Anak tengah meragam, jerit, hempas badan kat lantai, baling mainan ke dinding — kalau pertama kali jadi mak ayah, memang boleh naik darah. Tapi inilah realiti fasa Terrible Twos, atau fasa “mengamuk tanpa sebab” yang sering menghantui ibu bapa muda.

Ramai tak tahu, fasa ni sebenarnya bukan bermula tepat bila anak masuk umur dua tahun pun. Kadang-kadang dah mula seawal 18 bulan dan boleh berlarutan sampai umur tiga atau empat tahun. Ia adalah fasa semula jadi dalam perkembangan emosi dan mental anak kecil  waktu di mana anak baru belajar erti aku dan hak aku.

Masa ni, anak sedang cuba faham dunia. Mereka baru tahu mereka boleh minta, boleh tolak, boleh pilih. Tapi bila kehendak tak ditunaikan, mereka belum ada kemahiran untuk kawal emosi. Maka keluarlah segala ekspresi  menangis, menjerit, menendang, memukul, menggigit, atau baling barang sesuka hati. Dan di sinilah dilema bermula.

Makin mak ayah berkeras, makin anak melawan. Tapi kalau dibiarkan, takut pula “naik kepala”. Pening, kan?

Apa Sebenarnya Fasa Terrible Twos?

Menurut Coach Parenting, Mohd Fhais Salim, fasa Terrible Twos sangat normal bagi anak berumur antara satu hingga tiga tahun. Tapi kalau berlarutan sampai umur empat atau lima tahun, itu tanda yang perlu diperhatikan  mungkin ada isu lain dari segi perkembangan emosi atau komunikasi.

Fasa Terrible Twos: Dilema Mak Ayah Antara Nak Berkeras atau Menyerah

Nak berkeras ke nak menyerah?

“Ketika umur 1-3 tahun, perkembangan IQ dan fizikal anak sedang melonjak naik. Mereka baru belajar berjalan, bercakap, meminta sesuatu, mengenali emosi dan memahami hak diri. Tapi antara semua ni, emosi la yang paling lemah. Sebab tu mereka tahu rasa marah, sedih atau frust — tapi belum pandai kawal,” jelasnya.

Disebabkan itu, bila emosi mereka bergelora, anak hanya ada satu respon  tantrum. Dan bila mak ayah marah, tengking atau pukul ketika tantrum sedang berlaku, otak anak (terutamanya bahagian reptilian brain yang kawal survival instinct) akan jadi makin aktif dan agresif.

“Hari ni mungkin kita boleh diamkan anak dengan marah, tapi percayalah, next tantrum akan jadi lebih ganas dari sebelumnya,” katanya lagi.

Formula 3R Hadapi Fasa Terrible Twos

Fasa Terrible Twos: Dilema Mak Ayah Antara Nak Berkeras atau Menyerah

Ads

Coach Fhais memperkenalkan formula 3R — pendekatan lebih tenang dan berkesan untuk bantu anak (dan mak ayah sendiri) lalui fasa ni dengan waras dan penuh kasih sayang.

1. Regulate (Tenangkan diri)

Langkah pertama: tenangkan dulu emosi anak, dan dalam masa sama, tenangkan diri kita juga. Ini bukan masa untuk bagi ceramah atau ugut. Biarkan anak luahkan dulu perasaan dia. Bila kita tak tambah minyak ke api, barulah emosi anak akan perlahan-lahan reda.

Kadang, cukup sekadar duduk dekat dan tunjuk kita ada dengan dia. Anak kecil belum faham semua perkataan, tapi mereka faham energy dan presence mak ayah.

2. Relate (Bina connection)

Bila anak dah mula tenang sedikit, barulah bina hubungan emosi. Gunakan ayat yang lembut dan empati seperti:

  • “Ibu tahu adik tengah sedih…”
  • “Kakak marah sebab tak dapat mainan tu, ya?”

Ayat macam ni nampak simple, tapi besar kesannya. Ia buat anak rasa difahami dan disayangi. Bila mereka rasa selamat dan connected, barulah otak mereka terbuka untuk mendengar dan belajar sesuatu.

Ads

3. Reason (Terangkan dengan tenang)

Langkah terakhir — baru terangkan kenapa sesuatu tu tak boleh. Contohnya:

“Mainan ni bukan untuk dibaling, nanti pecah. Kalau marah, boleh cakap dengan ibu, ya?”

Sambil tu, ajar alternatif lain. Contohnya, “Kalau marah, tarik nafas macam ni,” atau “Kalau nak benda tu, cuba minta elok-elok.” Tujuan bukan sekadar nak hentikan tantrum, tapi bantu anak belajar kawal diri (self-regulation) dan urus emosi (self-control).

Berkeras atau Menyerah?

Fasa Terrible Twos: Dilema Mak Ayah Antara Nak Berkeras atau Menyerah

Coach Fhais menegaskan mak ayah kena belajar seimbang. Terlalu berkeras boleh rosakkan emosi anak, tapi terlalu lembut pula boleh buat anak manipulatif.

Ads

“Kita kena tegas bila perlu, tapi lembut bila sesuai. Jangan ikut emosi masa anak tantrum. Kalau kita pun naik angin, habislah,” pesan beliau.

Kuncinya adalah sabar dan konsisten. Anak kecil bukan cuba melawan, mereka cuma sedang belajar memahami dunia — dan diri mereka sendiri. Bila kita tenang, anak akan belajar tenang juga. Bila kita sabar, mereka akan rasa selamat untuk belajar cara kawal diri.

Terrible Twos: Petanda Anak Sedang Belajar Tentang Dunia

Fasa Terrible Twos: Dilema Mak Ayah Antara Nak Berkeras atau Menyerah

Hakikatnya, fasa Terrible Twos memang mencabar. Tapi ia bukan tanda anak “nakal” atau “degil”. Ia tanda otak mereka sedang berkembang pesat, dan mereka sedang belajar tentang independence, boundaries, dan emotional expression.

Kalau mak ayah berjaya lalui tempoh ni dengan tenang dan empati, bukan saja anak belajar kawal emosi  tapi hubungan kasih sayang dalam keluarga juga akan jadi lebih kuat.

Sebab setiap kali kita pilih untuk faham daripada menghukum, kita sedang tanam satu nilai besar dalam diri anak: rasa disayangi walau dalam marah sekalipun.

Dan itu, menurut Coach Fhais, adalah asas kepada anak yang tenang, yakin dan berjiwa besar.

Sumber: Mohd Fhais Salim

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads