Gel Dari Daun Lidah Buaya Boleh Redakan Ekzema, Antara Rawatan Yang Boleh Dilakukan Di Rumah

Share

Ekzema adalah sejenis keradangan kulit yang boleh menyebabkan bengkak, gatal atau ruam merah yang mengakibatkan kulit kelihatan seperti melecur. Dikenali sebagai atopic dermatitis, masalah kulit ekzema ini biasa berlaku pada bahagian muka, tangan, siku atau lutut, sering dialami oleh kanak-kanak dibawah usia 5 tahun, tetapi ia boleh dihidapi oleh sesiapa pada mana-mana peringkat usia.

Pelbagai cara boleh digunakan untuk merawat masalah ini, seperti penggunaan krim, produk semula jadi atau menjalani perubahan gaya hidup. Salah satu cara lain adalah dengan menggunakan kaedah rawatan rumah untuk merawat ekzema. Berikut adalah beberapa tip yang boleh digunakan.

Gel lidah buaya
Terdapat pelbagai kegunaan gel yang berasal dari tumbuhan lidah buaya ini. Salah satu fungsi umumnya adalah untuk melegakan ekzema. Gel ini mempunyai ciri-ciri antibakteria, antimikrobial, meningkatkan sistem imun dan penyembuhan luka.

Anda boleh mengambil gel ini dari daun lidah buaya sendiri dan menggunakannya secara terus dari daun.

Minyak kelapa
Terdapat kajian yang mengatakan penggunaan minyak kelapa dapat mengurangkan jumlah bakteria pada kulit dan menghindari risiko jangkitan. Minyak kelapa mengandungi asid lemak yang sihat yang boleh menambah kelembapan pada kulit, sekali gus baik untuk individu dengan masalah kulit kering dan ekzema.

Anda boleh menyapu minyak kelapa, selepas mandi atau beberapa kali dalam sehari untuk melembapkan kulit. Pastikan anda turut menyapunya sebelum tidur untuk memastikan kelembapan kulit sepanjang malam. Pastikan anda menggunakan minyak kelapa ‘dara’ atau ‘cold pressed’ – kaedah pengekstrakan minyak yang tidak menggunakan bahan kimia yang boleh menjejaskan kulit. Individu yang mempunyai alahan kepada kelapa, tidak patut menggunakan minyak kelapa.

Cuka epal
Dipercayai antara rawatan rumah yang popular untuk pelbagai masalah kesihatan, termasuk masalah kulit. Walaupun tiada kajian untuk mengesahkan fakta ini, tetapi National Eczema Association (NEA) melaporkan bahawa cuka epal ini boleh membantu masalah kulit ekzema. Cuka epal dipercayai dapat memberikan keseimbangan kepada tahap keasidan kulit dan melawan bakteria.

Perkara paling penting dalam penggunaan cuka adalah untuk mencairkan (dilute) cuka terlebih dahulu dengan cara mencampurkan sesudu cuka bersama segelas air, jika tidak, cuka boleh menyebabkan luka terbakar atau kecederaan lain.

Anda boleh memilih sama ada untuk menggunakannya dengan cara balutan basah iaitu dengan meletakkan campuran cuka yang telah dicairkan ke atas kapas atau kain kasa dan letakkan ia pada bahagian kulit yang bermasalah dan lindunginya atau tutupnya dengan kain yang bersih. Anda juga boleh memilih cara mandian dengan mencampurkan dua cawan cuka ke dalam tab mandian panas dan rendam selama 15-20 minit. Selepas itu bilas badan dengan air yang bersih. Sapu pelembap pada badan beberapa minit selepas mandi.

Minyak matahari
Berfungsi untuk meningkatkan ciri pelindung kulit dan membantu mengekalkan kelembapan serta mempunyai fungsi anti-keradangan. Anda boleh menyapu minyak ini kepada kulit individu dewasa sebanyak dua kali sehari, dengan salah satu sapuan dilakukan selepas mandi dalam keadaan kulit masih basah. Tetapi jika anda mengetahui bahawa anda alah kepada biji bunga matahari, elakkan penggunaan minyak ini.

Madu
Merupakan agen antibakteria dan anti-keradangan semula jadi kerana dapat membantu menyembuhkan luka dan meningkatkan fungsi imun yang bermakna dapat membantu melawan jangkitan. Madu dapat membantu mencegah jangkitan semasa melembapkan kulit dan mempercepatkan penyembuhan bagi individu yang mengalami ekzema. Anda boleh mencuba kaedah ini dengan menyapu sebatian madu ke bahagian yang bermasalah.

Tetapi rawatan setiap ekzema adalah berbeza mengikut jenis kulit dan diri individu tersebut. Yang penting anda perlu kenal pasti apa pencetus ekzema dalam diri anda ataupun anak anda.

Sumber: Hello Doktor

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
NuFa