Seminggu yang lalu, bekas pelakon siri muzikal Glee, Naya Rivera dilaporkan hilang di Tasik Piru di Selatan California. Menurut laporan media, dia dan anaknya Josey Hollis Dorsey dikatakan bersiar-siar dengan bot yang disewa sebelum anaknya ditemui bersendirian tiga jam kemudian.
Namun semalam, misteri kehilangan pelakon tersebut akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui di tasik berkenaan. Naya dipercayai mati lemas dan dikenal pasti berdasarkan pakaian terakhir yang dipakai.
Sherif daerah Ventura Bill Ayub, dalam satu kenyataan berkata, tidak terdapat sebarang unsur jenayah atau bunuh diri setakat ini.
Menurut anaknya yang berumur 4 tahun, dia dan ibunya ada turun berenang namun ibunya tidak timbul-timbul.
Pihak polis percaya, Naya Rivera menggunakan seluruh tenaga yang ada untuk membawa anak ke bot tetapi tidak cukup kuat untuk menyelamatkan diri sendiri.
Malah, anaknya yang berumur empat tahun pernah memberitahu polis ibunya membantu dia kembali ke bot tetapi sebaik sahaja menoleh ibunya sudah tenggelam.
Kata polis lagi, aktiviti berenang sememangnya dibenarkan di tasik berkenaan tetapi kebiasaannya hanya untuk rekreasi kapal air. Selepas ini, mungkin petisyen akan dibuka untuk melarang aktiviti berenang di tasik yang meragut nyawa itu.
Kronologi kejadian menunjukkan pada jam 1 tengah hari, 8 Julai, Naya Rivera menyewa satu bot di Tasik Piru, yang terletak 60 batu daripada Los Angeles. Tiga jam kemudian, lebih kurang jam 4 petang, sebuah bot yang lain membunyikan penggera selepas melihat seorang budak lelaki sedang tidur bersendirian di atas bot yang hanyut.
Jam 6.30 petang, pihak polis dan keselamatan melakukan proses pencarian untuk memeriksa sekiranya ada mangsa lemas. Pada masa yang sama, polis menemui kereta Naya Rivera di kawasan parking. Seterusnya, jam 10.30 malam, polis mengesahkan pelakon siri muzikal popular Glee tersebut hilang selepas pencarian menggunakan helikopter di kawasan tasik tidak menunjukkan sebarang tanda.