Kepercayaan mengatakan budak belum tumbuh gigi jangan guna sikat rambut, nanti gigi anak jadi jarang itu karut! Anak baru 4 tahun elok tekankan penjagaan gigi dahulu sebelum risaukan susunan gigi yang jarang. Ikuti penjelasan pegawai pergigian ini.
Perkara berkaitan dengan gigi anak, ada sesetengah ibu bapa tidak ambil kisah dan ada juga yang amat menitikberatkanya. Kesedaran awal membawa anak ke klinik gigi untuk mendapatkan pemeriksaan gigi memang baik dan elok dilakukan sejak awal lagi.
Menurut Dr Iqbal Rosali, Pegawai Pergigian, Pusat Sejahtera, Universiti Sains Malaysia ada ibu bapa yang risau tentang gigi susu anak mereka yang jarang. Ini adalah perkongsian beliau mengenai perkara tersebut;
Haritu ada ibu datang buat pemeriksaan gigi. Selesai semuanya, dia ambil masa sedikit untuk mengadu tentang anaknya. Dia beritahu gigi anaknya jarang-jarang. Gigi itu tumbuh seketul-seketul. Dia kata tak cantik.
Minta pandangan saya ada tak rawatan untuk kes macam tu. Dia tanya juga sesuai tak buat braces untuk rapatkan gigi.
Saya jawablah braces boleh digunakan untuk rawatan gigi jarang. Jika jarang-jarang cuma pada gigi depan, boleh buat veneer. Sejenis rawatan ala-ala gigi palsu untuk tutup jarak antara gigi. Tak perlu ikat dan gerakkan gigi macam braces.
ANAK BARU BERUMUR 4 TAHUN
Ibu pun bertanyalah macam-macam tentang dua rawatan yang saya sebutkan tadi. Banyak dan panjang juga soalan si ibu. Yang mana lebih sesuai, yang mana sesuai untuk umur berapa.
Chup!
Ads
Umur berapa?
Terus lupa nak tanya tentang ini. “Puan, umur anak puan berapa?”
“4 tahun.”
“Puan, kalau baru 4 tahun, gigi susu je ni, puan bimbang apa?”
“Gigi dia tak cantik. Saya risau kalau dah tumbuh gigi kekal nanti pun akan jarang macam ni juga.”
Ads
DOKTOR TERANGKAN SUSUNAN GIGI SUSU
Ibu-ibu, ayah-ayah,
Saya faham kebimbangan begini. Tapi tidak perlulah bimbang sebegini awal.
Pertama,
Gigi susu jarang-jarang begitu kerana saiz gigi susu ini kecil sahaja. Tidak berubah saiznya. Sedangkan tulang rahang mulut anak itu membesar. Makin besar anak memang akan nampak jarang pada gigi susu.
Kedua,
Gigi susu ada 20 batang. Gigi kekal paling kurang akan ada 28 batang. Saiz gigi kekal juga lebih besar. Ruang antara gigi susu, dan rahang yang membesar adalah untuk persediaan untuk gigi kekal tumbuh.
Ads
Ketiga,
Pakar Orthodontik mencadangkan untuk mendapatkan konsultasi tentang susunan gigi bila anak umur 7 tahun. Masa ini gigi geraham dah mula tumbuh. Gigi kacip (orang awam panggil kapak) juga akan mula tumbuh menggantikan gigi susu. Jadi kalau umur 4 tahun tak ada nak bimbang pasal susunan gigi kekal ni.
Keempat,
Gigi anak kecil kita ni memang tak cantik susunannya. Ada gigi nak tumbuh, ada gigi nak tanggal. Sebab tu penting mak bapa tahu bila gigi susu tanggal, bila gigi kekal keluar.
Kelima,
Kebimbangan ibu itu bagus. Tapi pada umur 4 tahun macam tu, adalah lebih baik pentingkan dulu penjagaan kebersihan gigi. Jangan bagi rosak. Ajar anak gosok gigi dengan betul. Itu sepatutnya. Susunan gigi ni nanti-nantilah duk bimbangnya.
Apa yang penting, dapatkan pemeriksaan gigi berkala untuk si anak sejak tumbuh dua batang gigi susu. Biasakan anak dengan klinik gigi, dengan doktor gigi.
Walaupun gigi tak rosak, tak ada mengadu sakit, bawa sahaja. Kita periksa. Kalau semua okay, anak happy, mak bapa pun happy.
Ramai ibu bapa yang ada anak kecil mesti akan menghadapi masalah si kecil suka menonton TV dekat. Mereka akan berdiri depan TV dan menghalang pandangan orang lain.
Kita selalu membebel dan marahkan anak kecil yang suka tengok TV dekat-dekat. Alasan kita selalunya nanti mata rosak atau cepat rabun kalau tengok TV terlalu dekat. Hakikatnya ia hanyalah mitos orang tua dulu-dulu. Mengapa?
Sebenarnya ia trauma masyarakat dunia tahun 1960-an apabila syarikat General Electric yang mengeluarkan TV telah membuat satu kenyataan iaitu TV warna keluaran mereka telah tersilap pengeluaran.
Ia mengakibatkan TV tersebut mengeluarkan pancaran sinar-x secara berlebihan. Tetapi akhirnya pihak General Electric menemukan penyelesaian dengan menempatkan perisai kaca bertimbal di sekitar tabung atau tiub sinar TV.
Bagaimanapun kebimbangan tersebut telah menjadi budaya turun temurun sehingga ramai ibu bapa melarang anak menonton TV secara dekat.
Tiada sebarang bukit atau fakta pun yang menyatakan ada mata manusia yang rosak akibat menonton TV terlalu dekat sama ada orang dewasa atau kanak-kanak.
Walaupun anda melarang si kecil daripada berada dekat dengan TV, ia hanya bertahan tak sampai lima minit pun kerana selepas itu mereka akan berdiri lagi depan TV. Jadi, lebih baik anda fahamkan dulu fakta tentang penglihatan kanak-kanak.
1. Jarak penglihatan kanak-kanak adalah berbeza dengan orang dewasa.
2. Sebenarnya kanak-kanak boleh fokus pada jarak dekat lebih bagus berbanding orang dewasa tanpa memberi tekanan kepada mata mereka. Ini kerana kanta mata mereka lebih fleksibel dan boleh disesuaikan untuk pandangan jarak dekat.
3. Mata sebenarnya boleh menukar bentuk untuk pandangan jarak jauh atau dekat dan mata kanak-kanak adalah paling fleksibel.
4. Mata akan mula hilang fleksibilitinya mengikut perubahan usia, jadi kanak-kanak akan mula menonton TV pada jarak jauh apabila usia mereka semakin meningkat.
5. Kanak-kanak biasanya membentuk tabiat memegang bahan bacaan dekat dengan mata atau duduk betul-betul depan TV semasa menontonnya.
6. Kanak-kanak perlu menonton TV secara dekat, disebabkan keterbatasan mata mereka untuk melihat dan memahami sesuatu.
7. Kanak-kanak ingin dirinya masuk ke dalam dunia rancangan TV yang ditonton sebab itu mereka berada hampir dengan TV. Duduk jauh dari TV dirasakan kurang menyeronokkan serta tidak dapat menghayati apa yang ditonton.
8. Mereka ingin juga merasakan pengalaman serta menjadi sebahagian daripada watak yang ditonton dalam TV.
9. Apabila lahir, kanta di dalam mata biasanya akan berwarna jernih dan fleksibel, zonules yang berhubung dengannya sangat kuat. Semakin usia bertambah, kanta menjadi kurang fleksibel, dan zonules juga semakin tidak efektif. Bentuk mata anda, yang ditentukan secara genetik memungkinkan anda memerlukan kanta yang betul. Jika anak anda menunjukkan ciri-ciri masalah mata, segera bawanya berjumpa pakar oftamologi untuk diperiksa.
10.Ini juga antara sebabnya mengapa ramai yang akan mula mempunyai masalah penglihatan apabila mereka mencecah usia 40 tahun. Ini kerana semua otot semakin tua dan mereka mula hilang fleksibiliti keremajaan.
Menonton TV secara dekat dan membahayakan mata mungkin apabila si kecil menontonnya terlalu lama atau di dalam keadaan cahaya yang tidak mencukupi. Keadaan ini boleh menyebabkan mata cepat letih. Mata juga menjadi letih apabila kita menonton TV sambil berbaring atau mendongak dibandingkan duduk dan memandang lurus pada TV.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bila anak mengamuk, mama papa boleh jadi singa. Sebenarnya ia boleh dielak, ada 7 tip ini boleh diguna, yang penting ia bukan pukul dan cubit. Bab taktik psikologi ini semua ibu ayah perlu terror!
Kita sering lihat kanak-kanak kecil menjerit dan menangis sambil menghentak-hentakkan kaki jika tidak mendapat apa yang mereka inginkan. Jika dipujuk dan dijanjikan untuk memenuhi keinginan mereka, maka berhentilah mereka daripada membuat perangai.
Namun, kejadian anak membuat perangai atau tantrum pasti akan berulang. Adakah betul cara si ibu tersebut menangani tantrum anak? Ketahui tips yang betul tentang bagaimana untuk bertindak jika anak menunjukkan tantrum. Cara ini boleh digunakan tidak kiralah di manapun anak anda menunjukkan tantrum; baik di rumah mahupun di tempat awam.
7 PERKARA INI ELAKKAN TANTRUM
Jika boleh, cuba untuk mengelakkan tantrum. Terdapat beberapa cara yang anda boleh lakukan bagi mengurangkan tantrum daripada berlaku:
Kurangkan tekanan. Kanak-kanak yang penat, lapar dan terlebih rangsangan lebih mudah untuk menunjukkan tantrum
Berikan perhatian yang positif. Jika anak anda menunjukkan perilaku yang baik, berikan pujian dan perhatian kepada kelakuan positif
Fahami perubahan emosi anak. Kenal pasti perubahan mood mereka. Anda boleh bercakap tentang perubahan mereka dan membantunya untuk menguruskan perasaan. Jika anda dapat mengenali lebih awal akan perasaan mereka, anda boleh cuba untuk mengalih perhatian kanak-kanak daripada melayani emosi mereka yang tidak stabil
Cuba berikan kanak-kanak kawalan untuk sesetengah perkara. Tawarkan sedikit pilihan seperti “Adik nak jus oren atau jus epal?” ataupun “Adik nak berus gigi sebelum mandi ke ataupun selepas mandi?” Dengan cara ini anda membantu anak anda untuk memilih, berbanding dengan jika anda bertanyakan “Adik nak berus gigi sekarang?”- yang jawapannya sudah tentu “taknak”
Kenal pasti punca tantrum. Contohnya, si kecil mungkin akan mengalami tantrum semasa anda berada di pusat membeli-belah. Jadi, anda boleh rancang lebih awal untuk menghadapi kemungkinan situasi tersebut atau menukar persekitaran bagi mengelakkan tantrum. Sebagai contoh, mungkin anda boleh pergi ke pusat membeli-belah selepas waktu meridap anak anda ataupun selepas mereka menikmati snek
Alih perhatian anak anda. Ambil peluang untuk mengubah sekejap perhatian anak anda dengan cara menawarkan mereka benda lain. Mulakan aktiviti baru untuk menggantikan barang yang mereka tidak dapat
Bercakap tentang emosi dengan anak anda. Apabila anak anda berperang dengan emosi sendiri, galakkan mereka untuk bercerita tentang perasaan yang mereka alami dan puncanya. Contohnya, “Adik buang mainan tu sebab apa? Dah tak boleh guna? Apa lagi yang adik boleh buat?”
KALAU DAH ANAK TANTRUM, APA PERLU IBU AYAH BUAT?
Tantrum akan tetap berlaku walau bagaimana cara pun anda cuba untuk mengelakkannya. Kadangkala ia di luar kawalan, ia perlu diakui! Berikut merupakan cara untuk membantu anda mengendalikan anak tantrum:
#1 Ambil masa untuk bertenang jika anda perlukannya. Situasi akan menjadi lebih sukar jika anda berada dalam keadaan marah. Tarik nafas dalam-dalam dan kawal emosi anda. Jika anda perlu bersuara, pastikan anda mengawal suara anda dan jangan melenting.
#2 Akui akan perasaan anak anda. Contohnya, “Adik kecewa kan tengok aiskrim adik jatuh?” Dengan cara ini, anda dapat membantu mengelakkan anak anda berkelakuan luar kawalan dan memberikan si kecil peluang untuk membetulkan semula emosinya
Tunggu sehingga anak habis tantrum sebelum mula bercakap. Dekati anak anda supaya dia tahu anda berada dengannya. Akan tetapi, jangan cuba untuk bertanyakannya sebab ataupun mengganggunya.
#3 Bertanggungjawab apabila perlu. Jika tantrum berlaku disebabkan anak anda mahukan sesuatu barang, jangan berikannya apa yang dia inginkan. Jika anak anda tidak mahu membuat sesuatu, gunakan pertimbangan anda. Contohnya, jika anak anda tidak mahu keluar dari bilik mandi, lebih selamat jika anda menarik keluar palam berbanding mengangkatnya keluar.
#4 Sentiasa konsisten dan bertenang dalam pendekatan anda. Jika kadangkala anda menurut kemahuan anak semasa dia menunjukkan tantrum, dan adakalanya tidak mahu mengikut kehendaknya, maka masalah akan menjadi lebih teruk.
#5 Jika anak anda berada di luar kawalan, pegang anak anda erat-erat dan tenangkannya. Beritahunya bahawa anda sayangkannya dan tidak akan memberikan apa yang dia mahukan. Biar anak anda tahu bahawa tantrum bukanlah perlakuan yang baik. Jika ia masih tidak membantu, keluarkannya daripada situasi itu dengan cara meletakkannya pada fasa time-out untuk membiarkannya bertenang.
#6 Apabila anak anda berkelakuan baik, berikannya ganjaran berbentuk pujian.
Berdepan situasi anak susah tidur malam pastinya boleh mewujudkan pelbagai masalah terutamanyaberkaitan tumbesaran si kecil. Namun usah bimbang, kerana ada cara tidurkan anak yang susah tidur boleh anda cuba.
Mengapa anak susah tidur malam?
Si kecil menangis dan meragam setiap kali dibawa ke bilik tidurnya. Apabila tiba di atas katil pula, pelbagai permintaan yang diingininya – semata-mata untuk mengelak daripada tidur.
Mengapa keadaan ini boleh terjadi sedangkan sudah seharian mereka bermain?
Ini umumnya keadaan biasa bagi anak dengan isu sukar tidur malam atau dalam istilah perubatan disebut Sleep Regression – boleh meliputi waktu tidur siang atau malam.
Mereka biasanya akan menahan diri daripada tidur walaupun letih, disebabkan beberapa perkara seperti:
Takut kehilangan sesuatu terutamanya adik-beradik yang lebih tua biasanya beroleh ‘keistimewaan’ untuk tidur lebih lewat
Rasa takut pada kegelapan
Mengalami masalah untuk melakukan transisi daripada kesibukan siang kepada rutin malam yang lebih perlahan
Penting untuk mengatasi keadaan anak susah tidur malam
Anak kecil memerlukan tempoh tidur antara 11-14 jam sehari. Ia penting untuk memastikan anak mendapatkan waktu rehat di siang dan malam hari yang mencukupi. Ini kerana anak yang tidak mendapatkan tidur yang diperlukan oleh badan dan minda yang sedang membesar akan lebih kerap meragam dan mudah naik angin.
Mewujudkan tabiat tidur yang sihat dan mengelakkan sebarang rintangan waktu tidur pada si kecil mungkin mengambil masa dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Tetapi percayalah ia adalah langkah penting perlu dilakukan oleh ibu bapa untuk kebaikan anak-anak.
Cara atasi anak susah tidur malam
Situasi anak menolak apabila disuruh tidur adalah lumrah. Berikut adalah beberapa cara yang boleh anda cuba:
Konsisten dengan jadual bangun tidur
Mengikut jadual harian boleh menyebabkan anak menjadi letih pada masa yang sama setiap hari, jadi pastikan anda mematuhi jadual ini sebaik mungkin – walaupun pada hujung minggu.
Elakkan daripada menunggu anak berada dalam keadaan terlalu letih sebelum tidur.
Biarkan anak aktif waktu siang dapat bantu anak susah tidur malam
Biarkan si kecil aktif – berlari keliling taman, bermain atau melakukan apa sahaja untuk membolehkan mereka membakar tenaga secukupnya pada siang hari. Ini menjadikan anak lebih mudah tidur apabila tiba waktunya.
Cipta rutin waktu tidur yang santai Jadikan waktu tidur sebagai waktu yang amat dinantikan anak dengan mewujudkan rutin menenangkan seperti bercerita, mendodoikannya dan memperbanyakkan pelukan dan ciuman.
Bantu si kecil berehat, antara cara tidurkan anak yang susah tidur Matikan semua gajet dan peranti, elakkan anak menonton televisyen, malapkan lampu dan mainkan lagu lembut serta menenangkan dalam sejam sebelum waktu tidur supaya fasa peralihan tidak begitu dramatik.
Lakukan perkara yang sama – tetapi dalam versi lebih pendek dan diubahsuai – untuk tidur siang.
Berikan masa mencukupi untuk rutin tidur Pastikan rutin tidur – mandi, membaca buku, memeluk dan memberikan ciuman – dapat diselesaikan sebelum waktu tidur anak. Jika sebaliknya, anda mungkin perlu memulakan rutin tidur lebih awal agar tidak melepasi waktu tidur mereka.
Galakkan anak tidur sendiri dengan kesayangannya
Jika anak mempunyai bantal atau selimut kesayangan, teddy kegemaran atau mungkin menginginkan sentuhan peribadi ibu seperti baju T yang anda pakai pada hari tersebut, biarkan mereka untuk tidur bersamanya.
Mempunyai objek kesayangan atau kegemaran di sisi boleh membantu anak susah tidur malam untuk melelapkan mata.
Tidak perlu memaksa anak pejamkan mata segera
Sekiranya anak sudah berbaring di atas katil, anda tidak perlu memaksanya untuk lena dengan segera. Biarkan mereka mendapat mood untuk tidur – mungkin dengan mendengar lagu, membaca buku atau berbual dengan mainan kesayangan.
Anak susah tidur malam? Jangan mengalah!
Anak mungkin akan menangis apabila anda meninggalkan mereka di dalam bilik tidur. Elakkan daripada terus pergi memeriksa keadaannya dengan segera. Tahan keinginan anda itu.
Tunggu 5-10 minit sebelum kembali ke bilik anak, tenangkan mereka dan berikan tepukan lembut di belakang badan sebelum berlalu pergi. Anak menangis lagi? Ulangi proses yang sama sehingga mereka tertidur.
Tindakan pantas
Ada anak yang susah tidur malam akan cuba keluar daripada bilik tidur. Jika ini berlaku, bawa mereka kembali dengan segera. Ulangi sekerap yang perlu. Jangan bertindak balas dengan perlakuan mereka – jadilah sebosan yang mungkin. Ini kerana anda pastinya tidak mahu anak berfikir bahawa mereka akan memperolehi ganjaran jika keluar daripada bilik tidur.
Tenangkan anak yang mengalami mimpi ngeri
Jika anak terbangun kerana mimpi ngeri, tenangkan dirinya dan yakinkan segalanya dalam keadaan okay. Segera bawa mereka kembali ke bilik tidur. Anda juga boleh memberikan pelukan atau tepukan lembut pada belakang badan mereka. Tetapi jangan benarkan mereka tidur di bilik anda kerana mereka boleh menjadikan ia sebagai tabiat.
Berikan ganjaran untuk atasi isu anak susah tidur malam
Jika semua cara tidurkan anak yang susah tidur tidak berjaya, beralihlah kepada sistem ganjaran. Mulakan dengan carta pelekat dan anugerahkan bintang emas untuk setiap waktu tidur tanpa masalah. Berikan sebarang ganjaran jika anak memperolehi 5 bintang. Ulangi langkah yang sama tetapi kali ini untuk 10 bintang pula.
Walaupun pada permulaan ia mungkin sukar untuk dilakukan, namun mengamalkan rutin tidur yang baik adalah penting untuk tumbesaran si kecil. Tetapi percayalah apabila anak sudah terbiasa, anda tidak perlu lagi untuk ‘berperang’ dengan mereka apabila tiba waktu tidur.
Ramadan kali ini lebih istimewa bersama Pa&Ma Superb Huffaz. Nantikan bacaan doa dan surah pilihan dari anak-anak Genius Aulad bermula 3 April ini! Saksikan setiap hari jam 7.00 malam di Facebook Majalah Pa&Ma.
Jangan ketinggalan okay! Teruskan menyokong kami di @majalahpama #majalahpama #pamasuperbhuffaz
Buat pertama kalinya BINTANG KECIL membawa anda menyaksikan kisah magisnya ciptaan Allah di samping mendekati kehidupan para sahabat nabi dan tokoh ilmuwan di dalam siri Hikayat 1001 Malam yang disokong sepenuhnya dari TATEH. Saksikan setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini istimewa bersama PU RIZ dan team BK Squad di Youtube Channel Bintang Kecil bermula 1 Ramadan pada jam 6.30 petang. Jangan ketinggalan! Follow @bintangkecil #bintangkecilmy #bintangkecil #1001Malam
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bantuan Awal Persekolahan, "Peluasan BAP kepada pelajar tingkatan enam pertama kali dilaksanakan..." Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam bermula pada sesi persekolahan 2025/2026.