Setelah enam kali keguguran, seorang ibu yang dikenali sebagai Demi Pertowski dari New Mexico barulah dikurniakan seorang anak perempuan yang comel, Zariah Hasheme, 2 tahun.
Tapi hayat anak perempuannya itu tidak lama apabila pengasuhnya, Tammie Brooks, 41 tahun terlupa untuk menghantar Zariah ke pusat jagaan, sebaliknya membiarkan mangsa dalam kereta ketika dia keluar bekerja sekitar jam 6.30 pagi waktu tempatan.
Menurut polis, Zariah Hasheme maut selepas Tammie meninggalkannya dalam kereta yang panas untuk sekurang-kurangnya tujuh jam pada 17 September lalu di Albuquerque, New Mexico.
Brooks dikatakan terlupa untuk menghantar Zariah ke pusat jagaan, sebaliknya Zariah dibiarkan dalam kereta apabila dia pergi bekerja pada jam 6.30 pagi (waktu tempatan).
Difahamkan juga, Brooks hanya menyedari perkara itu ketika mahu menjalankan satu urusan. Polis kemudian dihubungi dan Zariah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Akibat kecuaian yang dilakukan, Brooks dikenakan tuduhan pengabaian kanak-kanak hingga menyebabkan kematian namun dibenar ikat jamin AS$50,000 (RM208,726) ketika kes dikemukakan di mahkamah Isnin lalu dan perbicaraan awal dijadualkan pada 23 Oktober.
Ditanya berhubung ikat jamin terhadap Brooks, ibu mangsa, Demi Petrowski berkata, ia tindakan yang tidak adil.
“Setiap hari saya berdoa supaya dikurniakan anak, tapi dia telah membunuh anak saya,” kata Petrowski yang sangat bersedih dengan kematian anaknya itu.
Dalam satu kenyataan lain, Zachary Hasheme berkata,” Saya dengar Demi menjerit di talian mengatakan Zariah sudah tiada. Saya tak tahu apa nak buat, saya yang ketika itu sedang memandu terus memberhentikan kereta,” ujarnya mengimbas kembali saat dikhabarkan tentang kematian anak tunggalnya itu.
Di sebalik kehilangan yang amat memedihkan, Petrowski dan pasangannya, Zachary Hasheme kini menggunakan kematian Zariah untuk mengingatkan orang ramai tentang bahaya meninggalkan kanak-kanak dalam kenderaan.
“Sentiasalah melihat ke kerusi belakang kereta, dan jika anda melihat ada kanak-kanak di dalamnya, bantulah keluarkan mereka. Untuk pusat jagaan, jika ada anak-anak di bawah jagaan anda yang tidak hadir seperti kebiasaan, tolonglah hubungi ibu bapa mereka atau seseorang yang ada dalam senarai kecemasan,” ujarnya.
Sumber: Sinar Harian & Oxygen.com