Cara pengurusan uri bayi adalah bergantung kepada agama anutan ibu bapanya. Dalam Islam, uri bayi yang dilahirkan haruslah ditanam. Tetapi adakah anda tahu cara basuh uri yang betul serta kaedah menanamnya?
Buat mereka yang baharu bergelar ibu ayah, tahniah kami ucapkan! Dalam artikel ini ada cara cuci uri yang boleh anda jadikan panduan.
Cara basuh uri: Fahami hukumnya
Sebenarnya tiada dalil nas atau hadis yang jelas mengenai cara cuci uri atau menguruskannya. Cuma setiap anggota tubuh apabila terpisah sunat dibersihkan dan ditanam dengan baik.
Tetapi adakah benar cara pengurusan uri dan lokasi penanamannya akan mempengaruhi perangai dan sikap si kecil saat dewasa nanti?
Kepercayaan itu adalah salah sama sekali. Ini kerana sikap anak tidak langsung mempunyai kaitan dengan cara, tempat atau pun kaedah pengurusan uri tersebut. Hakikatnya ia bergantung 100% kepada cara didikan anda sebagai ibu bapa mereka.
Jadi menanam uri bayi adalah sunat. Ia perlu dicuci dengan baik dan ditanam dalam tanah supaya ia tidak dimakan oleh haiwan.
Apa itu uri?
Sebelum anda mengetahui cara basuh uri, jom kita fahami secara ringkas mengenainya atau dalam istilah perubatan, disebut sebagai plasenta.
Plasenta adalah organ sementara yang menghubungkan bayi dengan rahim semasa kehamilan. Plasenta berkembang sejurus selepas persenyawaan berlaku dan melekat di dinding rahim.
Kandungan plasenta adalah saluran darah yang terkandung dalam struktur yang dikenali sebagai ‘vili’. Salur darah bersambung dengan aliran darah bayi melalui tali pusat.
Bayi disambungkan dengan plasenta melalui tali pusat. Kedua-duanya – uri dan tali pusat – bertindak sebagai talian hayat bayi dalam kandungan anda.
Kepanjangan plasenta dianggarkan kira-kira 10 inci panjang dengan ketebalan 1 inci pada bahagian tengahnya. Ia boleh mencapai berat sekitar 0.5 kg pada saat bayi dilahirkan.
Ads
Bagi wanita yang melalui proses kelahiran secara normal (faraj), plasenta akan keluar sejurus selepas bayi selamat dilahirkan – semasa tempoh kelahiran yang dikenali sebagai tahap ketiga bersalin.
Untuk ibu yang melahirkan secara caesarean, doktor akan mengeluarkan plasenta daripada rahim semasa prosedur kelahiran.
Antara fungsi plasenta termasuklah:
Membekalkan bayi dengan oksigen dan nutrien
Mengeluarkan sisa berbahaya dan karbon dioksida daripada bayi
Menghasilkan hormon yang membantu bayi membesar
Membawa imuniti ibu kepada bayi
Membantu melindungi bayi
Cara basuh uri bayi: Bahan yang diperlukan
Tujuan utama membasuh uri ini adalah untuk menghilangkan baunya sebelum ditanam. Ini kerana jika ia tidak dibasuh, darah yang berada bersama uri berkemungkinan besar akan menarik perhatian haiwan. Kesannya tempat uri ditanam mungkin akan dikorek haiwan.
Terdapat bahan dan perkakasan yang perlu anda sediakan sebelum memulakan proses mencuci, iaitu:
Uri.
Garam kasar.
Asam jawa.
Kain putih.
Sekiranya uri kelihatan agak membusuk, anda boleh menggunakan bahan tambahan seperti limau purut bagi membantu menghilangkan bauan tersebut.
Biasanya pihak hospital akan memberikan plasenta yang telah dibungkus bersama kertas kalis air berwarna hijau.
1. Pastikan semua bahan dan perkakasan yang diperlukan sudah tersedia. Ini bagi memudahkan proses membasuh plasenta ini dan mengelakkan si bapa kelam kabut.
Ads
2. Untuk memulakan proses mencuci ini, mulakanlah dengan bacaan Bismillah. Amnya, ada 2 cara basuh uri yang boleh anda pilih.
Anda boleh membasuhnya di bawah aliran air paip. Kemudian, basuh uri dan darah yang melekat padanya dengan garam, asam jawa dan limau (jika perlu) sehinggalah uri tidak lagi berlumuran darah.
Pastikan kertas kalis air tersebut turut dibasuh jika ada kesan darah, ya?
Cara lain pula adalah dengan meletakkan uri di dalam bekas atau besen berisi air garam. Dikatakan air rendaman garam ini dapat membantu memudahkan proses membersihkan darah beku.
3. Jika memilih menggunakan aliran air paip, anda boleh skip langkah ini.
Bagi mereka yang memilih menggunakan air rendaman garam, pada langkah seterusnya anda perlu membuang air tersebut. Kemudian dibasuh semula dengan air bersih.
Gosokkan dan urut perlahan-lahan bagi mengeluarkan semua sisa darah yang berada pada plasenta, termasuklah pada tali uri. Jangan lupa untuk menggunakan asam jawa bagi membantu menghilangkan bau hanyir darah.
Kemudian, bilas dengan air. Kertas kalis air berwarna hijau juga perlu dibasuh jika terdapat kesan darah.
Ads
4. Setelah melakukan cara basuh uri di atas, bungkus plasenta bayi anda dengan kemas menggunakan kain putih.
5. Langkah seterusnya adalah proses menanam uri. Disarankan untuk anda memilih tanah yang lembut bagi memudahkan proses mencangkul lubang.
Kedalaman lubang sekurang-kurangnya 0.5 meter, lebih dalam adalah lebih baik. Ini dapat mengelakkan binatang liar daripada dapat menghidu bau plasenta.
Masukkan bungkusan uri yang diikat kemas ke dalam lubang dengan bacaan Bismillah. Timbuskan dan ratakan permukaan tanah.
Bagi mengelakkan kemungkinan lubang dikorek binatang liar, tindihkan tempat plasenta ditanam dengan batu besar. Selesai.
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tidur sangat penting untuk kanak-kanak kerana tidur yang cukup memastikan otak dan tubuh kanak-kanak dapat membesar dan berkembang dengan baik. Kajian juga telah menunjukkan bahawa tidur adalah penting untuk kecergasan serta pelbagai fungsi utama anak-anak.
Menurut Hana Shahadan, yang juga pengasas Mommy Hana, dia berkongsi 7 ilmu tidur anak yang ramai ibu bapa tidak tahu sebagai panduan memastikan anak dapat tidur yang selesa dan cukup.
#1 Gunakan lampu tidur.
Lampu tidur yang malap cahayanya mampu menaikkan hormon melatonin anak. Hormon ini mampu membantu anak rasa mengantuk dengan lebih cepat.
#2 Jaga waktu tidur anak.
Sebolehnya pastikan anak tidur pada waktu yang sama setiap malam. Sebaiknya, tidurlah sebelum pukul 10 malam.
Berdasarkan kajian, anak yang mempunyai masa tidur yang sama lebih berkemahiran dalam membaca serta pandai matematik.
#3 Jauhkan gadget sebelum tidur.
Gadget mempunyai magnet yang sangat kuat terutamanya anak. Sekali anak dapat, sukar untuk dilepaskan, membuatkan mereka mengamuk dan menjadi liat untuk melelapkan mata.
#4 Hindari kafein.
Kafein ni bukan sekadar kopi. Iyea la, takkan la kita pun nak bagi kopi dekat anak kecil pula, kan?
Tapi jangan tak tahu, selain kopi, teh, coklat, aiskrim dan cereal juga mempunyai kafein. Jadi sebaiknya, cuba hindari makanan sebegini sebelum mahu tidurkan anak.
#5 Elakkan anak dari overtired
Aktiviti yang memenatkan ini memang sangat bagus untuk anak, tapi seeloknya jangan dibuat pada waktu malam, tetapi buatlah pada waktu petang.
Biasanya anak yang overtired akan susah untuk tidur.
#6 Sediakan tempat khas untuk anak tidur.
Jangan buat aktiviti lain di tempat tersebut kecuali untuk tidur. Lagi baik jika kita sudah didik anak untuk tidur di tempat yang sama sejak mereka masih kecil lagi.
Bila ada tempat khas untuk anak tidur, ianya mampu membuatkan anak cepat lelap kerana badan dan otak anak boleh berhubung dengan tempat itu sebagai tempat untuk tidur.
#7 Jadikan tidur siang sebagai rutin buat anak.
Tidur siang untuk anak ini tidak perlu terlalu lama. Cukuplah sekadar 15-30 minit setiap hari untuk topup kembali waktu tidur mereka yang terkurang.
Jangan pula terlebih tidur, takut-takut anak jadi susah tidur pada waktu malam. Lagipun kalau anak terlebih tidur waktu siang, badan mereka akan lebih cepat rasa penat dan malas.
Dan ya, waktu tidur siang ini berbeza mengikut usia anak. Semakin kecil anak, maka semakin baik untuk mereka dapatkan tidur siang dengan lebih lama.
#8 Ibu ayah pun tidur sekali.
Bila kita sudah minta anak tidur awal, kita pun kenalah tunjuk contoh tauladan yang baik dengan tidur juga. Boleh bayangkan, ibubapa minta anak tidur, tapi kita masih tengok tv atau main hp. Agak-agak anak mahu tidur?
Lagipun, sangat bagus kalau ibubapa dapat tidur awal. Jika ada perkara mahu dibuat, boleh dibuat dengan bangun pada awal pagi.
#9 Pasangkan audio.
Audio penenang ini sangat berguna lagi-lagi buat anak yang sukar untuk tidur. Antara audio yang boleh dipasang ialah bacaan Al-Quran, alunan zikir serta lullaby.
Sebaiknya pasangkan audio ini melalui peranti yang bebas radiasi seperti Islamic Audio Device.
Ianya selamat untuk minda dan perkembangan anak, selain mampu membuatkan anak mendapat deep sleep yang sangat bagus untuk kesihatan diri.
Memang kadang-kadang akan ada perbalahan kecil sesama anak-anak. Namun, jika anda sejak daripada awal, sudah mendidik mereka erti kasih sayang antara adik-beradik, tidak mustahil mereka akan berbaik dalam masa yang singkat lantaran tahu menilai kasih sayang yang telah anda terapkan dalam diri mereka.
Berikut adalah antara perkara yang perlu dilakukan semasa anak-anak anda masih lagi kecil. Diharapkan ia dapat membantu anda membina hubungan adik-beradik yang kukuh sepanjang hayat.
1. Makan bersama
Dalam sehari, pastikan anda dan anak-anak berkumpul seisi keluarga untuk makan bersama-sama. Selesai makan, anda dan mereka boleh saling berbual dan bercerita tentang apa sahaja yang berlaku pada hari kejadian. Dengan yang demikian, semua ahli keluarga berasa seronok apabila dapat terlibat dalam aktiviti seharian masing-masing.
2. Jaga antara satu sama lain
Sentiasa ingatkan anak-anak untuk menjaga diri mereka antara satu sama lain. Yang lebih berusia perlu tengok adiknya yang lebih kecil. Malah anak yang lebih muda pun boleh melakukan perkara yang sama juga.
Sebelum tidur katakan pada anak-anak “Abang atau kakak perlu jaga adik. Begitu juga adik. Perlu juga jaga abang atau kakak.” Percayalah jika dari kecil anda sudah ingatkan perkara ini kepada anak-anak, apabila mereka dewasa kelak, pesanan ini akan sentiasa kukuh dalam ingatan mereka.
3. Berlaku adil
Tanpa sedar, kadang-kadang ibu bapa itu sendiri berlaku tidak adil kepada anak-anaknya.
Paling biasa dilakukan ialah apabila adik buat silap, kakak atau abangnya akan dipersalahkan. Hal sebegini akan membuatkan anak yang tua berasa kecil hati dan berdendam kepada adiknya.
Sama juga halnya apabila membeli sesuatu barangan. Pastikan anda sentiasa berlaku adil. Hal ini penting untuk tidak menimbulkan perasaan cemburu di antara mereka. Tidak kira apa-apa pun, sebenarnya setiap anak mahu dihargai secara sama rata. Untuk itu, anda perlu bijak mengawal keadaan.
4. Tolong-menolong
Biarpun anak-anak masih kecil tetapi sikap tolong-menolong perlu diajar daripada awal. Antara yang boleh anda lakukan ialah meminta adik dan kakak atau abangnya sama-sama mengemas alat permainan yang telah digunakan semasa bermain bersama-sama. Sambil mereka mengemas, jangan lupa selitkan kata-kata pujian kepada mereka. Pastikan mereka bangga dapat berbuat baik sesama sendiri.
5. Tunjukkan contoh baik
Jika mahu anak-anak berhubungan baik antara satu sama lain, anda sendiri pun perlu menjaga hubungan dengan adik-beradik. Sikap saling tolong-menolong, ziarah-menziarahi dan saling berhubung antara anda dan adik-beradik, secara tidak langsung menunjukkan bahawa ikatan kekeluargaan yang ada itu perlu dijaga setiap masa. Contoh yang baik seperti ini dapat mereka jadikan panduan di masa hadapan mereka.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Anak-anak yang mempunyai kecerdasan tinggi tidak dilahirkan terus bijak. Ibu bapa memainkan peranan yang besar dalam membentuk jati diri serta keinginan anak untuk belajar. Perhatikan potensi dan tahap kemampuan anak anda dan beri sokongan kepada mereka.
Tidak perlu terlalu ‘keras’ dan memaksa mereka untuk belajar perkara yang kurang mereka suka. Paling penting, jangan terhadkan proses pembelajaran mereka dengan hanya satu persekitaran sahaja. Pa&Ma senaraikan beberapa strategi untuk memotivasikan anak anda belajar.
Wujudkan Atmosfera Membaca
Tidak penting untuk terus mahu anak-anak lancar membaca. Pertamanya, wujudkan rasa minat terlebih dahulu. Anak yang sukakan buku akan suka belajar. Membaca bukan sahaja membantu anak untuk memperluaskan kosa kata mereka tetapi membantu otak mereka memproses teknik berkomunikasi. untuk mewujudkan suasana membaca, bukan mereka yang dipaksa untuk membuka buku. Anda sebagai ibu atau bapalah yang digalakkan membaca kepada anak-anak.
Sebelum masuk tidur, bacalah buku cerita kegemaran anak anda. Anak akan berminat untuk membaca sendiri jika sering didedahkan dengan bahan bacaan. Satu lagi cara lain adalah dengan memperuntukkan sedikit masa untuk mebaca bersama-sama. 20 minit sudah cukup, galakkan anak untuk membaca sambil perkenalkan perkataan-perkataan baru kepada mereka. Wujudkan satu tempat khas seperti perpustakaan mini untuk menarik inat anak-anak dengan buku.
Biarkan Anak Yang ‘Memandu’
Beri masa untuk anak anak menguasai proses pembelajaran. Jika anda mahu mereka belajar menulis, beri kebebasan kepada anak untuk memilih topik yang dia mahu. Jika anak-anak anda cenderung untuk bermain ketika belajar usahlah disekat. Berikan sokongan sepenuhnya. Sebagai contoh, anda mahu belajar menulis tetapi suka jika belajar menggunakan lukisan. Galakkan mereka untuk teruskan cara begitu selagi ia menampakkan hasil. Jangan paksa mereka belajar mengikut cara kita dahulu.
Fokus Kepada Minat Anak
Sekiranya anda mahu anak belajar, beri kebebasan kepada mereka untuk meneroka apa yang diminatinya. Seandainya anak anda sukakan dinosaur, carikan buku cerita menarik tentangnya. Kemudian cabar anak anda untuk menegnalpasti beberapa jenis dinosaur dan mengapa dia membuat pilihan itu.
Kongsi Semangat Belajar Bersama Anak
Untuk memberi anak semangat ketika belajar, anda harus merasakan perkara yang sama. Tunjukkan semangat dan sokongan yang menunjukkan anda benar-benar suka belajar. Pilih beberapa subjek dan kenalkan dengan anak anda. Kenali minatnya dan beri perhatian kepada subjek yang dia sukai. Salah satu cara untuk memberitahu bahawa anda suka belajar, anda boleh bawa mereka melawat ke sekolah atau universiti anda dahulu. Beritahu mengapa anda memilih untuk bersekolah di situ dan beri galakan kepada mereka untuk belajar.
Perhatikan Apa Yang Anak Belajar, Bukan Pencapaiannya
Apabila anak pulang dari sekolah, jangan paksa dia untuk belajar. Anda sebaliknya minta anak untuk beri tunjuk ajar kepada anda. Anak yang bijak akan sentiasa beritahu apa yang dipelajarinya di sekolah. Minta mereka untuk mengajar anda dan berikan kata pujian. Pujian dan kata semangat akan membuatkan mereka lebih seronok untuk ke sekolah dan belajar lebih banyak.
Sesekali berikan mereka ganjaran untuk menghargai usaha mereka untuk belajar. Ganjaran tidak perlu besar tetapi diberi secara kerap untuk memberitahu anak-anak bahawa anda menghargai semangat mereka untuk belajar.
Lihat ‘Kekuatan’ Anak
Memberi fokus penuh kepada kekuatan anak anda dapat mewujudkan emosi yang sihat dan perkembangan akademiknya juga akan meningkat. Memberi perhatian kepada kelebihan mereka juga akan memberi motivasi kepada anak anda untuk terus belajar.
Paling penting, hargai pencapaian anak anda. Ada sesetengah anak mungkin kurang berminat dengan proses pembelajaran secara terus, tetapi lebih gemar cara belajar sambil bermain. Kenali potensi dan keinginan anak-anak anda. Jangan paksa proses pembelajaran anak-anak kerana ia hanya akan merencatkan minat mereka untuk terus belajar.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bantuan Awal Persekolahan, "Peluasan BAP kepada pelajar tingkatan enam pertama kali dilaksanakan..." Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam bermula pada sesi persekolahan 2025/2026.