Setelah lapan bulan bergelar ayah, penyanyi Hafiz Suip akui kehadiran anak lelaki dalam rumah tangga yang dibina bersama isteri, Nureffy Jesreel Abdullah benar-benar mengetuk pintu hatinya.
Menurutnya, Muhammad Riyadh Zafri banyak membuatkan dirinya insaf dan kini dia sedang dalam fasa baharu untuk mendekati ilmu agama.
“Bagi saya dalam hidup ini perlu ada keseimbangan. Jika terlalu berhibur pun tak boleh juga.
“Jadi sudah sampai masanya untuk saya berikan tumpuan mendalami ilmu agama tambahan sekarang saya sudah jadi seorang bapa.
“Anaklah yang telah mengetuk pintu hati saya untuk segera berubah,” jelasnya.
Sebagai usaha titik permulaan berhijrah, pelantun lagu Hari Ini Dalam Sejarah mengambil pendekatan menghadiri kelas agama dan berjumpa dengan beberapa rakan artis yang sudah berhijrah.
“Alhamdulillah, bab ilmu agama sedikit sebanyak untuk diri sendiri insyaALLAH, begitu pun, saya perlu mendalami banyak lagi ilmu agama kerana saya sudah ada keluarga untuk dipimpin.
“Kini rutin baharu saya, pergi ke kelas belajar semula tentang asas-asas agama, mengaji al-Quran dan berjumpa dengan ustaz yang sudah saya anggap seperti keluarga sendiri.
“Saya juga pernah berjumpa dengan rakan-rakan artis seperti Shamsul Ghau Ghau, Hairi Othman dan ramai lagi untuk meminta nasihat mereka,” terangnya.
Hafiz Shuip berkahwin pada 14 Mei 2016 dan menimang cahaya mata pada Disember tahun lalu.
Sumber: Sinar Harian & Ig Hafiz Shuip