Penggunaan gajet masa kini sudah berleluasa seiring dengan peningkatan teknologi. Ke mana pun kita pergi sekarang, boleh nampak dengan jelas rata-rata masyarakat tidak mengira umur menjadikan gajet sebagai medium utama mereka.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan kebimbangan dengan masalah ini berikutan sikap masyarakat yang kini dilihat begitu terikat dengan gajet dan peranti digital untuk memperoleh maklumat serta berkomunikasi, tanpa mengendahkan dunia fizikal di sekeliling mereka.
Tambahnya, lebih membimbangkan lagi apabila kanak-kanak seawal usia dua hingga tiga tahun telah mula bermain gajet atau peranti digital seperti tablet dan telefon pintar, seolah-olah peralatan ini telah menjadi peneman atau pengasuh selain ibu bapa dan penjaga.
“Ibu bapa harus sedar bahawa gajet bukanlah ‘pengasuh’ kedua untuk anak-anak mereka. Berkomunikasi bersemuka adalah lebih baik berbanding anak-anak dibiarkan bersendirian merenung imej ataupun animasi di skrin tablet,” kata Dr Wan Azizah yang juga merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Dr Wan Azizah seterusnya berkata masalah ‘digital drug’ (dadah digital) berlaku apabila seseorang individu menghabiskan masa lebih daripada empat jam menggunakan internet untuk sesuatu perkara yang tidak ada kaitan dengan pekerjaan atau pembelajaran.
Pa&Ma kongsikan cara mudah yang boleh ibu bapa praktikkan untuk elak anak kecil terpengaruh dengan gajet :-
Bercakap dan mendengar pandangan mereka
Anak-anak yang masih kecil memerlukan perhatian dan kasih sayang sepenuhnya dari ibu bapa. Dengan meletakkan perhatian penuh untuk mereka membuatkan mereka rasa dihargai dan dapat kasih sayang sepenuhnya dari ibu bapa.
Membaca buku untuk mereka sekaligus menjadikan membaca sebagai hobi
Waktu kecil ni lah sel-sel otak mereka cepat berhubung dan mudah untuk pelajari sesuatu. Sediakan buku yang pelbagai bentuk dan warna untuk menarik minat mereka. Dengan cara ini sedikit sebanyak mampu menanamkan sikap suka membaca dalam kalangan anak–anak!
Main bersama dengan anak
Selain dari membaca buku bersama, anda juga boleh main bersama mereka. Melalui kaedah ini, anda boleh mengajar mereka beberapa skill yang baik untuk diikuti seperti selesaikan puzzle, susun blok mainan mengikut warna dan saiz serta kemas kembali mainan setelah selesai bermain.
ARTIKEL BERKAITAN [“Dia Cakap Pelat, Perkataan Pelik-Pelik Buat Saya Rindu” Awal & Scha Rindu Momen Lara Masih Kecil!]
Membawa mereka keluar berjalan
Saat yang paling dinantikan oleh anak-anak apabila ibu bapa mengajak mereka keluar bersama. Setelah seharian berada di rumah, apa salahnya keluar makan malam di luar atau luangkan masa bersama di luar setiap hujung minggu. Barulah minda anak terbuka dengan dunia luar!
SUMBER: Sinar Harian
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI