Masalah gigi berlapis sering dipandang enteng oleh masyarakat umum. Perkara ini perlu dititikberatkan kerana kelak, ia boleh menyebabkan masalah karies gigi dan masalah gusi bengkak.
Tahukah anda bahawa masalah gigi berlapis boleh disebabkan oleh gigi susu? Ikuti artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Sebelum kita menyelami bagaimana gigi berlapis boleh terjadi, mari kita kenal terlebih dahulu dengan pesona utama artikel ini, gigi susu. Walaupun gigi mula tumbuh ketika bayi berusia di antara 6 ke 12 bulan, hakikatnya, ia mula terbentuk pada 6 minggu fasa kehamilan.
Usia bagi pertumbuhan gigi susu adalah berbeza bagi setiap bayi maka jika anak anda masih tidak mempunyai gigi seawal 6 bulan, usah khuatir. Biar lambat, asal selamat.
Apa itu enamel, dentina dan pulpa?
Terdapat perbezaan yang agak ketara jika dibuat perbandingan di antara struktur gigi susu dan gigi kekal. Secara umumnya, jumlah gigi susu yang bakal tumbuh apabila anak anda berusia 1 tahun adalah sebanyak 6 batang. Ketika anak anda berusia 3 tahun, seharusnya kesemua 20 batang gigi susu telah pun tumbuh.
Jika dibuat perbandingan secara fizikal, gigi susu kelihatan lebih kecil dan putih manakala gigi kekal kelihatan lebih besar dan berwarna krim atau putih kekuningan.
Gigi kekal juga mempunyai bilangan yang lebih banyak iaitu sebanyak 32 batang berbanding dengan gigi susu yang hanya sebanyak 20 batang. Pada sudut anatomi, perbezaan di antara keduanya dapat dilihat pada ketebalan lapisan enamel (luar), dentina (tengah) dan pulpa (dalam).
Gigi susu mempunyai lapisan enamel dan dentina yang agak nipis berbanding dengan gigi kekal membuatkan karies gigi lebih mudah untuk merebak ke lapisan pulpa. Oleh sebab itulah karies gigi kelihatan lebih teruk pada gigi kanak-kanak berbanding dengan orang dewasa.
Lapisan pulpa gigi mengandungi banyak urat saraf dan salur darah yang memberikan nutrisi kepada gigi. Gigi susu mempunyai lapisan pulpa yang agak besar berbanding dengan gigi kekal.
Ini meningkatkan risiko untuk mendapat kecederaan urat saraf dalam situasi trauma memandangkan ia juga mempunyai lapisan luar yang nipis.
Memastikan keteraturan gigi kekal
Jika dilihat pada fungsi asas gigi susu, ia penting bagi membantu proses penghadaman yang baik buat anak-anak anda. Fungsinya adalah sama dengan gigi kekal iaitu untuk mengigit, mengoyak dan melumatkan makanan. Fungsi ini penting bagi memastikan nutrisi makanan dapat diserap masuk ke dalam tubuh badan.
Namun begitu, tidak ramai yang tahu bahawa ia juga memainkan peranan penting dalam memastikan keteraturan susunan gigi kekal. Gigi susu kebiasaannya akan patah secara semula jadi dan digantikan dengan gigi kekal pada usia sekitar 6 tahun.
Sebelum daripada usia tersebut, gigi yang patah akan digantikan dengan gigi belakang bagi mengisi kekosongan di hadapan. Keadaan ini akan menyebabkan susunan asalnya menjadi tidak teratur seterusnya mengakibatkan kekangan ruang di antaranya untuk gigi kekal tumbuh.
Kesannya, gigi kekal akan tumbuh sama ada di hadapan atau di belakang gigi sedia ada menjadikan gigi anda kelihatan berlapis. Gigi yang berlapis akan memberikan kesan negatif terhadap keyakinan diri anak-anak anda memandangkan keteraturan gigi penting dalam aspek penampilan diri.
Bayangkan jika anak anda diejek dan dipulaukan oleh rakan-rakannya hanya disebabkan oleh masalah gigi berlapis. Ini akan menurunkan tahap keyakinan anak anda untuk menjalinkan hubungan sosial.
Selain itu, ia juga memudahkan proses pengumpulan plak yang boleh meningkatkan risiko untuk mendapat karies gigi dan penyakit gusi bengkak (gingivitis).
Kredit: Hello Doktor
Ada gambar anak minum susu yang cute-cute? Jom share dengan Pa&Ma dan anda mungkin berpeluang memenangi hamper barangan bernilai RM100. Muat naik gambar anak anda di SINI
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI