Cara pengurusan uri bayi adalah bergantung kepada agama anutan ibu bapanya. Dalam Islam, uri bayi yang dilahirkan haruslah ditanam. Tetapi adakah anda tahu cara basuh uri yang betul serta kaedah menanamnya?
Buat mereka yang baharu bergelar ibu ayah, tahniah kami ucapkan! Dalam artikel ini ada cara cuci uri yang boleh anda jadikan panduan.
Cara basuh uri: Fahami hukumnya
Sebenarnya tiada dalil nas atau hadis yang jelas mengenai cara cuci uri atau menguruskannya. Cuma setiap anggota tubuh apabila terpisah sunat dibersihkan dan ditanam dengan baik.
Tetapi adakah benar cara pengurusan uri dan lokasi penanamannya akan mempengaruhi perangai dan sikap si kecil saat dewasa nanti?
Kepercayaan itu adalah salah sama sekali. Ini kerana sikap anak tidak langsung mempunyai kaitan dengan cara, tempat atau pun kaedah pengurusan uri tersebut. Hakikatnya ia bergantung 100% kepada cara didikan anda sebagai ibu bapa mereka.
Jadi menanam uri bayi adalah sunat. Ia perlu dicuci dengan baik dan ditanam dalam tanah supaya ia tidak dimakan oleh haiwan.
Apa itu uri?
Sebelum anda mengetahui cara basuh uri, jom kita fahami secara ringkas mengenainya atau dalam istilah perubatan, disebut sebagai plasenta.
Plasenta adalah organ sementara yang menghubungkan bayi dengan rahim semasa kehamilan. Plasenta berkembang sejurus selepas persenyawaan berlaku dan melekat di dinding rahim.
Kandungan plasenta adalah saluran darah yang terkandung dalam struktur yang dikenali sebagai ‘vili’. Salur darah bersambung dengan aliran darah bayi melalui tali pusat.
Bayi disambungkan dengan plasenta melalui tali pusat. Kedua-duanya – uri dan tali pusat – bertindak sebagai talian hayat bayi dalam kandungan anda.
Kepanjangan plasenta dianggarkan kira-kira 10 inci panjang dengan ketebalan 1 inci pada bahagian tengahnya. Ia boleh mencapai berat sekitar 0.5 kg pada saat bayi dilahirkan.
Bagi wanita yang melalui proses kelahiran secara normal (faraj), plasenta akan keluar sejurus selepas bayi selamat dilahirkan – semasa tempoh kelahiran yang dikenali sebagai tahap ketiga bersalin.
Untuk ibu yang melahirkan secara caesarean, doktor akan mengeluarkan plasenta daripada rahim semasa prosedur kelahiran.
Antara fungsi plasenta termasuklah:
Cara basuh uri bayi: Bahan yang diperlukan
Tujuan utama membasuh uri ini adalah untuk menghilangkan baunya sebelum ditanam. Ini kerana jika ia tidak dibasuh, darah yang berada bersama uri berkemungkinan besar akan menarik perhatian haiwan. Kesannya tempat uri ditanam mungkin akan dikorek haiwan.
Terdapat bahan dan perkakasan yang perlu anda sediakan sebelum memulakan proses mencuci, iaitu:
Sekiranya uri kelihatan agak membusuk, anda boleh menggunakan bahan tambahan seperti limau purut bagi membantu menghilangkan bauan tersebut.
Biasanya pihak hospital akan memberikan plasenta yang telah dibungkus bersama kertas kalis air berwarna hijau.
1. Pastikan semua bahan dan perkakasan yang diperlukan sudah tersedia. Ini bagi memudahkan proses membasuh plasenta ini dan mengelakkan si bapa kelam kabut.
2. Untuk memulakan proses mencuci ini, mulakanlah dengan bacaan Bismillah. Amnya, ada 2 cara basuh uri yang boleh anda pilih.
Anda boleh membasuhnya di bawah aliran air paip. Kemudian, basuh uri dan darah yang melekat padanya dengan garam, asam jawa dan limau (jika perlu) sehinggalah uri tidak lagi berlumuran darah.
Pastikan kertas kalis air tersebut turut dibasuh jika ada kesan darah, ya?
Cara lain pula adalah dengan meletakkan uri di dalam bekas atau besen berisi air garam. Dikatakan air rendaman garam ini dapat membantu memudahkan proses membersihkan darah beku.
3. Jika memilih menggunakan aliran air paip, anda boleh skip langkah ini.
Bagi mereka yang memilih menggunakan air rendaman garam, pada langkah seterusnya anda perlu membuang air tersebut. Kemudian dibasuh semula dengan air bersih.
Gosokkan dan urut perlahan-lahan bagi mengeluarkan semua sisa darah yang berada pada plasenta, termasuklah pada tali uri. Jangan lupa untuk menggunakan asam jawa bagi membantu menghilangkan bau hanyir darah.
Kemudian, bilas dengan air. Kertas kalis air berwarna hijau juga perlu dibasuh jika terdapat kesan darah.
4. Setelah melakukan cara basuh uri di atas, bungkus plasenta bayi anda dengan kemas menggunakan kain putih.
5. Langkah seterusnya adalah proses menanam uri. Disarankan untuk anda memilih tanah yang lembut bagi memudahkan proses mencangkul lubang.
Kedalaman lubang sekurang-kurangnya 0.5 meter, lebih dalam adalah lebih baik. Ini dapat mengelakkan binatang liar daripada dapat menghidu bau plasenta.
Masukkan bungkusan uri yang diikat kemas ke dalam lubang dengan bacaan Bismillah. Timbuskan dan ratakan permukaan tanah.
Bagi mengelakkan kemungkinan lubang dikorek binatang liar, tindihkan tempat plasenta ditanam dengan batu besar. Selesai.
Mudah bukan cara basuh uri ini? Selamat mencuba.
Kredit: Hello Doktor
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!