Setelah enam tahun menanti kehadiran cahaya mata kedua, pelakon terkenal Indonesia Acha Septriasa berkongsi berita sedih apabila dia mengalami keguguran baru-baru ini.
Acha berkata, dia mengalami keguguran ketika usia kandungannya masih dalam tempoh trimester pertama dan menganggap perkara itu sebagai dugaan kedatangan 2023.
ARTIKEL BERKAITAN [“Dah Nampak ‘Baby Bump’, Bridgia Akan Jadi Kakak.” Acha Septriasa Hamil Anak Ke-2]
Pun begitu, dalam kesedihan itu, Acha berkata, dia perlu kuat dan bangkit demi keluarganya meskipun harapan menimang cahaya mata tidak kesampaian.
“Satu berita yang tidak dijangka dan tidak diingini, saya mengalami keguguran dalam fasa trimester pertama.
“Kami sangat sedih. Ini adalah saat untuk kami muhasabah diri. Kami akan kembali bangkit menjadi lebih kuat,” katanya.
Pelakon filem Heart ini berkongsi mengenai perkara itu menerusi hantaran di Instagram miliknya.
Dalam pada itu, Acha turut berkongsi kenangan selama tujuh tahun meraikan sambutan tahun baharu di pelbagai lokasi bersama suami, Vicky Kharisma.
Menyebut tentang azam tahun baharu, Acha berharap dia dapat menjadi isteri dan ibu terbaik buat suami dan anak perempuan mereka.
Kata Acha, melalui fasa hubungan jarak jauh sebelum ini membuatkan mereka lebih menghargai satu sama lain dan memberi keutamaan kepada keluarga.
Acha dan Vicky mendirikan rumah tangga pada 11 September 2016 dan mereka dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Bridgia Kalina Kharisma yang kini berusia 6 tahun.
Kredit: mStar
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama)