Bila anak mengamuk, mama papa boleh jadi singa.  Sebenarnya ia boleh dielak, ada 7 tip ini boleh diguna, yang penting ia bukan pukul dan cubit. Bab taktik psikologi ini semua ibu ayah perlu terror!

Kita sering lihat kanak-kanak kecil menjerit dan menangis sambil menghentak-hentakkan kaki jika tidak mendapat apa yang mereka inginkan. Jika dipujuk dan dijanjikan untuk memenuhi keinginan mereka, maka berhentilah mereka daripada membuat perangai.

Namun, kejadian anak membuat perangai atau tantrum pasti akan berulang. Adakah betul cara si ibu tersebut menangani tantrum anak? Ketahui tips yang betul tentang bagaimana untuk bertindak jika anak menunjukkan tantrum. Cara ini boleh digunakan tidak kiralah di manapun anak anda menunjukkan tantrum; baik di rumah mahupun di tempat awam.

7 PERKARA INI ELAKKAN TANTRUM

Jika boleh, cuba untuk mengelakkan tantrum. Terdapat beberapa cara yang anda boleh lakukan bagi mengurangkan tantrum daripada berlaku:

  • Kurangkan tekanan. Kanak-kanak yang penat, lapar dan terlebih rangsangan lebih mudah untuk menunjukkan tantrum
  • Berikan perhatian yang positif. Jika anak anda menunjukkan perilaku yang baik, berikan pujian dan perhatian kepada kelakuan positif
  • Fahami perubahan emosi anak. Kenal pasti perubahan mood mereka. Anda boleh bercakap tentang perubahan mereka dan membantunya untuk menguruskan perasaan. Jika anda dapat mengenali lebih awal akan perasaan mereka, anda boleh cuba untuk mengalih perhatian kanak-kanak daripada melayani emosi mereka yang tidak stabil
  • Cuba berikan kanak-kanak kawalan untuk sesetengah perkara. Tawarkan sedikit pilihan seperti “Adik nak jus oren atau jus epal?” ataupun “Adik nak berus gigi sebelum mandi ke ataupun selepas mandi?” Dengan cara ini anda membantu anak anda untuk memilih, berbanding dengan jika anda bertanyakan “Adik nak berus gigi sekarang?”- yang jawapannya sudah tentu “taknak”
  • Kenal pasti punca tantrum. Contohnya, si kecil mungkin akan mengalami tantrum semasa anda berada di pusat membeli-belah. Jadi, anda boleh rancang lebih awal untuk menghadapi kemungkinan situasi tersebut atau menukar persekitaran bagi mengelakkan tantrum. Sebagai contoh, mungkin anda boleh pergi ke pusat membeli-belah selepas waktu meridap anak anda ataupun selepas mereka menikmati snek
  • Alih perhatian anak anda. Ambil peluang untuk mengubah sekejap perhatian anak anda dengan cara menawarkan mereka benda lain. Mulakan aktiviti baru untuk menggantikan barang yang mereka tidak dapat
  • Bercakap tentang emosi dengan anak anda. Apabila anak anda berperang dengan emosi sendiri, galakkan mereka untuk bercerita tentang perasaan yang mereka alami dan puncanya. Contohnya, “Adik buang mainan tu sebab apa? Dah tak boleh guna? Apa lagi yang adik boleh buat?”

KALAU DAH ANAK TANTRUM, APA PERLU IBU AYAH BUAT?

Tantrum akan tetap berlaku walau bagaimana cara pun anda cuba untuk mengelakkannya. Kadangkala ia di luar kawalan, ia perlu diakui! Berikut merupakan cara untuk membantu anda mengendalikan anak tantrum:

#1 Ambil masa untuk bertenang jika anda perlukannya. Situasi akan menjadi lebih sukar jika anda berada dalam keadaan marah. Tarik nafas dalam-dalam dan kawal emosi anda. Jika anda perlu bersuara, pastikan anda mengawal suara anda dan jangan melenting.

#2 Akui akan perasaan anak anda. Contohnya, “Adik kecewa kan tengok aiskrim adik jatuh?” Dengan cara ini, anda dapat membantu mengelakkan anak anda berkelakuan luar kawalan dan memberikan si kecil peluang untuk membetulkan semula emosinya

Tunggu sehingga anak habis tantrum sebelum mula bercakap. Dekati anak anda supaya dia tahu anda berada dengannya. Akan tetapi, jangan cuba untuk bertanyakannya sebab ataupun mengganggunya.

#3 Bertanggungjawab apabila perlu. Jika tantrum berlaku disebabkan anak anda mahukan sesuatu barang, jangan berikannya apa yang dia inginkan. Jika anak anda tidak mahu membuat sesuatu, gunakan pertimbangan anda. Contohnya, jika anak anda tidak mahu keluar dari bilik mandi, lebih selamat jika anda menarik keluar palam berbanding mengangkatnya keluar.

#4 Sentiasa konsisten dan bertenang dalam pendekatan anda. Jika kadangkala anda menurut kemahuan anak semasa dia menunjukkan tantrum, dan adakalanya tidak mahu mengikut kehendaknya, maka masalah akan menjadi lebih teruk.

#5 Jika anak anda berada di luar kawalan, pegang anak anda erat-erat dan tenangkannya. Beritahunya bahawa anda sayangkannya dan tidak akan memberikan apa yang dia mahukan. Biar anak anda tahu bahawa tantrum bukanlah perlakuan yang baik. Jika ia masih tidak membantu, keluarkannya daripada situasi itu dengan cara meletakkannya pada fasa time-out untuk membiarkannya bertenang.

#6 Apabila anak anda berkelakuan baik, berikannya ganjaran berbentuk pujian.

Sumber: Hello Doktor

 

Tinggalkan Komen