Baru nak merasai kehidupan di dunia, apalah nasib Dia lebih menyanyangimu si kecil manja. Itulah yang dihadapi oleh seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui di dalam lubang tandas di Terminal Sentral Kuantan (TSK) kira-kira jam 9.00 pagi Isnin.
Menurut pemandu teksi yang berpangkapan di TSK, wan Subhi Wan Jusoh, 54, pekerja wanita itu menjerit menyatakan terdapat tandas yang bertakung dengan air bercampur darah dan apabila dipam, air tersebut melimpah keluar dari mangkuk tandas.
Pada mulanya mereka sangka ada yang membuang tuala wanita sehingga berlakunya tandas tersumbat, tapi setelah diperiksa, ia kelihatan seperti ada uri terapung di dalam tandas menyebabkan mereka membuat keputusan menggunakan dawai untuk mengambil uri tersebut.
Namun setelah uri selesai dikeluarkan, tandas itu tetap tersumbat menyebabkan mereka menyesyaki ada bayi tersangkut kerana melihat terdapat tali pusat di situ dan terus menghubungi polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata pihaknya sudah meneliti rakaman kamera tertutup (CCTV) di terminal itu dan mendapati terdapat seorang wanita berbaju hitam masuk ke tandas pada 5.58 pagi bersama beg dan keluar kira-kira setengah jam kemudian dengan memakai baju kurung.
Tambahnya, walaupun dipercayai tidak cukup bulan, bayi lelaki itu sudah cukup sifat dan tandas itu sebenarnya ditutup kepada orang awam sejak Khamis lalu (19 Sept) bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf.
Bagaimanapun, pihak polis kini sedang mengesan wanita itu yang dipercayai suspek utama kes ini dan berharap orang ramai termasuk pemandu teksi yang ada mengambil penumpang wanita mencurigakan pada awal pagi untuk tampil membantu siasatan.
Mayat bayi itu kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan membuang bayi dan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
SUMBER: Sinar Harian