Sememangnya Fouziah Gous merupakan individu yang sangat menjaga kesihatan diri sejak daripada zaman bujang. Setelah berumah tangga dengan Md Zhafran dan memiliki Muhammad Zeeshan dan Zaheen Yusuf, ibu muda ini meneruskan amalan itu demi kesejahteraan keluarga.
Saya menjaga pemakanan keluarga. Kami jarang makan makanan berminyak. Hanya gunakan minyak zaitun. Ada waktunya kami makan di luar tetapi banyak yang saya ‘tapis’. Apa yang berminyak, kami tak makan.
Saya jenis kuat makan. Semua saya makan tetapi saya kurangkan minyak, garam, manis dan ais. Bagi saya ringkas sahaja. Ambillah sesuatu yang menyenangkan tekak dan tidak meloyakan.
Semasa pantang 44 hari, saya buat betul-betul dan kadang-kadang terlebih daripada yang sepatutnya. Sampai ke umur Zaheen 10 bulan, saya tak makan laksa dan pulut. Pantang air batu pun lebih 100 hari.
Untuk anak saya Zaheen, saya beri dia makanan organik. Zeeshan pun begitu, masa dia bayi. Lepas umurnya dua tahun, baru ajar dia makan campur sedikit demi sedikit. Kerepek yang merepek, saya tak bagi makan.
Sejak bujang, saya memang suka ke gim. Dah biasa. Saya individu yang menjaga kecergasan sejak zaman sekolah. Saya main hoki untuk Kuala Lumpur dan terlibat juga dengan sukan larian dan olahraga.
Selepas bersalin saya mula melibatkan diri dengan sukan muay Thai. Jiran yang ajak dan kami sama-sama buat. Sekarang, saya dah jatuh cinta dengan muay Thai.