Berita

Hajat Tidak Kesampaian, Ekspedisi Meragut Nyawa

Share

Ekspedisi menjadi tragedi apabila dihempap pokok tumbang. Seorang pendaki wanita, Wan Nurulhuda Mior Abdullah, 49, maut selepas dihempap pokok tumbang ketika sedang tidur.

Kejadian itu berlaku di dalam khemah di Kem Seputih, berdekatan Gunung Rajah, Kuala Tahan, Jerantut pada Ahad.

Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad berkata, mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di pangkalan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan pada jam 8.55 malam.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitendan Zukri Muhammad

Menurut Zukri, mangsa mengalami kecederaan di bahagian pinggul dan tidak sedarkan diri semasa insiden berlaku.

Pemandangan Gunung Tahan Pahang

“Kejadian berlaku ketika mangsa bersama kumpulan 10 pendaki dan seorang malim gunung yang memulakan pendakian pada Isnin lalu. Mereka dijadualkan turun pada Ahad, namun sekitar jam 12 tengah hari, pihak polis menerima maklumat bahawa mangsa dihempap pokok tumbang ketika tidur,” katanya.

Bagi operasi menyelamat, helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah digerakkan ke lokasi dan mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan selepas tiba di pangkalan udara.

Pasukan mencari dan menyelamat turut berada dalam keadaan bersiap sedia di Kuala Tahan untuk bantuan melalui jalan darat sekiranya khidmat helikopter tidak dapat diteruskan.

Sumber: Sinar Harian

Published by
Nor Yusoff