Fahami Perkembangan Fizikal Motor Kasar & Halus Anak 3 Tahun

Share

Perkembangan fizikal motor kasar dan halus anak 3 tahun amat pesat. Pada usia ini, si kecil mengalami peralihan daripada anak kecil kepada kanak-kanak yang semakin suka berdikari.

Daripada suka bermain sendirian, kini mereka lebih tertarik untuk berkawan dengan orang sekeliling. Berikut adalah perkembangan yang biasanya dicapai oleh si manja tiga tahun yang boleh dijadikan panduan kepada mama dan papa.

MOTOR KASAR

Seiring dengan pertumbuhan tubuhnya, anak berusia tiga tahun juga semakin menguasai pergerakan dan motor halus seperti di bawah;

  • Boleh mengayuh mainan beroda seperti basikal roda tiga (atau basikal dengan tara penyokong) dengan perlahan di atas permukaan lantai yang rata.
  • Boleh menyeimbangkan badan dengan baik. Hal ini meningkatkan keyakinan dirinya untuk berjalan pantas dan berlari.
  • Boleh mendaki cenuram atau batas kecil.
  • Boleh melompat daripada anak tangga kedua ke bawah dengan kedua-dua kaki.
  • Boleh berdiri dan berjalan dengan hujung kaki untuk beberapa saat tanpa memijak menggunakan tapak kaki.
  • Boleh menari apabila dipasang lagu rancak dengan cara meliukkan tubuh dan menggoyangkan kaki dan tangan.

  • Naik ke kerusi makan sendiri dan mampu mengubah kedudukan untuk mendapatkan posisi yang selesa.
  • Giat meneroka permainan di taman permainan.
  • Suka melompat di atas trampolin atau tilam spring.
  • Boleh naik dan turun tangga seperti orang dewasa dengan berpegang kepada rel.
  • Berupaya menyepak dan menangkap bola.
  • Cuba melakukan pergerakan fizikal yang melibatkan dua perkara dalam satu masa seperti membawa buku sambil menaiki tangga dengan memegang.
  • Boleh melompat walaupun tidak tinggi dengan sebelah kaki sebanyak dua atau tiga kali dengan memberikan tumpuan pada setiap lompatan.

MOTOR HALUS

Kemahiran motor halus si kecil termasuk kemahiran koordinasi tangan-matanya. Berikut ialah antara perkara yang boleh dilakukan oleh si manja tiga tahun yang

  • Memegang objek tanpa goyang dan mengalihkannya dengan cara menggenggam tanpa jatuh.
  • Berupaya membina menara kecil menggunakan kiub pembinaan (kira-kira lapan hingga sembilan kiub)
  • Menggunting kertas bersaiz besar.
  • Boleh menyalin dengan tepat atau melakar garisan yang membentuk huruf-huruf secara samar-samar.
  • Boleh memegang sudu dan garpu serta cawan sendiri.
  • Boleh mengadun menggunakan senduk, menggelek doh biskut dan menerap biskutmenggunakan acuan.
  • Mula menyukai aktiviti yang melibatkan objek lebih kecil seperti jigsaw puzzle, bermain manik dan sebagainya.
  • Tangannya berupaya menggunakan kayu pencanai untuk mencanai doh tanah liat.
  • Boleh membuka butang bersaiz besar.
  • Boleh memegang berus giginya ke arah mulut ketika memberus gigi (apabila anda menunjukkan cara yang betul kepadanya).

Sekiranya dia masih tidak menunjukkan perkembangan yang sepatutnya, mama dan papa boleh lah melakukan aktiviti rangsangan dan sensori yang bersesuaian menerusi alat permainan atau bermain di taman permainan. Rujuk kepada doktor sekiranya anda merasakan si kecil tidak menunjukkan kemajuan fizikal yang tidak selari dengan usianya.

 

 

Published by
Azma ML