebelum ini pernah tular kisah seorang bapa tunggal yang buntu kerana perlu menjaga enam orang anak yang masih kecil setelah berpisah dengan bekas isteri dua tahun yang lalu kerana menghadapi masalah kesihatan yang menyebabkan dia tidak lagi mampu bekerja.

Dia juga turut menyatakan rasa bimbang dengan nasib keenam-enam anaknya yang masih kecil jika ditakdirkan umur tidak Panjang akibat menghidap pelbagai penyakit seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis, asma dan batu karang.

enam orang anak yang ditinggalkan Kamarul Sharizam

Ternyata kegusarannya itu menjadi kenyataan, Allahyarham Kamarul Sharizam, 40 menghebuskan nafas yang terakhir selepas pulang menunaikan umrah pada Selasa yang lalu.

Dalam satu laporan akhbar menyatakan Kamarul Sharizam meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) selepas pulang menunaikan umrah 5.05 petang Selasa sebaik tiba di hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan akibat mengadu tidak sihat.

Memetik laporan akhbar tersebut yang sempat menemuramah anak sulung Kamarul Sharizam, Muhammad Haikal Nashriq, 13, berkata sejak ibu dan bapanya berpisah, bapanya sendirian menguruskan adik-beradiknya yang berusia dari dua hingga 11 tahun.

“Ketika ayah ada, dia jaga kami dan kami jaga ayah kerana dia sakit. Saya dan dua lagi adik lelaki yang berusia sembilan serta 11 tahun membantu ayah menguruskan tiga adik perempuan berusia dua, empat dan tujuh tahun.

Allahyarham Kamarul Sharizam bersama keluarga ketika tiba di KLIA selepas pulang dari Umrah

“Ayah sering tunaikan permintaan kami seperti membawa kami berjalan-jalan dan membelikan permainan namun kini ayah sudah tiada,” katanya penuh sayu.

Bapa saudara ambil tanggungjawab jaga anak-anak Kamarul Sharizam

Sementara itu, Kamarul Shahril Kamarudin, 35, adik kepada Kamarul Sharizam berkata, dia bertanggungjawab terhadap enam anak yatim itu dan sudah membuat perancangan jangka pendek untuk mereka.

“Muhammad Haikal Nashriq yang mengalami masalah autisme akan menetap bersama adik saya, Norul Arshada Kamarudin, 29, di Seremban memandangkan rumahnya berdekatan sekolah yang menawarkan kelas pendidikan khas.

“Muhammad Harraz Nashriq, 11, dan Muhammad Azrin Nashriq, 9, ditempatkan di Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Walidaina yang diuruskan adik saya, Mohamad Zatullah Kamarudin, 27.

“Qaseh Nurqisha Irdani, 4, dan Qaseh Irdanu Qaisara, 7, akan dijaga sepupu saya manakala Qaseh Al-Qausar, 2, kini dijaga seorang ustaz yang sedang melengkapkan proses untuk mengambilnya sebagai anak angkat.

“Apa yang paling penting adalah mereka semua berada di sekitar pengawasan saya dan adik-beradik lain. Mereka semua kini menjadi tanggungjawab kami,” katanya.

Hembus nafas terakhir selepas tiga jam pulang dari umrah

Sementara itu Mohamad Zatullah, 27, berkata, dia menjemput arwah yang baru pulang menunaikan umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 petang selasa

“Ketika itu abang sudah kelihatan tidak sihat lalu saya terus bawanya ke HTJS untuk rawatan.

“Sebaik tiba di hospital, saya pimpin abang dan meletakkannya di kerusi roda.

“Namun abang tiba-tiba rebah dan pegawai perubatan memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sebelum dia disahkan meninggal dunia,” katanya.

Mohd Zatullah yang juga pengasas Pusat Jagaan Anak Yatim Walidaina berkata, arwah abangnya menerima tajaan menunaikan umrah itu dan dia ke Tanah Suci bersama seorang rakan.

“Arwah gembira apabila dapat menunaikan umrah dan sepanjang arwah di sana, saya mengambil tanggungjawab menjaga enam anaknya.

“Saya tak sangka dia ‘pergi’ selepas tiga jam pulang ke tanah air,” katanya.

Menurutnya, jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Height, Senawang, 11 pagi semalam.

sumber: Hmetro

 

 

Published by
SAHR