Penyakit Hirschsprung adalah keadaan yang jarang berlaku yang menyebabkan najis menjadi terperangkap dalam perut dan sukar membuang air besar. Ia kebiasaannya berlaku kepada bayi dan kanak-kanak.
Biasanya, proses pembuangan air besar sepanjang usus dikawal oleh sistem saraf anda. Dalam penyakit Hirschsprung, saraf yang mengawal pergerakan ini tidak ada pada bahagian akhir usus, yang bermaksud najis mungkin terkumpul dan menyebabkan penyumbatan.
Ini boleh menyebabkan sembelit yang teruk, dan kadangkala membawa kepada jangkitan usus yang serius yang disebut enterocolitis jika tidak dikenal pasti dan dirawat lebih awal.
Walau bagaimanapun, keadaan ini biasanya dikesan tidak lama selepas kelahiran dan dirawat dengan pembedahan secepat mungkin.
Simptom penyakit Hirschsprung
Simptom-simptom penyakit Hirschsprung biasanya jelas kelihatan selepas bayi dilahirkan, walaupun kadang-kadang tidak jelas sehingga seorang anak berusia setahun atau dua tahun.
Tanda-tanda keadaan ini dalam bayi termasuklah:
gagal membuang meconium dalam tempoh 48 jam (najis yang gelap seperti tar yang dikeluarkan bayi sihat yang menyusu tidak lama selepas dilahirkan
perut bengkak
muntah cecair berwarna hijau (cecair hempedu)
Tanda-tanda pada bayi dan kanak-kanak yang lebih besar termasuklah:
perut bengkak dan sakit perut
sembelit berterusan yang tidak sembuh dengan rawatan biasa
tidak makan atau tidak bertambah berat badan dengan baik
Sekiranya anak anda mengalami jangkitan usus (enterocolitis), mereka juga mungkin mengalami suhu tinggi (demam) dan cirit-birit berair dan berbau busuk.
Bagaimana penyakit Hirschsprung didiagnosis
Jika anak anda mempunyai simptom dan tanda yang perlu dirisaukan, perut anak anda biasanya akan diperiksa dan kadangkala melibatkan pemeriksaan dubur. Doktor atau jururawat akan memasukkan jari ke bahagian dubur (rektum) untuk merasa sebarang keabnormalan.
Ads
Jika penyakit Hirschsprung disyaki, X-ray mungkin dilakukan untuk menunjukkan penyumbatan dan pengembangan pada usus.
Diagnosis boleh disahkan dengan melakukan biopsi rektum, yang melibatkan kemasukan alat kecil ke bahagian dubur anak anda untuk mengeluarkan sedikit sampel usus yang terjejas.
Ini kemudiannya diperiksa di bawah mikroskop untuk melihat jika bahagian ini tiada sel saraf.
Apakah punca penyakit Hirschsprung?
Otot-otot usus dikawal oleh sel-sel saraf yang dipanggil sel ganglion. Dalam penyakit Hirschsprung, sel-sel ganglion ini hilang daripada bahagian akhir usus hingga ke anus atau pembukaan di bahagian dubur yang mengeluarkan najis.
Atas sebab tertentu, sel-sel tersebut tidak berkembang di bahagian usus apabila bayi membesar dalam rahim. Punca sebenar tidak diketahui tetapi tidak ada kaitan dengan apa yang dilakukan oleh si ibu ketika mengandung.
Sejumlah gen dikaitkan dengan penyakit Hirschsprung dan kadangkala diwarisi dalam keluarga. Sekiranya anda mempunyai anak dengan penyakit ini, anak yang lain mungkin mengalaminya juga.
Keadaan ini juga mungkin berlaku dala, keadaan genetik seperti sindrom Down, tetapi dalam kebanyakan kes tidak.
Ads
Rawatan untuk penyakit Hirschsprung
Semua kanak-kanak dengan penyakit Hirschsprung akan memerlukan pembedahan.
Semasa mereka menunggu pembedahan, mereka mungkin perlu:
berhenti menyusu dan sebaliknya diberi cecair terus ke dalam saluran darah
memakai tiub yang dimasukkan melalui hidung ke dalam perut untuk mengeluarkan sebarang cecair dan udara yang terkumpul di dalamnya
menjalani pembilasan usus berkala, di mana tiub nipis dimasukkan ke dalam punggung dan air garam yang hangat digunakan untuk melembutkan dan menyingkirkan najis terperangkap
mengambil antibiotik jika mereka mempunyai enterocolitis
Anak anda mungkin perlu menetap di hospital pada masa ini, atau anda mungkin perlu menjaga mereka di rumah. Doktor anda akan menasihati anda mengenainya.
Pembedahan
Kebanyakan kanak-kanak akan menjalani operasi “pull-through”, di mana bahagian usus yang terjejas akan dibuang dan bahagian usus yang sihat disatukan. Ini biasanya akan dilakukan apabila mereka berumur tiga bulan.
Jika anak anda tidak cukup sihat untuk menjalani prosedur ini – seperti disebabkan enterocolitis atau penyumbatan teruk – mereka mungkin menjalaninya dalam dua peringkat.
Beberapa hari selepas kelahiran, pakar bedah akan mengalihkan usus melalui pembukaan sementara (stoma) yang dibuat di perut. Prosedur ini dipanggil pembentukan kolostomi.
Ads
Najis akan keluar terus daripada pembukaan tersebut ke dalam kantung yang dipakai pada badan anak anda sehingga mereka cukup sihat untuk menjalani prosedur lain untuk mengeluarkan bahagian usus yang terjejas, menutup pembukaan stoma, dan menyatukan kembali dengan bahagian usus yang sihat. Ini biasanya dilakukan pada usia tiga bulan.
Prosedur ini boleh dilakukan dengan menggunakan sama ada:
pembedahan laparoskopi – ini melibatkan memasukkan alat pembedahan melalui pembukaan kecil
pembedahan terbuka – di mana potongan lebih besar dibuat pada perut anak anda
Bincang dengan pakar bedah anda tentang pilihan terbaik untuk anak anda.
Risiko pembedahan
Tiada pembedahan yang bebas daripada risiko. Terdapat risiko kecil:
pendarahan semasa atau selepas pembedahan
usus menjadi dijangkiti (enterocolitis)
kandungan usus yang bocor ke dalam badan, yang boleh menyebabkan jangkitan serius (peritonitis) jika tidak dirawat dengan cepat
usus menjadi sempit atau tersumbat sekali lagi, memerlukan pembedahan lanjut
Pemulihan dari pembedahan
Anak anda mungkin perlu tinggal di hospital selama beberapa hari selepas pembedahan. Mereka akan diberikan ubat-ubatan yang melegakan kesakitan untuk menjadikannya selesa dan cecair ke dalam saluran darah sehingga mereka dapat makan sendiri.
Tiada makanan khas yang diperlukan sebaik sahaja anda pulang ke rumah, tetapi penting untuk memastikan mereka minum banyak cecair sewaktu tempoh pemulihan.
Anak anda akan pulih dengan baik dan usus mereka akan berfungsi sebaik selepas pembedahan.
Pada mulanya mereka mungkin akan mempunyai rasa sakit di punggung ketika membuang air besar. Sebaiknya biarkan punggung mereka terdedah sekerap mungkin, dan gunakan minyak bayi untuk membersihkan bahagian punggung mereka serta nappy cream selepas setiap kali menukar lampin.
Hubungi doktor anda dengan segera jika anak anda mengalami masalah seperti perut bengkak, demam, atau cirit-birit yang busuk.
Bila anak sakit seperti selesema dan batuk, ibu bapa jadi tidak tenang. Tak tahan si kecil batuk dan merengek kesakitan.
Batuk dan selesema berlarutan sering terjadi. Si kecil tidak terkecuali. Mama papa yang mempunyai anak-anak berusia bawah lima tahun khususnya perlu lebih peka pada kesihatan si manja mereka. Ketika usia ini, kanak-kanak mudah mengalami kesihatan yang berkaitan dengan sistem pernafasan ialah batuk dan selesema.
BATUK SELESEMA SERING TERJADI PADA LIMA TAHUN PERTAMA
Demam selesema adalah antara punca utama batuk berlaku di kalangan kanak-kanak. Sebab-sebab lain yang bleh menjadi faktor penyebab ialah;
jangkitan pada bahagian pernafasan atas atau kerongkong
alahan
asma
batuk kokol
jangkitan sinus
batuk kering.
Namun, batuk yang tidak kronik akan sembuh. Sesungguhnya batuk adalah satu refleksi sihat yang membantu mengeluarkan lendir daripada saluran pernafasan.
Ia dapat menghindarkan jangkitan kuman kepada tekak dan paru-paru. Pada masa yang sama, batuk juga merupakan refleksi pertahanan tubuh manusia apabila berlaku ketidakseimbangan sistem badan.
CIRI-CIRI BATUK YANG SERIUS
Dalam beberapa situasi ini, ibu bapa perlu segera membawa anak menerima rawatan iaitu jika mempunyai anak berusia satu tahun ke bawah, demam, batuk dan selesema.
Batuk,selesema disertai demam melebihi 38° Celsius bagi berumur 6 bulan ke bawah dan melebihi 39° Celsius bagi bayi berumur bawah setahun.
Selesema dan batuk dengan kahak berwarna hijau atau kuning.
Batuk dan selesema yang tidak sembuh selepas lima hari
Batuk dan selesema sehingga menyebabkan anak tidak aktif dan mengalami kesukaran bernafas.
Selalunya, si kecil akan dibekalkan dengan antibiotik sekiranya didapati mendapat jangkitan kuman bakteria.
BAWA BAYI MENDAPATKAN RAWATAN
Untuk mengelak batuk menjadi kronik, ibu bapa perlu segera membawa anak mendapatkan rawatan. Ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor adalah untuk melambatkan bakteria, manakala nebulizer adalah untuk membuka saluran pernafasan bayi yang sempit manakala fisioterapi untuk membantu mengeluarkan kahak.
Kombinasi tiga elemen iaitu ubat, nebulizer dan fisioterapi merupakan kaedah yang lazim dilakukan di hospital ke atas bayi yang menghadapi masalah pernafasan.
FISIOTERAPI LONGGARKAN KAHAK
Selain ubat dan nebulizer, kaedah fisioterapi dikatakan mampu mengatasi batuk di kalangan kanak-kanak malah juga orang dewasa!
Apabila bayi diserahkan kepada ahli fisioterapi mereka akan dibedung dan teknik tepukan untuk melonggarkan kahak akan dibuat. Bagi mengelak anak ini meronta-ronta. Namun, jika ia dilakukan di rumah, anda boleh lakukannya tanpa perlu dibedungnya.
Selain menggunakan tangan untuk melakukan tepukan percussion, terdapat alat bantuan untuk melakukan tepukan. Alat bantuan ini untuk menjadikan tepukan percussion menjadi lebih berkesan. Alat bantuan yang digunakan dinamakan sebagai percussion cup.
Bagi bayi bawah 1 tahun, tepukan mesti menggunakan tapak tangan dibentuk seperti cup seperti yang ditunjukkan oleh doktor di dalam video ini.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sudahlah masa berpantang, ibu sentiasa rasa panas dan dahaga, dilarang pula minum banyak air apatah lagi air berais. Aduh, menderita sungguh dalam cuaca panas nak elak daripada minum ais selama tempoh 44 hari.
“Tapi aku tengok orang putih tu selamba je minum ais lepas dia bersalin. Elok je perut dia tak buncit, badan pun slim balik,” kata Jenna dalam hati bila ibunya bertegas memberitahu tak boleh minum banyak air tengah berpantang.
Mungkin anda pun pernah mengalami situasi tersebut kan? Oleh kerana tiada fakta atau pengetahuan tentang ais maka dituruti segala pantang larang tradisional yang diberitahu oleh ibu dan nenek moyang kita dulu. Semuanya gara-gara takut saiz badan jadi besar macam belon, urat mengembang dan bermacam kesakitan lagi digambarkan akan berlaku sekiranya melanggar pantang minum ais waktu berpantang.
Terpaksa telan air liur selama 44 hari melihat orang lain meneguk air sirap yang sejuk sambil dalam hati tak sabar nak minum air ais setiap hari lepas sahaja habis tempoh berpantang.Sebenarnya tak perlu nak seksa diri selama 44 hari sahaja tetapi lepas itu anda minum ais tak ingat dunia. Menurut Dr Rusyainie Ramli, ais tak pernah bersalah dalam hal urat kembang atau badan mengembang kerana tak pantang ais selepas bersalin.
Sebaiknya baca terus penjelasan Dr Rusyainie mengenai fakta ais dan selepas ini anda boleh minum ais tanpa rasa bersalah semasa berpantang tapi biarlah berpada-pada dan bersederhana.
Teh o ais ni memang minuman kegemaran saya. Ais tak salah. Yang salahnya ialah kandungan gula dalam air saya minum ni. Saya belum boleh minum teh o tanpa gula.
Teh ada kafein. Macam kopi. Kafein kalau dalam dos sederhana boleh bagi mood lebih baik, buat minda lebih cerdas dan tingkat metabolisma badan.
Teh adalah satu-satunya tumbuhan yang ada asid amino L-theanine. Yang dikatakan merangsang rasa tenang dan rilek. Staf saya kalau nampak saya dah muka merah geram semacam nak naik angin, cepat-cepat pergi belikan saya teh o ais nak sejukkan hati saya yang dah nak melenting.
1. Ais takkan buatkan rahim saya kembang. Dah 10 tahun rahim saya tak kembang. Hahaha. Rahim kembang sebab saya mengandung. Tak mengandung? Elok je rahim saya dok tempat dia diam-diam.
2. Ais takkan buatkan becak kat kemaluan sebab saya minum air sejuk ikut mulut. Tak tahulah kalau ada orang minum air kot saluran lain.
3. Ais takkan buatkan abdomen saya buncit. Sebab air sejuk ni masuk je dekat saluran makan, terus akan ikut suhu badan. Air akan diserap ke dalam darah sistem badan melalui usus. Yang buncit kat abdomen tu ialah lapisan lemak yang tersimpan. Nak hilangkan tu kena jaga makan dan senam.
4. Ais takkan buatkan saya rasa letih atau penat. Letih la jadi bos kat ofis. Penat uruskan keluarga. Tidur pun kadang tak cukup. Bukan sebab ais.
5. Ais takkan buatkan haid berketul-ketul. Tu mitos. Haid tu dinding rahim yang luruh. Maka ada nya tisu dan darah yang keluar ikut faraj. Dalam darah ada bahan untuk bekukan darah. Sebab tulah darah berketul. Cuba potong jari tu, keluar darah atas lantai. Mesti darah tu berketul punya kalau sistem pembekuan darah takde masalah. Kalau takde sistem tu, kita akan berdarah sampai kering. Nak?
6. Ais takkan buatkan senggugut. Merapu lagi. Senggugut tu benda biasa terjadi dengan haid. Kalau teruk sangat atau berpanjangan, jumpa doktor. Saya dah tulis pasal kitaran haid sebelum ni. Carilah ya.
7. Ais takkan buatkan vagina tu longgar. Tu auta terbesar bani jamu dan bani klimaks. Mereka tu sentiasa nak takutkan kita dengan ilmu sains songsang sebab hujungnya nak suruh kita beli produk mereka yang biasanya tak daftar pun dengan KKM. Nak ketat? Buat senaman Kegel. Malas? Saya angkat bendera putih dengan orang malas.
8. Ais takkan buatkan kita cepat tua. Cepat tua la kalau makan tak ingat dunia, berat badan lebih atau obes, malas senam, emosi tak tenteram, hisap rokok macam cerobong asap. Bila dah kena penyakit kronik dan masih tak nak berubah, kualiti hidup takkan sama dah.
9. Ais takkan buatkan nanti sakit badan bila dah tua sebab tak pantang ais masa lepas bersalin. Tolonglah. Negara kita ni panas ok. Kesian mak stres. Orang melayu ni berialah ikut segala petua masa pantang. Elok habis pantang, terus angkut kaki pergi mekdogol sebab nak buang gian. Tu dah kenapa. Kita ni nak kena jaga kesihatan sepanjang hayat. Pantang sakan la sangat 44 hari pastu buat-buat lupa lepas tu. Nampak macam pantang tu membuta tuli mengikut je tanpa tahu hujung pangkal.
Orang dulu buat petua ais ni sebab ais mahal sangat masa zaman mereka. Bukan semua orang mampu ada peti sejuk. Mereka pergi beli ais kat kedai yang dipotong guna gergaji dan pikul bawa balik rumah. Zaman sekarang dah tak relevan. Kita kan dah belajar sains. Kenapalah masih dok berpegang pada mitos ais ni.
Ia mungkin tidak banyak berlaku tetapi kecuaian boleh mengundang keadaan ini. Pulled elbow atau sendi siku teralih boleh terjadi tanpa disengajakan.
Pulled elbow kerap terjadi pada kanak-kanak yang berusia lima tahun ke bawah. Ia adalah keadaan berpunca daripada kecederaan pada bahagian tisu lembut pada bahagian sendi siku. Ia juga sering kali berlaku jika kanak-kanak atau bayi diangkat bayi dengan cara menarik tangannya.
Sentapan kuat
Pulled elbow atau dipanggil sebagai ‘nursemaid’s elbow’ ini kerana kerap juga berlaku ketika kanak-kanak berada dalam jagaan pengasuh. Keadaan ini boleh terjadi tanpa disedari iaitu melalui cara anda mengangkat atau memegang si manja pada tangannya atau menyentap tangan anak secara tiba-tiba. Ini menyebabkan tulang pada sendi siku anak teralih dan terkeluar daripada soket sikunya.
Sentapan atau perbuatan menarik tangan anak secara keras dan tiba-tiba boleh menyebabkan kepala dan pangkal tulang radius terkeluar daripada annular ligament dan menyebabkan tulang itu tertonjol keluar, kesakitan dan pergerakan siku dan tangan jadi terbatas.
Misalnya apabila menarik anak dalam situasi seperti tertinggal di dalam lif, tertinggal di tangga eskalator atau untuk mengelakkan daripada dilanggar kenderaan. Pulled elbow ini dapat dikesan oleh doktor pakar menerusi imbasan X-ray atau pemeriksaan fizikal.
Tanda-tanda pulled elbow
Siku anak tiba-tiba bengkak.
Menangis tiba-tiba.
Dalam kes teruk, tulang radius boleh kelihatan timbul.
Sehingga 10 tahun
Kecederaan ini kerap berlaku pada bayi baru lahir sehingga berusia 10 tahun namun paling kerap terjadi pada kanak-kanak usia satu hingga tujuh tahun. Ini kerana pada lingkungan usia ini, tulang dan ototsi kecil masih belum matang dan memudahkan kecederaan tersebut berlaku.
Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami kecederaan ini akan mengadu sakit pada sendi siku, siku mungkin bengkak, tulang tertonjol keluar dan pergerakan sendi siku jadi terbatas. Bagi si manja yang masih belum boleh bercakap, hal ini akan menyebabkan dia menangis dan kelihatan tidak selesa.
Elak urut tradisional
Sekiranya anak anda mengadu sakit pada sikunya segera bawa dia berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Rawatan awal mengurangkan risiko kecederaan lebih teruk pada si kecil. Ujian X-ray perlu dilakukan untuk memeriksa keadaan sendi siku anak bagi memastikan adakah ia terkeluar dan ada atau tidak kepatahan tulang berlaku.
Jika anda merujuk anak ke hospital, masalah sendi yang terkeluar akan dimasukkan kembali ke dalam soket secara manual selepas anak diberi bius. Doktor biasanya akan mengulangi ujian X-ray selepas prosedur ini bagi memastikan ia telah kembali ke tempat asal. Anak juga akan dipasang dengan simen atau back slap selama satu hingga dua minggu bagi membolehkan tisu yang koyak pulih.
Sekiranya tidak diberikan rawatan, anak anda akan berisiko kecederaan serius dan berisiko tinggi untuk mengalami keadaan ini.
Kelewatan sendi dimasukkan kembali boleh menyebabkan pergerakan sendi siku jadi terbatas, bentuk siku membengkok dan tulang tertonjol.
Sendi ini akan menjadi longgar. Lebih malang lagi sekiranya anak anda mendapat radang sendi siku atau osteoarthritis akibat kelewatan ini.
Perulangan kes pulled elbow pada masa akan datang.
Diingatkan agar tidak membawa anak mendapatkan rawatan urutan tradisional kerana proses memasukkan sendi yang terkeluar ke dalam soketnya amat menyakitkan. Hal ini boleh menyebabkan trauma yang amat kuat kepada si kecil!
4 perkara perlu elak untuk hindari pulled elbow
Bagi mengelakkan kecederaam ini berlaku atau berulang kembali, ibu bapa perlu bersikap prihatin dan tidak memandang mudah hal ini. Elakkan sama sekali daripada melakukan tiga perkara ini.
Elakkan daripada suka menghayun si kecil dengan memegang pada bahagian pergelangan tangan.
Hindari daripada menyentap atau menarik tangan anak anda dengan keras dan kuat terutamanya dalam situasi panik.
Untuk mengangkat atau mendukung anak, amalkan mengangkatnya dengan cara memegang badan atau pada bahagian bawah lengan.
Elakkan cara mengangkat anak daripada posisi berbaring dengan cara menarik tangannya dengan kuat dan cepat.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Anak bongsu menyusul pergi sebulan selepas isteri dan anak sulung terkorban kemalangan jalan raya. Seorang bapa sekali lagi diuji apabila anak bongsunya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, hanya sebulan selepas kehilangan isteri dan anak sulung dalam kemalangan.