Setiap pasangan yang berkahwin mengharapkan perkahwinan itu biarlah sampai ke akhir hayat namun tak semua harapan itu menjadi nyata. Ada yang tetap bertahan tetapi akhirnya tak dapat juga diselamatkan.
Harapkan kebahagiaan namun jadi mangsa suami
Menurut Aktivis Masyarakat, Puan Natipah Abu yang sebelum ini banyak menolong arwah Puan Siti Khadijah dan anak-anak ketika menyelamatkan dirinya, Siti dan X berkahwin atas dasar cinta sejak 8 tahun lalu namun saat indah hidup berumahtangga hanya sempat dikecapi selama dua tahun sahaja sebelum akhirnya suami mula berubah sikap menjadi panas baran dan kaki pukul.
Keadaan bertambah buruk bila X terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Tubuh badan Siti selalu menjadi habuan sepak terajangnya atas alasan yang kecil. Di ranjang, dia juga diperlakukan sesuka hati termasuk dipukul.
Setiap kali itu terjadi, anak-anak hanya mampu menangis kerana ketakutan. Bahkan .. X membeli sebatang rotan semata-mata digunakan untuk membelasah anak dan isteri.
Bukan hanya tubuh Puan Siti sahaja yang berbirat, anak-anak yang baru berusia 7, 4 dan 3 tahun pun turut mengalami nasib yang sama. Hanya si bongsu saja yang tidak pernah disentuhnya. Kalau orang lain, mungkin hanya memukul isteri tetapi anak-anak tidak disentuh sama sekali tetapi bagi kes Siti, anak-anak juga turut bermandikan air mata meratapi kesakitan yang meratah tubuh.
Bertahan demi anak
Berkongsi pengalaman .. anak sulung Puan Siti mengakui tidak dapat melupakan, bagaimana dia dan ibunya teruk dibelasah hanya atas kesalahan menggunting rambutnya. Ibu yang cuba membelanya pun, turut ditendang hingga terperosok ke dinding.
Mencungkil isi hati anak kecil itu, ternyata tiada lagi tempat buat lelaki yang bernama ayah di dalam kamus hatinya. Istilah rindu terhadap ayah yang sudah enam bulan hilang dari pandangan itu juga tidak pernah wujud sama sekali.
Aneh, bagaimana dan mengapa Puan Siti masih terus bertahan sedangkan dia sudah bertahun didera suami …
“Saya tak kerja, anak saya semuanya kecil lagi. Kalau saya bercerai, anak saya nak makan apa. Mak saya pun orang susah..ayah saya pun dah tak ada …. “
Bersalin seorang diri dalam bilik air
Kemuncaknya … dua tahun yang lalu … ketika sarat hamil anak bongsu, dia dipukul dan ditendang di tengah belakang hanya kerana meninggalkan anak-anak di rumah ibunya untuk klinik ibu mengandung.
Selepas insiden itu, suami keluar bekerja dan bermalam di tempat kerja. Tinggallah dia menangis menanggung kesakitan. Sakit dipukul, sakit lagi hati yang menanggung segala derita.
Menjelang subuh dia yang di dalam keadaan tertekan itu akhirnya sakit dan melahirkan anak keempat sendirian di bilik air setelah X tidak menjawab panggilan telefonnya.
40 minit dia bergelut bertarung nyawa sebelum ahli keluarga terdekat tiba dan memberikan bantuan. Dia mengesot keluar dari bilik air dalam keadaan berlumuran darah sambil mengendong bayinya. Mujurlah urinya berjaya dikeluarkan.
X dibuang kerja hanya beberapa bulan setelah dia bersalin kerana masalah dadah. Sejak itu, keadaan X kian celaru. Selain terpaksa menadah tubuh sebagai habuan dipukul, mereka anak beranak kadang-kadang terpaksa mengikat perut.
Namun Siti tetap ingin mempertahankan rumahtangganya sehinggalah enam bulan yang lalu, dia tidak dapat menyembunyikan lagi keadaannya dari kaum keluarga .. setelah berbirat seluruh tubuh dan lebam seluruh wajah dibelasah suami.
“Makkk … bagitaulah polis suruh tangkap ayah. Nanti kita semua mati ayah pukul … “.
Kata-kata anak sulung yang baru 6 tahun ketika itu membuat dia tersentak lalu akhirnya nekad tampil ke balai polis membuat laporan. Susulan itu X ditahan. Khabarnya … setelah bebas dari tahanan, X pulang ke kampung halamannya.
Sejak itu terputuslah hubungannya dengan X. Tiada sebarang nafkah dititipkan buat anak-anak bahkan tiada lagi khabar berita dari X. Siti pulang ke kampung dan tinggal bersama ibu.
SITI KHODIJAH BINTI ABD MANAF – ( 32 TAHUN )
اِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعون
Setelah koma sejak hari pertama dikejarkan ke wad kecemasan 26 hari yang lalu, maka jam 2.50 pagi tadi (Raya Ke-2), Puan Siti Khodijah pun pergi buat selama-lamanya. Pemeriksaan doktor mendapati banyak masalah kesihatan tiba-tiba dikesan pada arwah.
Buat pengetahuan.. anak-anak arwah semuanya sedang demam. Mungkin kerana telalu rindukan si ibu. Bahkan si kakak sulung yang berusia 7 tahun telah dibawa untuk mendapatkan rawatan di bahagian kecemasan Hospital Sg Petani, jam 9. 30 malam semalam kerana demam terlalu panas.
Walaupun berada di bawah satu bumbung dengan tempat ibu sedang bertarung nyawa dia tetap tidak berupaya melepaskan rindu kepada si ibu. Menatap wajah ibu walau seketika. Biarlah wajah ibu ketika sihat saja kekal dalam ingatan anak-anak.
Berikut diselitkan kembali sorotan kisah arwah pada 5 Februari lalu yang mana telah mengisi slot Sedekah Jumaat kita bagi tujuan modal membuka kedai di kampung. Dengan modal yang kita sumbangkan, kedai itu telah beroperasi dan mendapat sambutan yang menggalakkan.
Ramadhan lalu kedai ditutup, arwah mengambil upah membuat kuih untik tahfiz berhampiran sebelum tiba-tiba koma pada 19 April lalu. Sesungguhnya .. tiadalah bagi kita daya..Al Fatihah.
Kredit: Puan Natipah Abu