
Kalau mak ayah perasan, masa bayi menangis kuat-kuat masa newborn dulu… tak ada setitik pun air mata keluar. Muka merah menyala, suara macam siren ambulans, tapi pipi kering. Kenapa ya?
Jangan risau. Ini bukan tanda baby tak normal. Sebenarnya, bayi memang lahir tanpa air mata yang mengalir keluar. Dan ia ada sebab saintifik yang sangat menarik!
Air Mata Bayi – Ada, Tapi Belum “Keluar” Lagi
Sebenarnya kelenjar air mata bayi (lacrimal glands) dah mula terbentuk sejak dalam rahim lagi. Tapi, sistem tu masih belum cukup matang untuk hasilkan air mata yang mencurah-curah.
Jadi… waktu dia lahir dan menangis, hanya suara & ekspresi je keluar dulu. Air mata? Tunggu turn dia.

Selalunya sekitar umur 2 ke 6 minggu, barulah ibu ayah boleh nampak baby menangis dengan air mata sebenar. Ada juga kes yang lambat sikit, tapi tak perlu panik kalau baby aktif, sihat dan respon normal.
Ramai menyangka air mata hanya berkait dengan emosi, namun sebenarnya air mata mempunyai peranan penting dalam kesihatan mata, antaranya:
Melembapkan permukaan mata supaya tidak kering
Menyingkirkan habuk atau bahan asing
Melindungi mata daripada jangkitan
Membantu penglihatan lebih selesa
Jadi apabila bayi mula mengeluarkan air mata, ia bukan semata-mata kerana sedih, tetapi sebagai satu proses biologi untuk menjaga kesihatan matanya.
Menangis tanpa air mata dalam tempoh awal kelahiran adalah perkara biasa dalam proses perkembangan bayi. Ia bukan petanda masalah, sebaliknya menunjukkan tubuh si kecil anda sedang belajar dan berkembang dengan baik.
Sebagai ibu bapa, memahami fakta ini dapat membantu anda bertenang dan tidak terlalu bimbang. Teruskan memerhati perkembangan anak, dan jangan ragu untuk mendapatkan pandangan doktor jika terdapat perkara luar biasa.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jangan Pandai-Pandai Bagi Madu Pada Bayi, Silap Haribulan Boleh Ancam Nyawa!

Madu memang memang berkhasiat dan mempunyai pelbagai kelebihan. Kita sentiasa mahukan makanan yang terbaik untuk bayi. Tapi tahukah anda madu tidak sepatutnya diberikan kepada bayi?
Madu tidak boleh diberikan kepada kanak-kanak di bawah umur 12 bulan. American Academy of Pediatrics (AAP) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menasihatkan bahawa madu tidak boleh ditambah kepada makanan, air atau formula yang diberikan kepada bayi yang berusia lebih muda daripada usia 12 bulan. Secara teknikalnya, ia termasuk madu mentah mahu pun yang terkandung di dalam makanan makanan yang dipanggang atau diproses menggunakan madu.

Ramai yang yang tidak tahu madu bahaya kepada bayi berumur di bawah 12 bulan walaupun madu telah diletakkan atau dicampur ke dalam makanan ketika dalam peringkat pemprosesan. Terdapat kebanyakan etnik dan budaya yang terus memberikan bayi madu seawal dari lahir dan terus memasukkannya awal ke dalam diet bayi tanpa menyedari tindakan ini boleh mengundang bahaya dan boleh mengancam nyawa si kecil.
KENAPA MADU BERBAHAYA KEPADA BAYI?
Madu berkemungkinan mengandungi spora Clostridium botulinum yang boleh menyebabkan keracunan yang dipanggil botulisme. Daripada 145 kes botulisme yang dilaporkan setiap tahun di Amerika Syarikat, kira-kira 94 kes (65%) adalah botulisme bayi.
Walau bagaimanapun pakar-pakar menganggarkan angka-angka ini daripada 250 kes setahun dengan banyak kes yang tidak dikenalpasti. Apa yang menyedihkan ialah 90% bayi yang didiagnosis dengan botulisme bayi di Amerika Syarikat adalah di bawah umur enam bulan!

Pencemaran spora Clostridium botulinum boleh terjadi apabila lebah terdedah kepada flora yang tumbuh pada tanah yang mengandungi spora / bakteria botulisme atau sarang lebah terdedah secara terus kepada spora ini.
Madu kebanyakannya dimakan dalam bentuk mentah dan biasanya tidak dipasteur atau disterilkan. Madu walau telah dipasteur boleh mengandungi spora botulism dan tidak boleh diberikan kepada bayi di bawah umur 12 bulan!
Jika bayi menelan spora Clostridium botulinum, ia akan berkembang di dalam usus mereka dan akan menghasilkan toksin. Tidak seperti orang dewasa dan kanak-kanak lebih tua, bayi boleh jatuh sakit akibat daripada toksin yang dihasilkan oleh bakteria ini.
TANDA-TANDA AMARAN BOTULISME BAYI

Botulisme akibat daripada kolonisasi oleh bakteria dalam sistem penghadaman bayi. Gejala biasanya muncul dalam masa 12-36 jam selepas bayi terdedah kepada makan makanan yang tercemar. Ia juga mungkin berlaku seawal beberapa jam dan sehingga 10 hari. Gejala botulisme pada bayi mungkin berlaku sehingga 14 hari kemudian!
Bayi dengan botulisme mungkin mempunyai gejala berikut:
- Keletihan
- Selera makan menurun atau kurang menyusu
- Sembelit
- Tangisan yang lemah
- Otot menjadi lembik (tanda mungkin atrofi otot)
- Kelemahan muka
- Susah untuk menelan atau refleks gag yang lemah
Gejala ini disebabkan oleh lumpuh otot yang disebabkan oleh toksin bakteria. Sekiranya bayi anda mempunyai tanda-tanda botulisme, terus bawa ke bahagian kecemasan dengan segera kerana ia boleh mengancam nyawa!
BAYI TERLALU KECIL UNTUK MELAWAN BOTULISME
Orang dewasa tidak terjejas dengan sejumlah kecil spora botulinium berbanding bayi. Pada orang dewasa, jumlah spora botulisme yang ditelan (jika ada) dari madu sangat kecil jumlahnya kerana kita mempunyai usus matang. Usus orang dewasa mengandung asid yang cukup untuk menangkal pengeluaran toksin yang menghasilkan bakteria botulisme.

Sebaik sahaja bayi mencapai umur satu tahun atau lebih, usus mereka akan mempunyai keseimbangan asid yang akan membantu memusnahkan dan melawan sebarang toksin yang menghasilkan bakteri botulisme.
BOLEHKAH BAYI SAYA MAKAN MAKANAN YANG DIBAKAR DENGAN MADU?

Spora botulisme hanya boleh dibunuh oleh haba yang tinggi yang boleh diperolehi dalam tekanan pembakar. Toksin (yang dihasilkan dalam keadaan anaerob) hanya boleh dimusnahkan dengan mendidih (WHO). Jadi secara teknikal, madu tidak selamat untuk bayi walaupun dalam bentuk yang dimasak seperti dalam makanan yang dipanggang seperti roti.
Spora botulisme TIDAK akan musnahkan semasa proses memanggang atau melalui mana-mana kaedah memasak rumah. Berbincanglah dengan pakar pediatrik dengan untuk mendapatkan kepastian dan maklumat lanjut.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Wajah Anak Kerap ‘Di Body Shaming’ Erni Zakri Ambil Langkah Kurang Kongsi Gambar Anak

Wajah anak kerap ‘di body shaming’ Erni Zakri ambil langkah kurang kongsi gambar anak. Penyanyi Ernie Zakri telah mengambil pendekatan untuk mengurangkan perkongsian mengenai anak perempuannya, Nur Khawla Soleha, di media sosial selepas wajah anak kerap jadi bahan hinaan.
Wajah Anak Kerap ‘Di Body Shaming’

Menurut Ernie, yang juga dikenali dengan nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, netizen tidak mempunyai hak untuk mengutuk anak kecil yang tidak berdosa.
“Sebagai seorang ibu, adalah normal untuk berasa sedih apabila ada segelintir netizen yang saya boleh katakan tidak berakal, tetapi saya bertanggungjawab atas semua itu kerana saya yang memilih untuk berkongsi tentang anak saya,” katanya.
Ernie menegaskan bahawa dia tidak mengharapkan pujian, tetapi juga tidak menerima dengan hati terbuka apabila ada orang mengutuk anaknya. Oleh itu, apabila dia menyedari bahawa perkongsian tersebut membawa kepada reaksi negatif, dia akan mula mengurangkan hantaran berkaitan anaknya.
“Ini adalah tanggungjawab saya dan suami. Saya tahu tidak semua orang suka melihat anak kami, tetapi apabila ada yang mengatakan anak saya tidak comel, saya berasa sedih,” luahnya dalam sebuah program hiburan.

Meskipun sedih berdepan tohmahan, Ernie dan suaminya, Syamel, enggan mengambil tindakan undang-undang selagi perkara berkenaan tidak mencalarkan reputasi mereka.
Erni Zakri Ambil Langkah Kurang Kongsi Gambar Anak
“Setakat ini, saya dan suami anggap apa yang kami lalui tidak terlalu teruk. Jika dilayan, semakin menjadi-jadi perangai netizen ini. Mereka mahukan perhatian. Jadi jika tidak diberi perhatian, pasti mereka akan berhenti. Tapi bagi yang tidak berhenti komen, mungkin banyak masa di rumah dan boleh dikatakan mereka gila,” katanya.
Ernie juga menyatakan bahawa dia berdepan dengan ramai netizen yang tidak berhenti-henti menghantar mesej peribadi (DM) kerana mahukan perhatian. Namun, selagi ia tidak menjatuhkan reputasi kerjaya dan mengganggu keluarga, dia tidak akan mengambil tindakan.

Selain Ernie, ramai artis seperti Nora Danish, Caprice, dan Sharifah Sakinah turut berdepan isu yang sama apabila wajah anak mereka dikutuk tidak comel bahkan disamakan dengan haiwan.
Untuk info, Ernie dan Syamel mendirikan rumah tangga pada 26 Mac 2021. Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Khawla Soleha, yang kini berusia tiga tahun.
Sumber: Instagram Erni Zakri dan kosmo.online
Baca artikel lain juga: Anak Ernie Zakri, Khawla Nyanyi Lagu ‘Masing-Masing’ Cuit Hati Warga Maya
Ernie Zakri Sentiasa Belajar Jadi Ibu Terbaik, Nur Khawla Permata Tidak Ternilai
Dia Pandai Bagi Helah Khawla Dah 1 Tahun Lebih, Anak Ernie Zakri Syamel Makin Cute!
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Musang Pandan Jadi Teman Anak: Cara Kreatif Bapa Kurangkan Ketagihan Gajet

Dalam dunia serba moden dan digital, semakin ramai ibu bapa buntu mencari jalan untuk mengurangkan ketagihan gajet dalam kalangan anak-anak kecil. Namun, bagi seorang bapa muda bernama Khairul Johari, beliau memilih pendekatan berbeza membela seekor musang pandan sebagai teman bermain anaknya.
Tindakannya yang dianggap ‘rare’ ini bukan sahaja menarik perhatian ramai, malah memberi inspirasi kepada ibu bapa lain untuk mendidik anak dengan cara yang lebih dekat dengan alam semula jadi.
Idea Bermula Dari Rasa Bimbang Anak Terlalu Cinta Gajet
Menurut Khairul, segalanya bermula apabila beliau menyedari anaknya terlalu bergantung pada skrin sejak kecil.
“Bangun tidur cari tablet, makan sambil tengok YouTube, malam nak tidur pun mesti dengar lagu Baby Shark. Masa tu saya sedar, kena buat sesuatu,” katanya.
Daripada terus memarahi atau merampas gajet, Khairul memilih pendekatan lembut — mengalihkan tumpuan anak kepada sesuatu yang hidup dan interaktif.
“Saya tengok anak saya minat sangat dengan haiwan. Kalau nampak kucing, ayam atau biawak pun dia berani pegang. Dari situ saya terfikir, kenapa tak bagi dia bela haiwan?” ujarnya.
Musang Pandan Jadi Kawan Sejiwa Anak
Daripada banyak jenis haiwan, Khairul akhirnya memilih musang pandan haiwan kecil berbulu lebat yang biasanya hidup di hutan tropika.
“Orang tengok musang ni macam seram, tapi sebenarnya comel. Perangai dia pun lebih kurang macam kucing, cuma yang ni eyeliner dia ‘on point’ macam baru lepas shoot iklan maskara,” selorohnya.
Katanya lagi, musang pandan bukan haiwan mahal. Ia boleh dibeli sekitar RM300, namun beliau menasihatkan agar jangan menangkap musang liar kerana haiwan itu boleh bertindak agresif.
“Kalau nak bela, ambil yang baru buka mata. Bila dia dah rasa kita macam ibu dia, dia akan lekat. Sampai kita masuk tandas pun dia ikut,” kongsinya bersahaja.

Haiwan Jinak, Tak Berbau & Mudah Dijaga
Khairul berkongsi, musang pandan bukan sahaja mudah dijaga tetapi juga tidak berbau busuk seperti yang disangka ramai.
“Dia main pagi, melasak petang, malam tidur macam baby. Makan buah lembut, ayam rebus pun boleh. Najis pun tak busuk. Bonus besar untuk mak-mak yang sensitif aroma,” katanya.
Lebih menarik, sejak kehadiran si musang yang diberi nama Panda, anaknya menjadi lebih aktif dan ceria.
“Sekarang anak saya banyak bermain, berlari dan ketawa. Tak ada dah merengek minta telefon. Kadang-kadang dia sendiri yang ajak Panda main kejar-kejar,” tambahnya.
Didikan Kasih Sayang, Bukan Sekadar Disiplin
Bagi Khairul, tujuan utama bukan sekadar menjauhkan anak daripada gajet, tetapi mengajar nilai kasih sayang dan tanggungjawab terhadap makhluk hidup.
“Saya nak anak belajar tentang empati. Bila dia jaga haiwan, dia belajar rasa belas, belajar sabar, dan tahu pentingnya dunia sebenar di luar skrin.”
Pesannya kepada ibu bapa lain juga cukup mendalam:
“Kalau nak anak kurang screen time dan lebih banyak real life time, bagi dia kawan hidup, bukan kawan yang ada bateri.”
Netizen Kagum Dengan Idea Unik Ini
Hantaran Khairul di Facebook menjadi tular dan menerima pelbagai reaksi positif daripada warganet. Ramai menganggap pendekatan itu kreatif dan bijak untuk mendidik anak zaman moden.

Pandangan Pakar Tentang Musang Pandan & Didikan Anak
Menurut Pakar Psikologi Kanak-Kanak, Dr. Nadiah Azlisham, membela haiwan peliharaan seperti musang pandan mampu membantu kanak-kanak mengawal emosi dan membina empati.
“Interaksi dengan haiwan bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga melatih anak memahami tanggungjawab, disiplin dan kasih sayang. Ia cara terbaik untuk mengimbangi kehidupan digital yang terlalu pantas.”
🌸 Tip Pa&Ma: Kurangkan Gajet, Tambah Aktiviti Nyata
- 🧸 Galakkan anak bermain luar rumah dan berinteraksi dengan alam.
- 🐕 Jika tiada haiwan peliharaan, boleh cuba berkebun kecil atau bela ikan.
- 📚 Tetapkan waktu bebas gajet setiap hari supaya anak belajar had masa.
- 💬 Luangkan masa berbual dan bergurau — anak lebih hargai perhatian ibu bapa berbanding skrin.
Pendekatan Khairul membuktikan bahawa kasih sayang, kreativiti dan kesedaran ibu bapa boleh mengubah tabiat anak dengan cara lembut dan semula jadi. Kadang-kadang, solusi terbaik bukan terletak pada teknologi, tetapi pada hubungan yang hidup antara manusia dan alam. Inilah keunikan membela musang pandan sebagai teman tumbesaran anak.
BACA LAGI : Anak Tantrum Dan Agresif Sebab Ketagihan Gajet, Ibu Ayah Tolong Hentikan Terus Main Gajet
Sumber : Facebook Khairul Johari
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


